Rabu, Ogos 01, 2007
Isu semasa: Pelajar Biadab
‘Saya bersalah, malu’
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my
KOTA TINGGI: “Saya berasa bersalah dan malu atas tindakan saya, lebih-lebih lagi apabila kejadian itu didedahkan di akhbar,” kata pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kota Tinggi yang didakwa mencekik seorang guru wanita, Khamis lalu.
Menurut Daud Nordin, 17, dia lega kes itu dapat diselesaikan dengan cara baik walaupun hukuman buang sekolah dikenakan ke atasnya masih dikekalkan.
Saya malu apabila gambar dan nama saya disiarkan dalam akhbar (bukan Harian Metro) kerana orang ramai mungkin menganggap saya jahat sangat.
“Lega dan bersalah bercampur-campur apabila kes ini selesai dan cikgu sudi memaafkan saya,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan khas yang diatur sempena lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar ke sekolah itu bagi menyelesaikan kes berkenaan.
Daud berkata, kini dia hanya memikirkan soal membuat rayuan kepada Jabatan Pelajaran Johor untuk kembali ke sekolah itu berikutan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya beberapa bulan lagi.
“Saya akan menyambung pelajaran di sekolah sama, tapi perlu membuat rayuan dan mengikuti program jati diri seperti yang diarahkan Kementerian Pelajaran.
“Bapa saya akan membuat rayuan secepat mungkin kepada Jabatan Pelajaran Johor dan saya pun mahu kembali segera ke sekolah,” katanya.
Hadir sama dalam perjumpaan lebih dua jam setengah itu guru wanita terbabit, Zulfa Abd Rahman, 28, bersama suaminya, Zulkifli Said serta bapa Daud, Nordin Narkam, 56.
Sementara itu, Zulfa berkata, berikutan kejadian di luar dugaan itu, dia kini trauma hingga menjejaskan tanggungjawabnya sebagai pendidik di sekolah itu.
“Selepas itu, saya ketakutan apabila berada di sekolah sehingga tidak dapat memberi tumpuan ketika mengajar.
“Saya kini dalam usaha merayu supaya ditukarkan ke sekolah lain di luar daerah ini. Saya akan membuat permohonan ditukarkan ke sekolah rendah di kampung saya di Muar,” katanya.
Bagaimanapun, dia menerima apa yang berlaku sebagai mempunyai hikmah tersendiri dalam kerjayanya sebagai guru sejak mula bertugas, empat tahun lalu.
Harian Metro, yang mendedahkan kejadian itu pada muka depan Sabtu lalu, melaporkan disebabkan menegur sekumpulan sembilan pelajar lelaki tingkatan lima kerana membuat bising, seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di Kota Tinggi, dicekik seorang daripada pelajar terbabit.
Dalam kejadian ketika waktu rehat bagi pelajar tingkatan lima kira-kira jam 10.30 pagi Khamis lalu itu, insiden tercetus apabila pelajar terbabit membuat bising dalam tandas di tingkat dua berdekatan bilik darjah.
Mereka sedang mentertawakan seorang pelajar tingkatan tiga yang mendakwa seluarnya terkoyak dalam bilik air sekali gus menimbulkan suasana gamat sehingga dapat didengari dari sebuah kelas berdekatan.
Berikutan itu, guru berkenaan menyuruh pelajar terbabit keluar dan berbaris di kaki lima depan tandas sambil memarahi dan mengarahkan mereka membuat ketuk ketampi kerana membuat bising sehingga mengganggu dia sedang mengajar di kelas sebelah.
Bagaimanapun, enam daripada sembilan pelajar itu melarikan diri kecuali tiga yang pada mulanya berdiri sebelum berjalan dan tidak mengendahkan arahan guru itu.
Berang dengan sikap kurang ajar pelajar terbabit, guru itu sempat menarik baju seorang daripada pelajar terbabit, sebelum pelajar itu mencekik, mengangkat dan menolak guru itu ke dinding.
Akibat kejadian itu, guru yang pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang itu terpaksa dibawa ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan polis dan PPD.
Difahamkan, guru berkenaan juga terpaksa mendapat rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi kerana lebam di leher hingga menghadapi kesukaran menggerakkan lehernya.
Bagaimanapun, keesokannya, pelajar terbabit menafikan perbuatannya, sebaliknya mendakwa guru berkenaan menyuruh dia dan rakannya melakukan tekan tubi di atas lantai kaki lima yang kotor dengan air limpahan dari tandas menyebabkan ada yang bertindak mengingkari arahan dan masuk semula ke dalam bilik air.
Emel Artikel Cetak Artikel
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan