[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Jumaat, Ogos 29, 2008

Selamat Menyambut Kemerdekaan Ke-51


klik pada imej logo merdeka untuk maklumat lanjut..

Selamat Menyambut Ramadhan dan Peperiksaan Percubaan SPM 2008


Ramadhan adalah ujian untuk jiwa hamba-hamba Allah yang beriman....


Peperiksaan Percubaan SPM adalah ujian untuk pelajar-pelajar yang berilmu...


Semoga kalian berjaya untuk kedua-duanya. Amin

Isnin, Ogos 25, 2008

Untukmu Palestin (For You Palestine)





Artis: Raihan

Berdzikir dengan nama tuhanmu
Bermunajatlah di tengah malam
Bertaubatlah padanya penuh rasa hamba
Agar doa kita di.. makbulkan
Agar Palestina kita genggam semula
Agar Palestin bebas di tangan kita
Kembali damai disirami air
Kebenaran Al-Quran dan sunnah
Palestina kan dimiliki lagi
Ingatlah Allah dan hindarkan dosa
Palestin kan aman lagi
Dengan ketaatan dan amalan soleh
Palestine you will regain your land
Remember Allah and stay away from sin
Palestine will be at peace again
And filled with the worship of Allah
Dengan kata dan ketaqwaan
Pada Allah yang maha kuasa
Ketakutan dan kelemahan
Peluru dan dentuman
Bukan lagi penghalang
Pembelaan Allah akan datang
Palestin... Palestin... Palestin
Palestin... Palestin...
Palestin...

renungkanlah insan...

Asal usul Melayu terus dikaji

Oleh Mohd Azis Ngah mailto:azis@bharian.com.my





TELITI memeriksa serpihan artifak.

Pulau Kalumpang dipercayai penempatan pertama manusia prasejarah
MENELUSURI asal usul keturunan Melayu di Nusantara amat menarik tetapi sehingga kini belum ada ketetapan muktamad kerana terlalu banyak teori dan hujah. Merujuk kepada perlembagaan, orang Melayu adalah seorang Muslim, bertutur Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Ini bermakna sesiapa saja tanpa kira asal usul bangsanya boleh bergelar Melayu jika memiliki ciri-ciri di atas.


Namun, definisi Melayu di alam Melayu ditakrif sebagai mereka yang mendiami alam Melayu dan bertutur bahasa Austronesia/Melayu-Polinesia. Pengkaji sejarah, ahli arkeologi, pakar bahasa sentiasa mencari bukti kukuh melalui pelbagai kajian sekali gus menyemarakkan usaha mengesan asal usul Melayu. Wartawan Berita Minggu berpeluang mengikuti satu kajian lapangan oleh pakar arkeologi, Prof Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman yang kini mengkaji penemuan tapak arkeologi pra sejarah pertama di dunia yang dihuni manusia di kawasan bakau di Pulau Kalumpang, Perak.




DR NIK Hassan bersama kumpulan pengkaji melakukan kerja cari gali artifak di Pulau Kelumpang.




Memang banyak negara yang mempunyai kawasan bakau seperti India, Kemboja dan Afrika tetapi hanya di Malaysia dikesan mempunyai kesan peninggalan penempatan manusia prasejarah.
Kerja mencari gali dimulakan pada 1987 selama dua tahun dan dihentikan sebelum dimulakan semula sejak Mei lalu. Hasil kajian pertama, Prof Nik Hassan menemui 11 rangka manusia prasejarah dipercayai dikebumikan di tanah perkuburan di situ.
Manusia prasejarah itu dikatakan menanam mayat di bawah rumah mereka kerana pengkaji menemui tinggalan sisa makanan, tulang manusia, gigi yang dipercayai manusia yang hidup di abad kedua Sebelum Masihi hingga 10 Masihi.
"Kajian ini lebih menjurus kepada mengesan siapa yang sebenarnya tinggal di situ. Kami percaya penempatan ini didiami sekumpulan manusia keturunan Melayu yang hidup di pesisir pantai. Mungkin juga mereka keturunan India, Sumatera atau Orang Laut.

