Tebus kembali kegemilangan ilmu
Oleh Masmawi Abdullah
Islam menerima sumber pengetahuan, kepakaran asing asalkan tidak bercanggah akidah ISLAM adalah agama yang bertanggungjawab menyempurnakan tamadun manusia dalam erti kata menggalakkan perkembangan dan peningkatan kadar keupayaan intelektual manusia yang berakhir dengan pembentukan tamadun yang dapat memberikan kebahagiaan kepada manusia sejagat dalam erti kata yang sebenarnya.
Sedangkan tamadun manusia sebelum kedatangan Islam atau tidak berlandaskan Islam tidak berjaya memberi kebahagiaan hidup kepada manusia. Kerana kemajuan kebendaan yang di luar batasan kawalan faktor kerohanian menjerumuskan manusia ke lembah kehancuran di tengah-tengah tamadun yang mereka cipta.
Justeru, Islam datang untuk menyemai, menanam dan memperkembangkan bakat intelektual umat manusia ke kadar paling maksimum di dalam lingkungan dan bimbingan sinaran wahyu daripada Allah. Oleh kerana ilmu pengetahuan adalah kunci tamadun manusia. Allah menurunkan wahyu yang pertama kepada Rasulullah adalah ayat yang menggalakkan kegiatan intelektual yang bermaksud:
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang paling pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengejar kepada (manusia) apa yang tidak diketahuinya.” – (Al Alaq: 1-5)
Ayat di atas jelas menunjukkan, betapa pentingnya ilmu pengetahuan dari kaca mata Allah kepada umat Islam. Kerana dengan membaca, menulis dan mempelajari segala ilmu pengetahuan dapat menyampaikan kepada pengetahuan tentang kewujudan Allah yang membawa kepada keimanan dan ketakwaan terhadap kewujudan Allah dan segala sifat kesempurnaan.
Bukan setakat menimba ilmu pengetahuan yang baru dan meningkatkan ilmu sedia ada juga amat digalakkan oleh Islam ke atas umatnya. Inilah caranya bagaimana kecerdasan seseorang itu dapat diperkembangkan. Hal ini jelas terbukti dengan adanya galakan Allah kepada manusia agar mereka menambah ilmu pengetahuan seperti terkandung di dalam ayat bermaksud:
“Berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku; Tambahlah daku dengan ilmu pengetahuan”. – (Taha: 114)
Ilmu pengetahuan paling berguna dan berfaedah untuk kesempurnaan dan kebahagiaan hidup manusia ialah ilmu pengetahuan yang diasaskan kepada al-Quran dan hadis yang akan mencetuskan seribu satu bentuk ilmu pengetahuan dan beraneka rupa pengajaran yang bertanggungjawab menyempurnakan tamadun manusia.
Sama ada dari kaca mata manusia atau dari kaca mata Allah perbezaan taraf sentiasa wujud di antara orang berilmu atau intelek dengan orang jahil. Semakin intelek seseorang itu semakin berbeza ia daripada mereka yang jahil. Sebaliknya semakin jahil seseorang itu maka kedudukannya di dalam masyarakat itu sendiri agak rendah. Justeru, peningkatan prestasi ilmu pengetahuan adalah satu kewajipan terhadap setiap individu, bagi menaikkan taraf kedudukan dari kaca mata masyarakat dan dari kaca mata Allah.
Akhirnya akan terjalin satu umat Islam yang kuat dan agung andainya setiap individu Muslim berasa bertanggungjawab untuk meningkatkan prestasi ilmu pengetahuan masing-masing.
Rasulullah juga mewariskan begitu banyak hadis menggalakkan umat Islam menguasai ilmu pengetahuan agar menjadi agung di mata dunia yang bakal dijadikan contoh dan teladan kepada umat yang lain.
Pada zaman Rasulullah umat Islam rata-rata masih lagi buta huruf. Justeru, baginda sendiri mengambil inisiatif utama di dalam membanteras buta huruf ini dengan meminta orang bukan Islam terutama ahli kitab untuk mengajar ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak Islam.
Seterusnya, baginda menjadikan pengajaran ilmu pengetahuan kepada anak-anak Islam sebagai salah satu syarat tebusan bagi tawanan perang membebaskan diri mereka. Misalnya tawanan perang Badar dikehendaki mengajar 10 orang atau lebih anak orang islam. Di sini jelas menunjukkan betapa pentingnya kegiatan intelektual di dalam Islam yang telah dititik beratkan oleh Rasulullah sejak awal-awal lagi.
Pada zaman khalifah Al Rasyidin, meluaskan wilayah Islam begitu giat sekali. Pengislaman penduduk tempatan yang datang dari beraneka latar belakang kepercayaan, adat resam dan kebudayaan pesat, sedangkan di antara mereka adalah golongan intelektual yang lebih matang daripada umat Islam sendiri. Malah ada di antara mereka telah mempunyai perpustakaan sendiri seperti di Iskandariah dan Jundisbur.
Segala ilmu pengetahuan asing yang tidak bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak Islam, adalah sesuatu yang terus digalakkan oleh Islam mengembangkannya. Malah umat Islam sendiri terpaksa mula mencari gali dan mempelajari ilmu asing daripada penduduk tempatan.
Dari semasa ke semasa perbendaharaan Islam kian kaya dan berkembang. Puncak daripada proses bagi membolehkan umat Islam menguasai ilmu pengetahuan dunia ini ialah penubuhan Baitul Hikmah pada akhir abad kedua Hijrah, di zaman pemerintahan Harun Al Rashid (170 H - 193H / 788-809H. Baitul Hikmah sampai ke puncak kegemilangannya pada zaman Al Makmun (198 - 218/813 - 833M)
Kegemilangan dan keunggulan mutu ilmu pengetahuan yang dicapai oleh umat Islam di Baitul Hikmah tidak ada tolak bandingnya dengan mana-mana tamadun dari zaman dulu hingga hari ini. Kini adalah menjadi tanggungjawab umat Islam menebus kembali keagungan yang pernah dicapai oleh umat Islam dulu, kerana penguasaan ilmu pengetahuan dan perkembangan intelektual adalah sesuatu yang diwajibkan oleh Allah dan Rasulnya.
Sumber: www.bharian.com.my
Isnin, Julai 16, 2007
Tazkirah: Renunglah masa depanmu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan