[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Jumaat, Ogos 10, 2007

Isu Semasa: Kebakaran


Lima beranak terperangkap ditemui rentung
Oleh Mohd Roji Abdullah

KLUANG: Lima beranak rentung selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan dua unit rumah papan berkembar di Lorong Othman Mohd Salleh, Kampung Tengah di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Kasmuri Jasman, 49, isterinya, Supiah Abdul Karim, 41, serta tiga anak mereka, Hishamuddin, 13, Izwanuddin, 9, dan Nurul Macella, 8, dipercayai cuba melarikan diri melalui pintu belakang tetapi terperangkap akibat asap tebal.


Mayat Nurul Macella ditemui dalam pelukan ibunya di dapur dengan Izwanuddin di sisi mereka, manakala mayat Kasmuri dijumpai bersama Hishamuddin di pintu bilik air.

Hishamuddin, Izwanuddin dan Nurul Macella dikatakan sudah keluar dari rumah itu bersama kakak mereka, Norfarhana, 15, tetapi ketiga-tiganya masuk semula untuk mendapatkan ibu bapa mereka.

Tiga lagi anak pasangan itu, Faizah, 20, Salahuddin, 19, dan Juliana, 18, menuntut di institusi pengajian tinggi awam. Faizah pelajar Universiti Putra Malaysia, Salahuddin (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia) dan Juliana (Kolej Matrikulasi Pulau Pinang).

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kluang, Zahari Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.57 pagi tetapi api sedang marak dan memusnahkan rumah itu apabila pasukan bomba tiba kira-kira 4.05 pagi.

"Mayat kelima-lima mangsa ditemui di dapur, dipercayai cuba melarikan diri melalui pintu belakang kerana api sedang marak di tengah rumah,” katanya.

Jiran mangsa, Hamzah Mohd Said, 52, dan isteri. Jim Alias, 55, serta cucu mereka, Zulika Rabu, 4, sempat menyelamatkan diri.

Setakat ini, punca kebakaran belum diketahui tetapi beberapa jiran percaya ia disebabkan lilin berikutan bekalan elektrik ke rumah mangsa dipotong kerana mempunyai tunggakan bil.

Jiran mangsa, Jamliah Osman, 60-an, dipetik Bernama sebagai berkata Kasmuri sekeluarga terpaksa bergelap sejak lima hari lalu kerana bekalan elektrik ke rumahnya dipotong.

Katanya, beliau dan jiran lain percaya kebakaran itu berpunca daripada lilin yang terjatuh akibat ditiup angin kencang pagi semalam sebelum menyambar langsir dan perabot rumah berkenaan.

Sementara itu, abang Supiah, Sudirman Abdul Karim, 45, berkata Norfarhana memberitahu tiga adiknya yang sudah keluar bersamanya tiba-tiba berlari semula ke dalam rumah bagi mendapatkan ibu bapa mereka.

“Norfarhana masih trauma dan masih takut-takut hendak bercakap, tetapi ketika saya tanya bagaimana kejadian itu berlaku, dia memberitahu adik-adiknya sepatutnya selamat kerana sudah bersamanya di luar rumah.

"Bagaimanapun, mereka yang mungkin ketakutan, terus berlari mendapatkan ibu bapa mereka yang ketika itu dipercayai cuba mengambil air untuk memadamkan kebakaran di dapur," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Daerah Kluang.

sumber: Berita Harian Online

Latihan PUI BM Siri 03

Tugasan 1.

Model 7: Soalan Rumusan (muka surat 41)
Telah diselesaikan dalam PUI BM ( Jumaat)


Tugasan 2

Model 1: Kertas 1, Bahagian B (100 Markah/ 2 jam 30 minit)
(muka surat 2)


Menepati format SPM Bahasa Melayu.
Tanpa penggunaan cecair pemadam.
Tulisan yang jelas dan mudah dibaca.
Manipulasikan penggunaan kosa kata menarik.
Limpahi karangan anda dengan peribahasa.
Paparkan isi yang bernas serta huraian yang matang dan contoh yang sesuai.
Jumlah isi 5 atau 6.
Menepati tatabahasa Melayu


Tarikh penghantaran: 15 Ogos 2007 (Rabu)

Khamis, Ogos 09, 2007

Tazkirah: Israk dan Mikraj

Perintah solat lima waktu peristiwa besar Israk, Mikraj
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli


IMBAUAN peristiwa Israk dan Mikraj menjelma setiap kali tiba tarikh 27 Rejab. Rentetan peristiwa itu wajar dihayati kerana ia bukan sekadar mengisahkan perjalanan Rasulullah SAW tetapi adalah pengalaman bermakna dalam kehidupan peribadi Baginda sendiri.

