[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Rabu, Ogos 15, 2007

Isu Semasa: Kemalangan Ngeri


Semua lepas tangan
Oleh Azman Zakaria, Saufi Hamzah, Jalal Ali Abdul Rahim dan Mohamed Farid Noh



TAKDIR: Anak pasangan Khamis Said dan Zaiton
Nong Chik (dari kiri) Noraznam, Norazlina, Razali
dan Mohd Rafi, tidak dapat menahan kesedihan di
Tanah Perkuburan Islam di Kampung Pasir
Gembur, Tanjong Bidara, semalam.

Agensi penguat kuasa tuding jari isu pemandu bas ada waran tangkap

KUALA LUMPUR: Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) semalam saling menuding jari seolah-olah mahu ‘melepas tangan’ berhubung isu pemandu bas yang mempunyai banyak rekod kesalahan trafik.

Pengusaha bas pula memberi alasan sukar mendapatkan pemandu baru hingga terpaksa mengambil pemandu kurang berpengalaman atau yang mempunyai rekod kesalahan lalu lintas.

Alasan itu diberi pihak terbabit ketika mengulas nahas jalan raya terburuk yang mengorbankan 20 orang apabila sebuah bas ekspres terbabas dan terhumban ke dalam parit di Kilometer 229.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang, Taiping, kelmarin.

Siasatan awal polis mendapati pemandu bas berkenaan, Rohizan Abu Bakar, 38, yang turut terbunuh dalam nahas jam 4.40 pagi itu, mempunyai 15 kesalahan trafik termasuk dua waran tangkap.


Bas milik Syarikat Kenderaan Bukit Gantang Berhad yang didaftarkan pada 1987 itu pula mempunyai 19 saman sejak 1991.



Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar), ketika ditanya mengenai perkara itu, berkata beliau akan mendapatkan penjelasan polis trafik mengapa pemandu terbabit sebelum ini tidak dipanggil dan lesennya digantung.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan polis trafik memburu dan mengambil tindakan terhadap semua pemandu pengangkutan awam yang mempunyai banyak saman trafik.

“Pemandu seperti ini patut terus disenaraihitamkan dan lesen memandu mereka tidak diperbaharui,” katanya.

Beliau juga berharap pihak berkenaan membaiki pelaksanaan sistem pemberian mata demerit kesalahan jalan raya (Kejara) bagi mencegah pemandu yang mempunyai banyak kesalahan lalu lintas daripada terus memandu.

“Masalahnya, sistem mata demerit tidak diselenggara dengan betul. Jika diselenggara dengan betul, maka mereka yang menerima banyak saman akan menerima markah dan jika markah itu lebih maka lesen akan digantung,” katanya.

Pada 21 Mei lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Douglas Unggah Embas, turut mengakui wujud kelemahan dalam pelaksanaan Kejara yang dilaksanakan JPJ sejak 1997.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ahmad Mustapa, ketika dihubungi bagaimanapun berkata, penguatkuasaan semata-mata tidak menjamin pemandu akan mematuhi peraturan.

“Penguatkuasaan memang kita lakukan setiap masa termasuk menggantung lesen, tetapi kemalangan berpunca daripada banyak faktor termasuk sikap pemandu.

“Syarikat bas dan lori juga sepatutnya memantau rapi dan tidak mengambil pemandu bermasalah. Jika banyak saman, tegur dan ambil tindakan dalaman, lagi pun bukan susah untuk memeriksa status saman polis dan JPJ diterima pemandu mereka,” katanya.

Ahmad berkata, syarikat bas juga seharusnya memastikan pemandu mereka terlatih dan sihat serta kenderaan dalam keadaan baik, bukannya melepas tangan apabila berlaku kemalangan.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran, pula menjelaskan lembaga itu hanya mempunyai kuasa membatalkan permit kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan penggunaan permit.

“Kesalahan membabitkan pemanduan berbahaya atau kelajuan melepasi had ditetapkan adalah di bawah bidang kuasa agensi lain, seperti polis dan JPJ.

“LPKP memang boleh membatalkan permit syarikat bas yang terbabit dalam kemalangan maut tetapi ia mestilah membabitkan kesalahan melanggar syarat permit seperti keadaan bas tidak sempurna atau permit dipajakkan kepada pengendali bas lain,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) dan Persatuan Pengusaha Lori Seluruh Malaysia (PMLOA) mengaku masalah mendapatkan pemandu kini semakin meruncing.

Yang Dipertua Pembawa, Tajudin Mohd Yunus, berkata ramai pemandu kini lebih cenderung menjadi pemandu lori kerana pendapatannya lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, syarikat bas tidak sepatutnya mengambil pemandu secara ‘tangkap muat’ kerana perbuatan itu hanya membahayakan penumpang.

Tajudin berkata, beliau sendiri mengambil tindakan tatatertib ke atas pemandu syarikatnya termasuk ditamatkan perkhidmatan apabila menerima banyak saman atau aduan mengenai bas dipandu terlalu laju.

Presiden PMLOA, Er Sui See, juga mengaku ada syarikat lori terpaksa mengetepikan soal ‘saman kurang serius’ dalam mengambil pemandu kerana masalah kekurangan pemandu.

“Bila kurang pemandu, kita kena ambil juga pemandu yang ada rekod kesalahan tidak serius tetapi jika pemandu itu pernah terbabit kesalahan besar atau `kaki kemalangan’, kita pun tidak berani ambil mereka,” katanya.

INFO
Sistem Kejara


Satu sistem pemberian mata demerit kesalahan jalan raya kepada pemandu yang disabitkan dengan kesalahan mengikut Peraturan Kenderaan Bermotor (Mata Demerit) 1997.

Mata demerit terkumpul dalam pangkalan data JPJ apabila pemandu disabitkan mahkamah atau sesudah membayar denda kesalahan yang dilakukannya.

Penalti terhadap pemegang lesen yang mengumpul 15 atau lebih mata demerit:
Kali Pertama – lesen memandu digantung tidak lebih enam bulan.
Kali Kedua – lesen memandu digantung tidak lebih setahun.
Kali Ketiga – lesen memandu digantung tidak lebih setahun dan dibatalkan jika kesalahan dilakukan bagi kali ketiga dalam tempoh lima tahun.

Lesen P pemandu akan dibatalkan jika mengumpul 10 atau lebih mata demerit.

Bagi lesen digantung, pemandu tidak boleh memandu atau mendapatkan apa-apa lesen, sama ada lesen belajar memandu atau lain-lain. Pemandu yang dibatalkan Lesen P, tidak boleh memandu atau mendapatkan lesen, bagi tempoh 12 bulan.

Memandu ketika lesen digantung atau dibatalkan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara.

sumber: Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”