[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Khamis, Ogos 16, 2007

Solat: Menurut Sains

Solat berjamaah imbangi cas dalam badan
Oleh Ibrahim Abdullah


SEORANG Profesor Fizik di Amerika Syarikat membuat kajian mengenai keistimewaan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Kajian itu mendapati, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita, sama ada bekerja, beribadat atau berehat, sudah tentu banyak tenaga diguna pakaikan.

Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita.

Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu selepas menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda Profesor itu, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajian mendapati, sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas diperlukan oleh tubuh kita. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Katanya, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan berasa segar dan sihat selepas berehat beberapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas positif dan negatif yang hampir seimbang.

Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas supaya keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat.

Seterusnya, selepas sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas.

Solat berjemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas berkenaan. Sebab itu, solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dalam tubuh.

Situasi yang sama turut berlaku pada sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak.

Seperti Zuhur, empat rakaat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja, kita tidak lagi melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya.

Timbul persoalan di fikiran Profesor itu mengenai Isyak yang mengandungi empat rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Kajian lanjut, didapati ada keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat dalam Isyak. Kita sedia menunaikan tahajjud pada sepertiga malam. Ringkasnya, Isyak sebanyak empat rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamulllail).

Dalam kajiannya, Profesor itu mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.

Beliau berasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk Islam.

sumber: Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”