Israk dan Mikraj adalah peristiwa besar yang mengandungi hikmah agung menunjukkan kekuatan Allah mencipta alam ini. Al-Quran mengabadikan peristiwa itu dalam surah al-Isra’ dan an-Najm. Ia membuktikan impak sebenar peristiwa itu yang membenarkan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan tidak mengehadkan risalah (al-Quran) yang dibawa Baginda diturunkan kepada bangsa Arab semata-mata.


Pemilihan Baginda SAW bagi mengesakan Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj adalah suatu penghormatan besar yang diberikan Allah kepada seorang Nabi yang juga Rasul terakhir.

Perjalanan Rasulullah SAW dalam peristiwa itu mencabar pemikiran manusia secara keseluruhannya. Hanya manusia yang beriman dan meyakini kekuasaan Allah saja yang dapat menerima kejadian itu sebagai kebenaran dan lambang kekuasaan Allah.

Namun tidak kurang pula yang menolaknya mentah-mentah kerana apa yang berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj tidak masuk dengan logik akal manusia secara lazim.

Peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj yang berlaku setahun sebelum penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah dianggap peristiwa penting kepada seluruh umat Islam. Ada sedikit khilaf dalam menentukan tarikh sebenar, tempat, bulan dan malam berlakunya peristiwa itu, tetapi ia tidak mematahkan keyakinan mukmin untuk menerima kebenaran peristiwa berkenaan.

Ulama mencapai kata sepakat sesiapa yang meragui atau tidak mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj hukumnya adalah kafir. Ini jelas dinyatakan dalam firman Allah Taala yang bermaksud: “Maha suci Allah yang membawa hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa di Palestin yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang amat mengetahuinya.” (Surah al-Isra’, ayat 1)

Daripada riwayat sahih, diceritakan mengenai beberapa kejadian yang berlaku kepada Rasulullah SAW sebelum Baginda SAW dibawa berjalan dalam Israk dan Mikraj. Diceritakan Baginda SAW dibawa malaikat Jibril dari rumahnya ke Baitul Muqaddis. Bersama Jibril, ada bekas (bejana) yang mengandungi hikmat dan iman, lalu dimasukkan ke dalam tubuh Rasulullah SAW apabila selesai proses membelah dada dan penyucian hati dengan air zama-zam.

Kemudian, Allah membawa satu makhluk lain yang panjang dan berwarna putih serta boleh melangkah sejauh mata memandang yang dinamakan buraq. Lalu Rasulullah SAW ditemani Jibril berangkat (Israk) ke Baitul Muqaddis menaiki Buraq.

Dari Baitul Muqaddis, Baginda SAW kemudian Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh. Allah memperlihatkan pelbagai kejadian aneh dan pelik kepada Rasulullah SAW sepanjang perjalanan sebagai gambaran balasan kepada hamba-Nya yang berbuat kebaikan dan kemungkaran sepanjang kehidupan di dunia.

Peristiwa paling besar dan penting diterima Baginda SAW ialah perintah Allah supaya umatnya melakukan ibadat solat fardu. Sewaktu tiba di Sidratul Muntaha, Rasulullah SAW menerima perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya iaitu sebanyak 50 waktu sehari semalam.

Sebaik menerima perintah itu, tanpa banyak bicara Rasulullah SAW dan Jibril bersiap untuk turun ke bumi. Pada ketika itu, Baginda SAW bertemu Nabi Musa yang bertanyakan hal itu. Selepas mendengar penjelasan Rasulullah SAW, Nabi Musa berkata: “Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan itu tidak akan terdaya dilakukan umatmu ya Muhammad.”

Rasulullah SAW dan Jibril kembali menghadap Tuhan. Selepas dipohon keringanan itu, maka jumlah solat dikurangkan kepada 40 kali. Apabila berjumpa dengan Nabi Musa kembali, dia meminta Rasulullah SAW menemui Allah Taala sekali lagi supaya jumlah itu dapat dikurangkan lagi.

