[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Isnin, Ogos 13, 2007

Tajdid Iman: Islam cetus keadilan bagi manusia

Bersama Dr Juanda Jaya

Prinsip kesaksamaan tonggak utama pemerintahan tanpa mengira nas, agama

BARISAN sarjana Barat yang terkenal seperti Thomas Cerlyle, Gustav Le Bon, Oswald Spengler dan Arnold Toynbee pernah mengambil kesimpulan yang menarik selepas melakukan kajian terhadap bekas peninggalan tamadun Islam.

Mereka menyatakan perubahan hebat yang berlaku ke atas tamadun di serata dunia itu tidak terlepas daripada pengaruh Islam. Tanpa malu dan segan mereka mengakui kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di sana, iaitu di Sepanyol dan Andalusia.


Tamadun itu berakhir pada 1492 Masihi selepas ia ditawan musuhnya. Namun, kesan tamadun dan warisan ilmunya sudah mencorak dan menunjangi kebangkitan tamadun moden barat selepas itu. Suatu hakikat diakui musuh kepada pembina tamadun asal itu sendiri.

Cahaya agama Allah pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Panglima Tariq bin Ziyad membakar semangat mujahidnya. Beliau berkata: “Sesungguhnya lautan berada di belakang kamu dan musuh di hadapan kamu. Tiada lagi jalan pulang! Nasib kamu akan ditentukan oleh keberanian atau jiwa pengecut!”

Sejak saat itu, Islam masuk dan berkembang pesat di bumi Sepanyol, hingga saat ini masih ada sisa-sisa 1,400 masjid di Cordova dan istananya yang terkenal di seluruh dunia iaitu al-Hamra’ di Granada.

Bukan sekadar itu, warisan ilmu sains, teknologi, matematik dan sebagainya yang menunjangi tamadun Andalusia sudah menapak kukuh di dada bangsa Eropah. Puncanya, Andalusia pernah menjadi pusat tamadun, kebudayaan dan gedung ilmu.

Bangsa Eropah datang ke Andalusia menuntut ilmu yang dikembangkan umat Islam. Mereka mempelajari bahasa Arab dan ilmu Islam demi mencungkil ilmu sains dan teknologi yang dimonopoli umat Islam ketika itu.

Catatan sejarah tamadun Islam juga mencatatkan bahawa selepas kewafatan Baginda SAW, Khalifah Umar bin al-Khattab memerdekakan Palestin dengan damai. Penyerahan kekuasaan ke atas tanah Palestin dilakukan sendiri Uskup tertinggi Nasrani yang rela tunduk dalam pentadbiran kerajaan Islam adil dan beramanah.

Belum sampai 50 tahun selepas kewafatan Baginda SAW, perjuangan Baginda SAW diteruskan generasi Islam yang cintakan agama dan Rasul-Nya. Di Afrika Utara, Islam ditegakkan oleh panglima Tariq bin Ziyad.

Islam turut merebak hingga ke Asia Tengah seterusnya menyeberangi sungai Sind dan Ganges. Agama Allah dibela oleh bala tenteranya yang perkasa, ketika itu yang memimpin tentera itu adalah pemuda berusia 17 tahun bernama Muhammad bin al-Qasim.

Persoalan sering timbul pada minda pengkaji sejarah ketamadunan ialah siapakah Muhammad? Kekuatan apakah yang Baginda bawa hingga mampu menenggelamkan kuasa Kaisar dan Raja? Tamadun apakah yang digunakan hingga mampu mencorakkan sistem dan undang-undang, ilmu dan politik, budaya dan ekonomi, ketenteraan dan kedaulatan umat manusia hingga kini?

Jawapannya terkandung pada ciri Tamadun Islam itu sendiri yang dapat disimpulkan sebagai berikut:
• Islam adalah agama bersifat universal, tidak mengamalkan fanatik kesukuan atau asabiyah dan menjunjung tinggi sistem keadilan sesama manusia. Tanpa mengira ras dan agama.

