[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Jumaat, Julai 20, 2007

Isu Semasa (Pertahanan Negara): 3 mayat masih terkandas




SAR letup dua bom bagi mudahkan mangsa diangkat dengan helikopterGENTING HIGHLANDS: Anggota Batalion 17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para yang menemui pesawat Nuri terhempas kelmarin, melihat mayat mangsa saling bertindih antara satu sama lain serta dihimpit muatan yang dibawa bersama.

Semua mayat terperosok ke bahagian depan helikopter yang berada dalam kedudukan menegak di kawasan lereng kira-kira dua kilometer dari Gunung Genting Sempah.Prebet Awang Aidy Awang Omar, yang pertama menemui pesawat itu, berkata beliau melihat empat mangsa lengkap beruniform dalam bangkai helikopter malang itu sebaik menghampiri pesawat berkenaan.


Helikopter itu ditemui terhempas di lurah bukit, kira-kira lima kilometer dari Genting Sempah, pada jam 1.24 petang kelmarin, lima hari selepas dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Pangkalan Udara Sungai Besi ke Kuantan.Ini adalah nahas ke-18 membabitkan pesawat Nuri.


Berikutan nahas terbaru itu, Kabinet semalam bersetuju membeli pesawat baru bagi menggantikan Nuri yang sudah digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 1968.Nahas terbaru itu mengorbankan juruterbang pesawat itu, Kapten Nor Azlan Termuzi, 29, pembantunya, Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27, Sarjan Udara Khusnizaim Ariffin, 34, Sarjan Udara Mohd Azmie Md Yassin, 35, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias, 28 dan Laskar Udara Kanan Muhammad Ridzuan Ahmad, 27.


Menceritakan detik penemuan pesawat itu, Awang Aidy berkata, kumpulannya terdiri daripada lapan anggota berpecah untuk mencari helikopter berkenaan sebaik menemui serpihan seperti kaca dan beberapa bahagian pesawat di situ pada jam 12 tengah hari.Ketika tiba di kawasan lereng berbukit, Awang Aidy melihat kesan pokok patah seperti dilanggar sesuatu dan dari jarak 20 meter, beliau nampak bangkai Nuri itu menegak dengan ekornya tersangkut pada pokok, manakala muncungnya sedikit terbenam ke tanah."Apabila ditinjau dari dekat, saya dapati kipas dan ekornya patah, pintu terbuka, tayar belakang tercabut dan bahagian kokpitnya remuk. Dari situ juga saya melihat empat mayat tersepit dan berada dalam keadaan ditindih barangan lain dalam pesawat itu."Mayat dua lagi (juruterbang dan pembantunya) agak sukar dilihat kerana kedudukan mereka paling bawah," katanya ketika ditemui sebaik tiba selepas selesai melakukan tugas mencari dan menyelamat (SAR) di Kilometer 32.6 Lebuhraya Karak, semalam.


Sehingga malam tadi, hanya jenazah Nor Azlan yang belum dapat dikeluarkan dari bangkai pesawat itu, manakala jenazah Nor Intan dan Khusnizaim berjaya dikeluarkan tetapi tidak dapat diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan cuaca buruk.Setakat ini, hanya jenazah Mohd Azmie, Saifulizam dan Muhammad Ridzuan sudah dikebumikan di kampung masing-masing.Jenazah Saifulizam dan Mohd Azmie yang pertama tiba di HKL pada jam 12.40 tengah hari, diikuti jenazah Muhammad Ridzuan, kira-kira jam 1.20 petang. Semua jenazah dibawa dengan pesawat Nuri dari lokasi nahas di Genting Sempah.


Sementara itu, Ketua Platun 4 batalion berkenaan, Kapten Hairy Shahrir berkata, mereka tidak berbuat apa-apa terhadap pesawat itu apabila mendapati semua mangsa sudah terkorban ketika ditemui.“Kami menemui petanda tempat nahas itu berdasarkan serpihan pesawat termasuk tayar dan kipas kira-kira 10 meter dari tempat nahas. Bahagian ekor pesawat itu juga terkulai," katanya.Penolong Ketua Platun, Sarjan Ismail Man berkata, beliau tiba di lokasi nahas bersama 15 lagi anggota Para pada jam 2 petang, selepas menerima maklumat mengenai penemuan pesawat itu daripada lapan anggota berkenaan dan memaklumkannya kepada pusat kawalan."Kami terus membuat pemeriksaan sama ada mangsa selamat atau cedera.


Saya melihat pintu helikopter itu terbuka dan dapat melihat empat mayat lengkap beruniform di dalamnya. Selepas itu pasukan lain dipanggil," katanya yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak Ahad lalu.Ketua Kompeni B batalion berkenaan, Kapten Md Zaini Osman pula berkata, pasukannya terpaksa menempuh laluan sukar selama lapan jam untuk tiba di tempat kejadian.Katanya, beliau diarah mencari jalan mengeluarkan mayat semua mangsa menggunakan laluan darat tetapi usaha itu tidak dapat dilaksanakan kerana hutan tebal dan cerun yang curam."Oleh itu kami serta anggota Paskau dan komando membuat keputusan mengeluarkan mayat melalui udara," katanya.Md Zaini berkata, pasukan SAR semalam meletupkan dua bom di satu kawasan puncak bukit di lereng tempat kejadian bagi membolehkan mayat diangkat ke atas helikopter.


Letupan bagi membuka laluan itu dapat didengar sekitar kawasan Genting Sempah pada jam 10 dan 10.50 pagi.Katanya, pasukannya keluar petang semalam selepas kawasan itu diambil alih Paskau dan pasukan SAR lain yang terus berusaha mengeluarkan mangsa lain.

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”