Beberapa kali Rasulullah berulang alik menemui Allah Taala, sehinggalah Allah mengurangkannya kepada 10 dan akhirnya menjadi 5 waktu saja. Nabi Musa masih merasakan umat Muhammad tidak akan mampu melaksanakan ibadat solat lima waktu itu tetapi Rasulullah SAW nekad untuk tidak lagi menghadap Allah Taala kerana Baginda berasa malu untuk berdepan dengan Allah.

Biarpun jumlah solat dikurangkan menjadi lima waktu saja, namun ganjaran pahala mengerjakannya tetap menyamai ibadat solat 50 waktu.

Banyak lagi peristiwa yang diperlihatkan Allah kepada Rasulullah SAW sepanjang peristiwa mikrajnya ke langit. Semoga kita dapat bermuhasabah diri, merenung, menghayati dengan sebaiknya dan mengambil iktibar daripada peristiwa itu pada bulan Rejab yang mulia ini.


Sumber: Berita Harian online

Isnin, Ogos 06, 2007

Pelajar Bertanya, Ustaz Menjawab Siri 06

A) Bahasa

Soalan 1: Markah penuh dalam karangan

Hazimah: saya nak tanya, bagaimana ingin mendapatkan markah penuh dalam bahasa melayu kertas 2? maksud saya bagaimana caranya nak buat latihan karangan bahasa melayu?

Hazimah: ustaz, boleh tolong baritahu saya bagaimana ingin skor A1 DALAM SUBJEK BAHASA MELAYU?

Hazimah: ustaz, lg satu soalan...bagaimana mahu menghasilkan karangan yang baik dalam masa terdekat ini?


Jawapan: Sebenarnya persoalan ini telah terjawab apabila guru pakar dan penanda kertas Bahasa Melayu SPM dari Sepang datang ke Al-amin semasa bengkel bahasa Melayu bulan lepas. Rujuk kertas kerja dan buku yang beliau tulis untuk mendapat jawapan.

Namun begitu ustaz akan beritahu beberapa perkara secara umum sahaja untuk menguasai karangan anda. Antara langkah untuk menguasai hal ini adalah seperti berikut;

a) baca surak khabar dan majalah (menguasai isu semasa dan ilmu-ilmu lain yang berkaitan)
b) kuasai sistem bahasa Melayu (tatabahasa)
c) kuasai tanda baca
d) kuasai simpul bahasa
e) kuasai format karangan
f) kuasai teknik menulis (pendahuluan, isi dan penutup)
g) baca contoh-contoh karangan SPM yang bagus
h) kuasai isi-sisi penting beberapa bidang (contoh pendidikan, alam sekitar,sosial, ekonomi- paling kurang 5 bidang)
i) Kerap menulis karangan – membuat latihan
j) Kuasai kosa kata yang menarik
k) Kuasai petikan kata-kata pemimpin negara atau tokoh-tokoh agama
l) Tulisan yang jelas dan kemas
m) Elakkan kesalahan ejaan



Soalan 2: Soalan “Jelaskan”

Anon1: utz,bagaiman cara untuk menjawab soalan "jelaskan"

Jawapan: soalan ini memerlukan anda memperjelas sesuatu. Contohnya soalan, Jelaskan punca-punca berlakunya banjir di negara kita. Anda perlu mengupas isi yang diutarakan sejelas yang mungkin dengan sokongan ayat huraian dan ayat contoh yang matap.

Penebangan hutan yang tidak terkawal menyumbang kepada bencana banjir yang dahsyat. Tanpa pokok-pokok yang berfungsi sebagai ”span” atau penyerap hujan akan menyebabkan hujan yang turun dari langit terus ke kawasan rendah tanpa sekatan. Hal ini menyebabkan proses penyerapan air oleh bumi menjadi tergendala kerana nisbah air yang hendak diserap ke dalam bumi berlebihan dalam satu masa. Maka air yang tidak terserap oleh bumi akan berada di permukaan dan menjadi lebih buruk lagi apabila sungai tidak lagi mampu menampung air yang banyak. Situasai ini menyebabkan keadaan banjir yang dahsyat berlaku hingga mengorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda. Keadaan banjir sebegini pernah berlaku di TTDI, Shah Alam yang menenggelamkan ratusan rumah, kenderaan dan juga mengancam nyawa penduduk di situ, kesan daripada penebangan hutan tanpa kawalan di kawasan bukit berhampiran. Maka Jelaslah, penebangan hutang yang semberono ini menyumbang kepada bencana banjir yang akan merugikan semua pihak.