"Mereka lebih terbuka kepada hubungan luar berbanding Melayu yang tinggal di pedalaman. Bukti gigi dengan kesan makanan sirih dan pinang menguatkan hujah kemungkinan mereka orang Melayu dan penemuan serpihan tembikar, manik menunjukkan mereka berhubung dengan dunia luar," katanya.
Menariknya, Pulau Kalumpang yang jaraknya kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Gula, mempunyai tujuh kawasan penempatan yang mempunyai keluasan dua kilometer. Pulau itu juga mempunyai banyak pokok buluh yang sememangnya diakui tidak akan tumbuh di kawasan bakau.
Pokok buluh itu hidup subur dipercayai ditanam dengan tujuan pelbagai guna untuk membuat rumah, senjata dan alat menangkap ikan. Selain itu, penemuan kerang pelbagai jenis menunjukkan penduduk di situ sememangnya menjadikan hasil laut sebagai makanan utama.
Penduduk tempatan menggelar pulau itu sebagai Pulau Kota Kerang, ada yang memanggilnya Pulau Buluh. "Berdasarkan penemuan di pelbagai peringkat lapisan tanah, jelas menunjukkan diet makanan mereka juga berubah mengikut zaman. Kami menemui tulang ikan, monyet, burung, kepala babi dan beruk, mereka makan apa saja tetapi pada masa itu, rasanya mereka tidak beragama.
"Persoalannya ialah bagaimana mereka hilang atau berpindah, kami tidak pasti dan sedang mengkaji," katanya.
Ketika ini, Prof Nik Hassan dan pasukannya sudah menemui 50 jenis kerang pelbagai saiz yang jelas membezakan perubahan makanan penduduk di situ. Cara hidup mereka boleh dinilai berdasarkan sisa makanan yang ditemui.
Apa yang pasti, pasukannya gigih menjalankan kajian sama ada penempatan di situ mempunyai kaitan langsung dengan orang Melayu yang tinggal berhampiran di Kuala Sepetang, Kuala Gula atau Kuala Kurau dan ia perlu dipastikan melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Info: Tapak Arkeologi Pulau Kalumpang Pulau Kelumpang

-Mempunyai tujuh kawasan (Pulau Satu hingga Pulau Tujuh) seluas dua kilometer
-Pulau Satu hingga Pulau Lima adalah kawasan utama kajian
-Pulau Enam dan Pulau Tujuh terletak berdepan Pulau Selinsing
-Tapak itu diwartakan sebagai Kawasan Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi sebagai perkuburan prasejarah pada 15 Julai 2007.
-Pemetaan dan sukatan geografi mula dijalankan di situ pada tahun 1988.




Sumber: http://www.bharian.com.my (25 Ogos 2008)

Sejarah Jalur Gemilang



JALUR GEMILANG yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.


Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.


Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.



Mohamed Hamzah

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.


Jalur Gemilang dalam catatan sejarah




1. Pada 1999, Azhar Mansur, rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo membawa Jalur Gemilang merentasi Cape Leeuwin di Australia, South Cape di New Zealand, Cape Horn di Amerika Selatan, Kepulauan Fernando de Noronha di Lautan Atlantik dan Cape of Good Hope di Afrika Selatan.

2. Pada 23 Mei 1997, dua pendaki Projek Malaysia-Everest 97, M Magendran dan N Mohandas berjaya memacakkan bendera di puncak Everest setinggi 8,848 meter diseliputi salji selepas kira-kira dua bulan mendaki.

3. Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, membawa bendera Malaysia ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama 11 hari mulai 10 Oktober 2007. 4. Pemain badminton negara, Lee Chong Wei berjaya memenangi pingat perak pada temasya Olimpik Beijing 2008. Beliau sebelum ini pernah memenangi emas pada Sukan Komanwel 2006. Fakta Jalur Gemilang

Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995.

Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara.

Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996.

28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan Tun Dr Mahathir, pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.


Maksud lambang dan warna;

- Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju dan arah yang sama dianuti rakyat negara ini.


- Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.


- Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan, biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.





sumber: http://www.bharian.com.my (25 Ogos 2008)

Selasa, Ogos 19, 2008

5 sekolah Selangor dapat pengiktirafan

LIMA sekolah menengah di Selangor diberi Pensijilan Persekitaran Berkualiti Sistem 5S oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) kerana berjaya melaksanakan Program Excellent Learning (Excel) di sekolah masing-masing.

Sekolah terbabit ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya, Shah Alam; SMK Taman Dato’ Harun; SMK Taman Medan dan SMK (P) Taman Petaling, Petaling Jaya. Penganugerahan sijil itu disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam kepada pengetua sekolah terbabit dalam satu majlis di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Berucap pada majlis itu, Ismail berkata, seramai 8,235 pelajar dari 29 sekolah menengah seluruh negara terbabit dalam program rintis Excel yang diperkenalkan tahun ini bermatlamat meningkatkan kefahaman tentang produktiviti, kualiti dan kepentingan daya saing negara kepada pelajar.

Katanya, pelaksanaan program selama enam bulan mulai Februari lalu itu turut mendedahkan pelajar amalan produktif, selain teknik bersesuaian pelaksanaan projek kecemerlangan pembelajaran berlandaskan penambahbaikan berterusan. “Saya yakin program ini membantu menjadikan suasana pembelajaran di sekolah lebih selesa dan menarik, sekali gus menjana minda pelajar supaya lebih produktif dan berdaya saing.

“Malah, kejayaan lima sekolah mendapat pensijilan 5S akan dijadikan penanda aras dan contoh kepada sekolah lain,” katanya. Program Excel memerlukan sekolah melaksanakan projek persekitaran berkualiti dan penambahbaikan proses mewakili 90 peratus daripada keseluruhan program, manakala 10 peratus lagi projek penambahbaikan dan inovasi.

Sistem 5S atau Seiri - Sisih; Seiton - Susun; Seiso - Sapu; Seiketsu - Seragam dan Shikutse - Sentiasa Amal - adalah sistem amalan diadaptasikan dari negara matahari terbit, Jepun yang memfokuskan usaha mewujudkan persekitaran berkualiti di sesebuah organisasi.

