[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Khamis, Ogos 16, 2007

Isu Semasa: Disiplin Pelajar

Pelajar pakai seluar ketat kena bogel
Oleh Rahmat Othman


YAN: Dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di sini, mengadu dipaksa berbogel oleh pengetua di hadapan dua guru dan kerani sebelum diarah kembali ke kelas dengan memakai kain batik yang dijadikan pengesat kaki, kerana berseluar ketat, Khamis lalu.

Malah, pelajar Tingkatan Dua itu, Mohd Hairey Abdul Razak, 14, dan pelajar Tingkatan Lima, Mohd Amri Darus, 17, juga mendakwa terpaksa pulang ke rumah dengan memakai kain batik lusuh itu kerana seluar mereka dirampas pengetua berkenaan.

Berikutan kejadian yang dianggap memalukan itu, keluarga Mohd Hairey membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Yan, Asisten Superintendan Hazril Khamis, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan itu, tetapi enggan mengulas kerana siasatan masih dijalankan.


Sementara itu, Mohd Hairey berkata, kedua-duanya dipanggil ke pejabat selepas perhimpunan kira-kira jam 8 pagi kerana dikatakan melanggar peraturan sekolah dengan memakai seluar yang kakinya sempit.

“Pengetua mengarahkan kami menanggalkan seluar, walaupun ketika itu saya enggan kerana tidak memakai seluar dalam, tetapi terpaksa patuh kerana takut dikenakan tindakan lebih keras.

"Kami berdua kemudian disuruh memakai kain batik yang dibuat pengesat kaki di surau sekolah dan pengetua berkenaan merampas seluar kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dulang Kechil di sini.

Katanya, pada waktu rehat dia meminjam seluar sukan rakannya, tetapi pengetua berkenaan merampasnya dan disuruh memakai semula kain batik itu.

“Kami berdua pulang ke rumah dengan berkain batik dan sepanjang perjalanan menjadi bahan ketawa,” katanya.

Selain itu, Mohd Hairey mendakwa sembilan pelajar lain turut menerima pelbagai bentuk hukuman termasuk dipotong rambut dan dirotan kerana berambut panjang.

Dua daripada pelajar yang dipotong rambut itu adalah sepupu Mohd Hairey, iaitu Shaiful Asraf Husin, 14, pelajar Tingkatan Dua dan abangnya Shaiful Zhafri, 16, Tingkatan Empat.

Sumber: Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”