Soalan 3: Bahasa baku

Kermitt: Assalamualaikum, Ustadz. Nak tanya: Adakah pada zaman dahulu orang Melayu menuturkan bahasa Melayu secara baku?

Jawapan: Pada zaman dahulu bahasa Melayu dituturkan mengikut sebutan dialek masing-masing. Dialek bahasa Melayu wujud disebabkan oleh faktor geografi, maka orang di Melaka bertutur dengan dialek Melaka, di Kelantan, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan dan sebagainya, menuturkan dialek masing-masing. Adapun istilah “baku” itu adalah merujuk kepada sistem bahasa termasuk sebutan yang diselaraskan dan digunapakai di dalam urusan yang rasmi (mesyuarat, majlis dan surat menyurat) di seluruh negara. Bahasa Melayu baku banyak dirujuk pada bahasa Melayu dialek Johor dan dialek selangor. Kebaikan sistem bahasa Melayu baku antaranya, mudah difahami oleh semua orang dan dapat mengelakkan salah sangka atau salah faham yang boleh mengundang masalah perpaduan. Sebagai contoh boleh dijelaskan di bawah ini perbandingan dua dialek Melayu yang boleh mengundang masalah ketika berkomunikasi dengan penutur dialek Melayu lain;

a) dialek Kelatan: “Kawe minum air tuak sokmo. Demo nok?”
Maksud: tuak (air nira kelapa), kawe (saya), demo (awak), nok (mahu) dan sokmo (selalu/kerap).
b) dialek Kedah : “Apa khabaq, Pak penakan hang? Await lama tak hantaq khabaq”
Maksud: Khabaq (khabar), Pak penakan (bapa saudara), hang (awak), await (kenapa), hantaq (hantar)

Maka bahasa baku amat sesuai dituturkan ketika kedua-dua penutur dari dialek yang berlainan berkomunikasi.Jika dibakukan, jadi seperti di bawah ini;

a) “Saya minum air nira kelapa selalu. Awak mahu?”
b) “Apa khabar, bapa saudara awak? Kenapa lama tidak hantar berita?”



b) Tugasan PUI BM

Soalan 4: tugasan tatabahasa

Skyhigh426: ust..sy ingin bertanya,untuk bah.tatabahsa,perlu ke semua p'kataan disenaraikan dlm satu kertas..utk rujukan slps tu..(soalan bah. bndgkn 2 p'kataan tu dn buat ayat utk beza p'bndngn )

Jawapan: Ya semua perkataan yang salah perlu disenaraikan mengikut jenis kesalahannya (kalau boleh dalam satu kertas). Soalan tatabahasa lain belum disuruh buat.


c)Hal-Hal lain.

Soalan 5: Gementar
Anon1: ustaz,bagaimana cara untuk menghilangkan rasa gementar ketika berada di khalayak ramai?


Jawapan: Ustaz ajar berdasarkan pengalaman. Tarik nafas panjang-panjang, istighfar banyak-banyak, baca ayat kursi, baca doa sebelum berucap, tenangkan diri anda dan fokuskan diri anda pada tugasan anda (berucap, berpidato).

Soalan 6: Ilmu Mantik

bonzer: ustz,boleh ajar ilmu mantik x?

Jawapan: Boleh. Lepas SPM. Masuk tingkatan 6, ada subjek Ilmu Mantik yang ditawarkan. Anda boleh mempelajarinya.

Soalan 7: Buku rujukan Tatabahasa

Skyhigh426: lg satu,bole sy tau buku rujukan apa yg sesuai utk p'sediaan akhir utk bah imbuhan2x tu..(contoh meng-i) dll..

Jawapan: Sila rujuk buku-buku ini;
a) Buku Rujukan Sistem Bahasa (SASBADI)
b) Tatabahasa Dewan (DBP)
c) Senarai Semak Sistem Ejaan dan Tatabahasa Melayu (SAMSU YAACOB)- buku yang dibawa oleh cikgu dari Sepang


Soalan 8: bahasa baku

Kermitt: Assalamualaikum. Ustadz, benarkah bahawa bahasa Melayu hanya mempunyai tiga perkataan yang asli (bukan diambil dari bahasa lain)?