Cetak artikel Hantar

Sumber: www.bharian.co.my (19 Ogos 2008)

Anak-anak didikku: BM SPM 2008

dwiklik pada imej untuk paparan lebih jelas


"Ya Allah, kaujadikan mereka insan yang soleh, solehah dan musleh

serta kurniakan mereka kejayaan di dunia dan di akhirat.

Amin..."

Selasa, Ogos 12, 2008

Sajak: Cangkir ilmu


Cangkir ilmu
lambang perjuangan
insan yang dahagakan ilmu
dalam pengembaraan hidup
di padang pasir kehidupan kering kontang



Cangkir ilmu
kami menadah cangkir yang kosong
bersih dan suci
dengan tulus nawaitu
mencari redha Allah
supaya ilmu yang bertakung
memenuhi cangkir ini
agar dapat diteguk
sebagai pemusnah dahaga kejahilan
menyemarakkan tenaga keimanan


Cangkir ilmu
datang daripada hati suci yang menandah
datang daripada jiwa jernih yang mencurah
bila diteguk sejuk bersalju
terasa resapan din keseluruh tubuh
mencetus rohani taqwa
menjana minda bijaksana
meletuskan jiwa merdeka
memperkasa zahir bertenaga
melantangkan suara bicara
agar Allah dan Rasul-Nya
dijulang setinggi angkasa raya


Cangkir ilmu
antara kejahilan dan wahyu
antara jahat dan jihad
antara redha dan paksa
antara surga dan neraka
pilihan di tangan anda...



oleh: Sutera Biru
Ogos 2008


Latihan PUI BM siri 05/08




Jawab soalan Kertas 2 dari tahun 2004-2007, SPM 1, SPM 2 dan Ramalan SPM

a) Soalan 2 a, 2 b, 2 c dan 2 d sahaja

Selamat bercuti dan selamat menjawab...

"Pucuk dicita ulam mendatang"
"Orang mengantuk disorongkan bantal"
"Kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan"


Sabtu, Ogos 09, 2008

Sajak daripada Anak didikku: Rahman D


Landasan Impian Nyata II
(Buat bumi Al-aqsa aku berbicara)

Pengembaraan musafir derita di bumi Al-Aqsa
melakarkan tinta pudar
pada kertas hati.
Tulisannya sarat kesengsaraan tenat
ceritanya terbias wajah ketakutan dahsyat.
Ruang damai sudah dikoyak
daripada kamus hayat mereka
hanya tinggal harapan tidak bernoktah.


Suatu hari
pasti warna damai kembali bersinar









Rahsia Lautan


Apabila kulontarkan
pandangan ke wajah lautan membiru
bergumam hati kecil
menafsirkan keindahan yang terenap
di balik madah agung penciptaan.



Ya Rabb, hadirkan daku cebisan waktu
buat kurentangkan jejak kembara
di dasar lautan-Mu
yang menzahirkan pelangi keunikan
menjawab keliru yang bertandang
melihat kebesaran alam ciptaan Al-khaliq.



Kerlipan mutiara rahsia
sudah kutemui di dalam batu keinsanan
harganya adalah ketundukan manusiawai
sejalur persepsi diri.



Aku terpana,
lautan bergelumang sejilid misteri.
Abadi,
sekadar mampu terpandang oleh mata hati



Hasil karya:


Rahman D
University of alexandaria Egypt
Alumni SMI Al-amin Gombak (G13)


Selasa, Ogos 05, 2008

Al-fatihah buat Guruku:S Othman Kelantan pulang ke rahmatullah

KUALA LUMPUR, 31 - Negara kehilangan seorang lagi tokoh sastera apabila Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali sebagai S Othman Kelantan pulang ke rahmatullah pada jam 12.05 tengah malam tadi di Hospital Serdang.

Difahamkan arwah mengalami sakit jantung, paru-paru berair dan juga tekanan darah rendah.

Menurut anak arwah, S M Zakir, jenazah ayahnya akan dikebumikan pada pagi ini.
"Jenazah berkenaan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi, Selangor," katanya.

Beliau telah mengajar Ustaz dalam bidang sastera ( pengajian media) terutama dalam pembikinan cerpen dan novel di Universiti Malaya pada tahun 1998. Tunjuk ajar beliau menjadikan ustaz seorang guru bahasa Melayu di SMI All-amin dan meminati cerpen dan novel. Sepanjang belajar dengan beliau, ustaz telah menghasilkan 5 buah cerpen dan sebuah novel "Siapa Suruh Masuk Tentera" yang akan diolah semula dan dicetak pada tahun hadapan.

Semoga arwah beliau dirahmati Allah dan diletakkan bersama roh para syuhada yang menegakkan islam dengan mata pena. Amin...

Biodata S Othman kelantan

Berikut adalah serba ringkas biodata Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan.
S OTHMAN KELANTAN atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Setelah lulus Ijazah Sarjana, S Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA.

Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kini beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).

S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.

Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003. Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian.

Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.

Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.

Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan.
Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa). Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam dunia kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003).

sumber: harakahdaily.net

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”