[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Jumaat, Ogos 10, 2007

Isu Semasa: Kebakaran


Lima beranak terperangkap ditemui rentung
Oleh Mohd Roji Abdullah

KLUANG: Lima beranak rentung selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan dua unit rumah papan berkembar di Lorong Othman Mohd Salleh, Kampung Tengah di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Kasmuri Jasman, 49, isterinya, Supiah Abdul Karim, 41, serta tiga anak mereka, Hishamuddin, 13, Izwanuddin, 9, dan Nurul Macella, 8, dipercayai cuba melarikan diri melalui pintu belakang tetapi terperangkap akibat asap tebal.


Mayat Nurul Macella ditemui dalam pelukan ibunya di dapur dengan Izwanuddin di sisi mereka, manakala mayat Kasmuri dijumpai bersama Hishamuddin di pintu bilik air.

Hishamuddin, Izwanuddin dan Nurul Macella dikatakan sudah keluar dari rumah itu bersama kakak mereka, Norfarhana, 15, tetapi ketiga-tiganya masuk semula untuk mendapatkan ibu bapa mereka.

Tiga lagi anak pasangan itu, Faizah, 20, Salahuddin, 19, dan Juliana, 18, menuntut di institusi pengajian tinggi awam. Faizah pelajar Universiti Putra Malaysia, Salahuddin (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia) dan Juliana (Kolej Matrikulasi Pulau Pinang).

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kluang, Zahari Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.57 pagi tetapi api sedang marak dan memusnahkan rumah itu apabila pasukan bomba tiba kira-kira 4.05 pagi.

"Mayat kelima-lima mangsa ditemui di dapur, dipercayai cuba melarikan diri melalui pintu belakang kerana api sedang marak di tengah rumah,” katanya.

Jiran mangsa, Hamzah Mohd Said, 52, dan isteri. Jim Alias, 55, serta cucu mereka, Zulika Rabu, 4, sempat menyelamatkan diri.

Setakat ini, punca kebakaran belum diketahui tetapi beberapa jiran percaya ia disebabkan lilin berikutan bekalan elektrik ke rumah mangsa dipotong kerana mempunyai tunggakan bil.

Jiran mangsa, Jamliah Osman, 60-an, dipetik Bernama sebagai berkata Kasmuri sekeluarga terpaksa bergelap sejak lima hari lalu kerana bekalan elektrik ke rumahnya dipotong.

Katanya, beliau dan jiran lain percaya kebakaran itu berpunca daripada lilin yang terjatuh akibat ditiup angin kencang pagi semalam sebelum menyambar langsir dan perabot rumah berkenaan.

Sementara itu, abang Supiah, Sudirman Abdul Karim, 45, berkata Norfarhana memberitahu tiga adiknya yang sudah keluar bersamanya tiba-tiba berlari semula ke dalam rumah bagi mendapatkan ibu bapa mereka.

“Norfarhana masih trauma dan masih takut-takut hendak bercakap, tetapi ketika saya tanya bagaimana kejadian itu berlaku, dia memberitahu adik-adiknya sepatutnya selamat kerana sudah bersamanya di luar rumah.

"Bagaimanapun, mereka yang mungkin ketakutan, terus berlari mendapatkan ibu bapa mereka yang ketika itu dipercayai cuba mengambil air untuk memadamkan kebakaran di dapur," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Daerah Kluang.

sumber: Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”