Jawapan: Saya rasa soalan ini untuk pelajar ijazah, sarjana atau kedoktoran. Kajian perlu dibuat dalam bentuk kertas kerja atau tesis. Banyak pandangan dan pendapat ahli bahasa tentang perkara ini. Anda perlu buat analisis dan kajian terlebih dahulu sebelum menerima kenyataan tersebut.

Kemerdekaan Menurut Perspektif Islam


Islam hormati hak kemerdekaan
Oleh Lokman Ismail


Individu bebas buat sesuatu selagi tidak bertentangan batasan syarak


KEMERDEKAAN dalam konteks negara adalah bebas daripada kuasa penjajahan. Negara merdeka diperintah dan ditadbir sendiri oleh rakyat negara itu. Kemerdekaan adalah harta paling mahal bagi sebuah negara dan rakyatnya. Kita harus bersyukur kerana sudah bebas daripada belenggu penjajah sejak 50 tahun lalu.

Kemerdekaan mengikut takrif Islam pula ialah kebebasan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang. Setiap individu berhak melakukan apa yang mendatangkan kebaikan kepadanya. Kebebasan itu tidak pula mendatangkan keburukan kepada diri sendiri, individu dan pihak lain.

Islam melihat erti kemerdekaan meliputi soal kenegaraan dan individu. Negara yang merdeka, tetapi rakyatnya terbelenggu dengan pelbagai masalah, dikuasai pemikiran dan cara hidup, sebenarnya masih belum merdeka. Begitu juga jika rakyat bebas melakukan apa untuk dirinya, tetapi negara masih dijajah, maka tidak bererti sepenuhnya.

Islam mengamalkan dasar merdeka kerana tidak ada individu atau pihak yang perlu tunduk kepada telunjuk individu atau pihak lain, melainkan hanya kepada Allah semata-mata. Hubungan sesama manusia hanyalah dengan maksud saling membantu, saling mendapat manfaat dan melaksanakan hak bagi individu atau pihak yang terbabit. Tiada individu atau pihak lain boleh bertindak sebagai penguasa atau penjajah terhadap yang lain.


Hakikatnya, semua manusia adalah hamba kepada-Nya. Manusia diberi hak kemerdekaan dalam urusan kehidupan, yang mempunyai kaitan dengan konteks takwa. Dengan kata lain, kebebasan manusia adalah kebebasan bersyarat.

Islam melarang sebarang bentuk tindakan penganiayaan, keganasan, penguasaan tidak pada hak, perhambaan, fahaman taksub dan mempercayai perkara karut marut. Erti dan nilai kemerdekaan yang dibawa Islam dapat dilihat dengan ketara dalam masyarakat Arab Jahiliah selepas ketibaan Islam.

Masyarakat Arab yang bergelumang dengan norma kehidupan ‘binatang’ sudah bertukar kepada nilai insan yang luhur dan merdeka daripada kebatilan hasil kemerdekaan hidup dibawa dalam ajaran Islam.

Nur Islam menerangi manusia ke jalan kemerdekaan sesuai dengan fitrah manusia. Manusia ingin hidup bebas tetapi kebebasan itu sering merosakkan kehidupan. Justeru, ajaran Islam memberi panduan erti kemerdekaan yang seharusnya diikuti untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Islam membawa kesempurnaan dan rahmat keseluruhan alam tanpa dilakukan secara paksaan. Manusia bebas dan merdeka sepenuhnya untuk memilih cara hidup dalam soal kepercayaan atau agama. Tegasnya, Islam tidak memaksa semua orang menerima ajarannya.

Sesiapa yang mendapat nur Islam, ia dilakukan dengan kerelaan sendiri. Tidak ada dalam sejarah penyebaran Islam dilakukan secara paksa. Islam mempertahankan konsep kemerdekaan yang memberi peluang setiap hamba-Nya menentukan kepercayaan di dunia ini.

Ketika Rasulullah SAW membuka kota Makkah, seluruh penduduknya diberi pilihan untuk menerima Islam atau terus kekal dalam agama asal. Bahkan, Rasulullah SAW memberi pengampunan dan membebaskan individu yang sebelum itu memusuhi dan melakukan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap Baginda.

Islam disebarkan dengan keyakinan tauhid berdasarkan kepada ia agama terbaik untuk seluruh umat. Kemanisan iman hanya dikecapi jika dilakukan dengan kerelaan dan kesedaran. Islam mengamalkan konsep kemerdekaan secara menyeluruh terhadap penganut agama lain dalam soal penerimaan agama Islam.