Apabila negara di seluruh dunia bersatu dalam wadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mereka merumuskan satu deklarasi sejagat bercirikan keadilan dan kemanusiaan. Mereka menyebutnya sebagai ‘Declaration of Human Rights’ yang diharap berupaya memberikan setiap individu hak mereka sebagai manusia merdeka seadil-adilnya. Tetapi, Islam terlebih dulu meletakkan dan mengamalkan prinsip keadilan serta kesaksamaan bagi seluruh umat manusia.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangi kamu dalam agama dan tidak mengusir kamu dari perkampungan kamu, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahinah, ayat 8)

Ajaran Nabi Muhammad SAW menolak diskriminasi terhadap bukan Islam iaitu mereka yang bukan pengikut agamanya. Bahkan, haram menyakiti orang bukan Islam yang tidak menentang Islam.

Menerusi sabdanya Rasulullah menegaskan yang maksud: “Barang siapa yang mengganggu orang zimmi (bukan Muslim dalam negara Islam) maka samalah dia seperti menggangguku dan barang siapa yang menggangguku maka dia mengganggu Allah Taala.” (Hadis riwayat al-Tabrani)

Islam tidak memisahkan agama dari negara. Islam menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Sedangkan, neraca agama adalah sesuai bagi mentadbir seluruh urusan kehidupan keduniaan manusia.

Musuh Islam dan golongan yang tidak memahami Islam berusaha memburuk-burukkan imej negara Islam dengan kemunduran, keganasan dan sikap kuku besi. Generasi Islam yang celaru dengan keadaan semasa dan hanya memiliki kefahaman Islam yang lemah amat mudah mengikuti fahaman musuh Islam yang menyatakan Islam mesti dipisahkan daripada negara dan politik.

Mereka meminjam istilah fahaman sekular yang mengajarkan bahawa agama ini untuk Tuhan dan negara untuk semua. Dengan demikian, barulah keamanan dan kesejahteraan dapat dikecapi seluruh umat manusia, dakwa mereka.

Maknanya mereka mahu apabila Islam dipisahkan dari negara, tiada lagi syiar Islam yang perlu diperjuangkan. Biarlah Islam hanya tinggal di masjid, tetapi tidak perlu diamal dalam pentadbiran negara. Sungguh ia suatu pemikiran yang berbahaya, seperti racun dan bisa yang boleh mematikan cahaya agama Allah di serata dunia.

Namun kita boleh berbangga, negara kita sudah melakukan lonjakan pemikiran dan perubahan sikap. Malaysia dengan bangganya menyatakan sikap bahawa kami adalah negara Islam yang bertamadun. Berdiri di atas dunia ini menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW yang membawa misi kedamaian ke seluruh alam.
• Perpaduan ulama dan umara, pemimpin dan rakyat untuk merealisasikan cita-cita tamadun Islam yang gemilang, cemerlang dan terbilang.

Sesungguhnya setiap Muslim berkewajipan membela agamanya. Agama dan negara tidak boleh dipisahkan. Sejarah membuktikan wujudnya negara Islam yang pertama di Madinah. Pemimpin negara Islam pertama Nabi Muhammad SAW.

Kepemimpinan itu sambung menyambung hingga ke hari ini. Bagi setiap pemimpin Islam di mana pun, yang memiliki satu persepsi dan agenda sama dengan Muhammad SAW, maka wajib bagi umatnya mengasihi dan mentaati kepemimpinannya.

Hal itu, pernah dinyatakan Imam yang agung, Shaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar’iyyah yang menukilkan pendapat ulama salaf seperti al-Fudail bin Iyadh dan Imam Ahmad bin Hanbal yang menyatakan: “Jikalau kami ulama memiliki doa yang mustajab nescaya kami akan mendoakannya untuk kebaikan pemimpin kami.”

Ibnu Taimiyah juga mengulas mengenai keagungan peranan dalam memimpin negara, katanya: “Wajib diketahui bahawa memimpin manusia adalah kewajipan agama yang paling besar, bahkan tidak akan wujud agama dan dunia tanpanya.”

Apabila ketiga-tiga ciri itu dapat direalisasikan oleh generasi Islam kini, dengan izin Allah pelbagai konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi. Islam tidak akan lemah kerana Allah Taala menciptakannya untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kehancuran.

INTI PATI
Perubahan tamadun Islam
• Perubahan hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas daripada pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan Andalusia.
• Cahaya Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna.
• Islam tidak memisahkan agama dari negara dan menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama.
• Malaysia dengan bangganya menyatakan sikap bahawa kami negara Islam yang bertamadun. Berdiri di atas dunia ini menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW.
• Apabila ketiga-tiga ciri dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi.

Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak

sumber: Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”