Memanfaatkan keistimewaan Syaaban
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Muslim digalak bertaubat mohon keampunan, keredaan pada bulan rahmat
SYAABAN adalah antara bulan mulia di sisi Allah. Ia bulan yang membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya. Justeru, Rasulullah banyak berpuasa sunat dalam bulan mulia ini di samping menggalakkan umat Islam melipatgandakan amal ibadat.
Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat sebanyak mungkin seperti mereka bersungguh-sungguh meluangkan masa untuk beribadat kepada Allah pada Ramadan. Adat Jahiliah dulu, orang Makkah lebih mengutamakan dan memuliakan Rejab dan melupakan Syaaban.
Sehubungan itu, Usamah bin Zaid berkata: “Aku bertanya Rasulullah Syaaban kerana aku tidak pernah lihat baginda banyak berpuasa sunat seperti berpuasa dalam Syaaban.”
Baginda menjawab: “Bulan yang banyak manusia lalai dan padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada Syaaban akan diangkatkan segala catatan amalan hamba kepada Allah. Dengan itu, aku amatlah suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa. (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’i).
Maksud hadis di atas jelas menunjukkan segala amal ibadat setiap Muslim sebenarnya diangkat malaikat pada tiap-tiap hari manakala amal ibadat Syaaban ini bolehlah dikatakan sebagai laporan tahunan yang disediakan oleh malaikat untuk dibawa ke hadrat Allah.
Setiap Muslim wajib menginsafi segala gerak geri, tindakan, perkataan, lintasan niat di hati dan sebagainya akan dicatatkan oleh malaikat tidak kira sama ada yang besar mahupun yang kecil.
Hal ini amat jelas melalui firman Allah bermaksud: “Dan demi sesungguhnya Kami mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Surah Qaf, ayat 16 - 18).
Oleh itu, setiap Muslim seharusnya menyedari dan menginsafi betapa ketatnya pengawasan Allah terhadap sekalian makhluk-Nya. Maka, dengan menginsafi pengawasan yang datang daripada pihak malaikat iaitu Malaikat ‘Atid dan Raqib di samping pengawasan secara langsung daripada Allah, mudah-mudahan manusia akan mempunyai rasa kesedaran dan keinsafan mendalam untuk menghentikan dan mengakhiri segala amalan buruk dilakukannya dari satu segi dan juga memiliki dorongan dan semangat untuk melaksanakan pelbagai amalan kebajikan dan soleh yang dianjurkan Islam dari satu segi yang lain.
Rasulullah adalah contoh teladan umat Islam dalam segala lapangan hidup, maka mereka digalakkan banyak berpuasa sunat Syaaban seperti berpuasa Rasulullah pada bulan itu.
Selepas Syaaban akan dituruti pula Ramadan yang diwajibkan kepada umat Islam berpuasa keseluruhannya. Dengan itu puasa Syaaban adalah perintis dan latihan untuk membiasakan diri bagi menunaikan kewajipan berpuasa dalam Ramadan sepenuhnya.
Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sudah tentu kurang terasa kepenatan dan tidak pula terkejut serta berasa berat hati untuk berpuasa dalam Ramadan nanti.
Selanjutnya, ada banyak hadis yang memberi perangsang kepada umat Islam supaya mengikuti sunnah Rasulullah.
Di antaranya, Saidatina ‘Aisyah pernah meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa sebulan sepenuhnya kecuali Ramadan, beliau juga tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa hampir sebulan penuh melainkan Syaaban. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Saidatina Aishah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berpuasa Syaaban semuanya. (Hadis riwayat Bukhari).
Saidatina Ummu Salmah pula berkata: “'aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Syaaban dan Ramadan. (Hadis riwayat Nasa’i).
Berdasarkan himpunan hadis di atas dapat disimpulkan Islam menggalakkan umatnya melaksanakan ibadat puasa sunat dalam Syaaban. Lebih-lebih lagi ibadat puasa adalah suatu ibadat yang sangat dituntut dilakukan dalam Syaaban.
Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai gerbang Ramadan, bulan ini sudah tentu akan melatih Muslim berpuasa menjelang ketibaan ujian yang berat pada Ramadan nanti.
Justeru, ada kalangan ulama berpendapat puasa pada bulan ini disifatkan yang paling afdal atau baik selepas daripada berpuasa Ramadan.
Berkenaan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban pula kita boleh dapati melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya, daripada Muaz bin Jabal r a, Nabi bersabda maksudnya: “Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hambanya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang berzina.”
Dalam hadis lain sebagai mana diriwayatkan Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud: “Allah memandang makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah (Hadis riwayat Ahmad).”
Demikian antara himpunan hadis menggambarkan secara umum kepada berkenaan kelebihan Syaaban yang sungguh istimewa ini. Oleh itu, amal ibadat mesti dilipat gandakan seperti diamalkan Rasulullah memperbanyakkan puasa sunat.
Yang paling utama sekali, setiap Muslim sewajarnya merebut peluang keemasan yang terhampar pada Syaaban untuk meraih keampunan dan keredaan Ilahi kerana ada hadis menyatakan bahawa Allah sedia memberi keampunan kepada hamba-Nya yang bertaubat pada sepanjang Syaaban yang penuh rahmat itu.
Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia

Sumber: Berita Harian online