Hakikat kemerdekaan yang diamalkan umat Islam dipandang tinggi, sempurna dan bertepatan dengan naluri manusia. Keluasan ajaran Islam menjadi faktor mengapa Islam mudah diterima di seluruh pelusuk dunia.

Kemerdekaan dalam Islam membawa amalan keterbukaan dan menghormati hak individu. Segala urusan pemilikan dan kekuasaan dilakukan secara adil. Malangnya, semakin jauh Islam dikembangkan, penghayatan terhadap kemerdekaan dalam Islam sudah diselewengkan. Umat Islam hanyut dalam kemerdekaan dikurniakan Allah.

Kebebasan diberikan disalahgunakan sehingga terkeluar daripada ajaran Islam sebenar. Sikap tamak dan ingin menguasai sesuatu dengan tanpa hak mula menguasai gaya hidup umat Islam.

Kebebasan membuat pilihan membawa perpecahan dalam umat Islam.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam mula berpecah dan bermusuhan sesama sendiri. Proses peralihan kuasa daripada seorang khalifah kepada khalifah lain mencetuskan permusuhan.

Nabi Muhammad SAW tidak melantik atau mewasiatkan siapa harus menggantikan Baginda adalah tanda keterbukaan dan kebebasan memilih dalam soal kepimpinan dan hal lain bersangkutan kepentingan umat Islam.

Kebebasan sepatutnya menambah kekuatan kerana dapat membuat pilihan terbaik. Keterbukaan dan kemerdekaan fikiran harus dijadikan teras kepada penghayatan ajaran Islam. Jangan mengheret orang lain kepada pemikiran jumud, taksub dan ekstrem.

Setiap orang bebas memberi cadangan dan melakukan apa yang terbaik. Ajaran Islam memberi kebebasan bagi umatnya melakukan sesuatu bersesuaian dengan naluri, selagi tidak bertentangan batasan syariat.

Sifat kesyumulan Islam untuk seluruh umat manusia. Islam memayungi seluruh umat manusia sehingga ke hari kiamat. Sebab itu konsep kebebasan dan kemerdekaan memberi ruang yang luas untuk manusia melakukan apa diperlukan. Setiap bangsa dan manusia pada zaman berbeza memerlukan sesuatu yang berbeza.

Hal ini jelas dalam membuktikan keluasan rahmat Allah. Manusia bebas melakukan usaha untuk kebaikan. Islam menggalakkan setiap umatnya mencipta kejayaan dan kecemerlangan berdasarkan kepada nilai kemerdekaan yang diberikan.

Sesungguhnya apa yang manusia lakukan adalah untuk dirinya sendiri. Allah tidak mendapat keuntungan atau kerugian atas apa yang dilakukan hamba-Nya. Allah memberi pembalasan bersesuaian dengan apa yang dilakukan setiap orang.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal salih, sama ada lelaki atau perempuan, mereka akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.” – (Surah an-Nisa, ayat 124)

Seseorang akan mendapat kemerdekaan sebenar jika menghayati ajaran Islam. Islam memberi panduan membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Sesiapa berpandukan kepada ajaran Islam pasti tidak akan sesat di dunia dan bakal mendapat kejayaan di akhirat.

Rabu, Ogos 01, 2007

Isu semasa: Pelajar Biadab


‘Saya bersalah, malu’

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my
KOTA TINGGI: “Saya berasa bersalah dan malu atas tindakan saya, lebih-lebih lagi apabila kejadian itu didedahkan di akhbar,” kata pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kota Tinggi yang didakwa mencekik seorang guru wanita, Khamis lalu.


Menurut Daud Nordin, 17, dia lega kes itu dapat diselesaikan dengan cara baik walaupun hukuman buang sekolah dikenakan ke atasnya masih dikekalkan.

Saya malu apabila gambar dan nama saya disiarkan dalam akhbar (bukan Harian Metro) kerana orang ramai mungkin menganggap saya jahat sangat.


“Lega dan bersalah bercampur-campur apabila kes ini selesai dan cikgu sudi memaafkan saya,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan khas yang diatur sempena lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar ke sekolah itu bagi menyelesaikan kes berkenaan.


Daud berkata, kini dia hanya memikirkan soal membuat rayuan kepada Jabatan Pelajaran Johor untuk kembali ke sekolah itu berikutan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya beberapa bulan lagi.


“Saya akan menyambung pelajaran di sekolah sama, tapi perlu membuat rayuan dan mengikuti program jati diri seperti yang diarahkan Kementerian Pelajaran.


“Bapa saya akan membuat rayuan secepat mungkin kepada Jabatan Pelajaran Johor dan saya pun mahu kembali segera ke sekolah,” katanya.


Hadir sama dalam perjumpaan lebih dua jam setengah itu guru wanita terbabit, Zulfa Abd Rahman, 28, bersama suaminya, Zulkifli Said serta bapa Daud, Nordin Narkam, 56.


Sementara itu, Zulfa berkata, berikutan kejadian di luar dugaan itu, dia kini trauma hingga menjejaskan tanggungjawabnya sebagai pendidik di sekolah itu.


“Selepas itu, saya ketakutan apabila berada di sekolah sehingga tidak dapat memberi tumpuan ketika mengajar.


“Saya kini dalam usaha merayu supaya ditukarkan ke sekolah lain di luar daerah ini. Saya akan membuat permohonan ditukarkan ke sekolah rendah di kampung saya di Muar,” katanya.


Bagaimanapun, dia menerima apa yang berlaku sebagai mempunyai hikmah tersendiri dalam kerjayanya sebagai guru sejak mula bertugas, empat tahun lalu.


Harian Metro, yang mendedahkan kejadian itu pada muka depan Sabtu lalu, melaporkan disebabkan menegur sekumpulan sembilan pelajar lelaki tingkatan lima kerana membuat bising, seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di Kota Tinggi, dicekik seorang daripada pelajar terbabit.


Dalam kejadian ketika waktu rehat bagi pelajar tingkatan lima kira-kira jam 10.30 pagi Khamis lalu itu, insiden tercetus apabila pelajar terbabit membuat bising dalam tandas di tingkat dua berdekatan bilik darjah.


Mereka sedang mentertawakan seorang pelajar tingkatan tiga yang mendakwa seluarnya terkoyak dalam bilik air sekali gus menimbulkan suasana gamat sehingga dapat didengari dari sebuah kelas berdekatan.


Berikutan itu, guru berkenaan menyuruh pelajar terbabit keluar dan berbaris di kaki lima depan tandas sambil memarahi dan mengarahkan mereka membuat ketuk ketampi kerana membuat bising sehingga mengganggu dia sedang mengajar di kelas sebelah.

Bagaimanapun, enam daripada sembilan pelajar itu melarikan diri kecuali tiga yang pada mulanya berdiri sebelum berjalan dan tidak mengendahkan arahan guru itu.


Berang dengan sikap kurang ajar pelajar terbabit, guru itu sempat menarik baju seorang daripada pelajar terbabit, sebelum pelajar itu mencekik, mengangkat dan menolak guru itu ke dinding.


Akibat kejadian itu, guru yang pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang itu terpaksa dibawa ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan polis dan PPD.


Difahamkan, guru berkenaan juga terpaksa mendapat rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi kerana lebam di leher hingga menghadapi kesukaran menggerakkan lehernya.


Bagaimanapun, keesokannya, pelajar terbabit menafikan perbuatannya, sebaliknya mendakwa guru berkenaan menyuruh dia dan rakannya melakukan tekan tubi di atas lantai kaki lima yang kotor dengan air limpahan dari tandas menyebabkan ada yang bertindak mengingkari arahan dan masuk semula ke dalam bilik air.

Emel Artikel Cetak Artikel

Isu Semasa: Anak Derhaka

'Ambillah nyawa anakku'

MAZIDAH Hakim, 50, (bukan nama sebenar) kini mengalami masalah pendengaran selepas gegendang telinga kanannya rosak dan kepalanya bengkak akibat kerap dibelasah anak lelakinya berusia 25 tahun. Ada ketikanya kepalanya dihentak ke dinding.Tidak cukup dengan itu, anak yang menagih pelbagai jenis dadah itu turut bertindak kejam terhadap bapanya, Amran Ibrahim, 54, termasuk pernah ditumbuk sehingga lebam sebelah mata, jika permintaannya tidak dipenuhi.

Ikuti luahan hati Mazidah seperti diceritakan kepada wartawan Metro Ahad, FUAD HADINATA YAACOB ketika ditemui baru-baru ini.

· Ludah lauk satu periuk
“KEJADIAN ini bermula kira-kira lima tahun lalu apabila anak sulung saya yang ketika itu berusia 20 tahun mula menagih pelbagai jenis dadah, termasuk ganja, syabu dan gam.Sejak itu, boleh dikatakan hampir setiap minggu, dua atau tiga kali saya jadi mangsa kaki dan tangannya kerana hanya saya yang tinggal di rumah. Memang sakit telinga, badan dan kepala sehingga gegendang telinga sebelah kanan saya rosak dan kurang pendengaran.Dia minta wang tak banyak, tetapi kerap. Ada ketika RM5, setengah jam selepas itu RM2 dan beberapa minit kemudian RM1. Mahu atau tidak, saya yang tidak bekerja ini perlu sediakan sekurang-kurangnya RM12 sehari untuk dia.Malah, bila suami balik, dia minta dengan suami pula dan setiap kali sebelum pulang, suami perlu sediakan wang kecil kerana dia tahu anak kami akan minta. Jika tiada wang kecil, dia sanggup tukar.

Pernah saya tiada wang untuk diberi, tanpa perasaan kasihan, dia tampar saya. Ada ketikanya dia menghentakkan sikunya ke atas kepala saya sehingga bengkak. Dia juga sanggup tendang belakang saya sehingga terjatuh dan menghantukkan kepala saya ke dinding.Setiap kali dia balik rumah, saya takut kerana apabila khayal, dia bertindak di luar batasan. Barang dalam rumah habis dipecahkan, malah periuk tembaga yang sukar ditemui hari ini, turut dijual.Apabila kami tiada di rumah ketika balik kampung, saya kunci pintu bilik. Apabila tak dapat masuk, dia pecahkan pintu dengan tukul besi. Tingkap rumah kami diganti banyak kali, begitu juga barangan dalam rumah.Kami perlu ikut kemahuan dia, jika tidak dia bertindak kasar.

Selain perbelanjaan setiap hari, pada hujung bulan dia minta kami belikan pakaian berjenama seperti seluar atau baju bernilai ratusan ringgit.Saya dan suami tidak mampu menolak kerana bimbang dia bertindak lebih agresif tetapi selepas seminggu beli, kami tidak tahu ke mana perginya pakaian itu.Bukan itu saja, sejak anak lelaki saya ada lesen, suami beli lapan motosikal tetapi satupun tiada hari ini. Ada yang dia jual, rosak dan ditarik kerana tak bayar ansuran.

Malah, kami yang tanggung segala perbelanjaan seperti cukai jalan, insurans dan kerosakan.Selain saya, suami juga jadi mangsa. Jika suami tak beri atau tiada duit masa dia minta, dia marah, malah sampai satu tahap dia sanggup pukul ayah dia sehingga lebam sebelah mata.Dua adiknya juga jadi mangsa. Jika mahu makan makanan segera, dia minta adiknya beli. Malah, setiap kali dapat gaji, adiknya pasti beli pelbagai makanan dan minuman sehingga penuh peti sejuk. Ini kerana, jika apa yang dia minta tak dapat atau tak ada, dia marah dan mengamuk sehingga adik perempuannya dipukul dan ditendang.

Di rumah ini, televisyen bersaiz besar yang ada, dia yang minta, begitu juga dengan pengubahsuaian rumah. Mengenai makanan yang saya masak, dia sangat memilih. Ikan kecil dia tak suka, malah dia tergamak kata saya seperti nak beri makan kucing jika masak lauk ikan kecil.Dia hanya makan ikan bersaiz besar dan mahal. Malah, jika ada lauk yang saya masak dia tak suka, dia sanggup meludah makanan itu sesuka hati, termasuk nasi.

Pernah saya masak kari ikan dalam satu periuk besar kerana kami anak-beranak berkumpul di rumah pada hari itu, tiba-tiba dia meludah ke dalamnya. Saya sedih dan kami terpaksa makan di luar. Kerana itu, kami selalu keluar makan disebabkan tekanan yang dihadapi.Dia balik saja rumah, kami tertekan dengan keadaannya yang tak terurus, berbau busuk dan khayal. Sebab itu suami selalu bawa saya dan anak keluar berjalan.

Bayangkan, jika saya dan suami tertekan, kami sanggup pergi ke Tanjung Harapan atau Pulau Indah, Klang jam 12 tengah malam atau 1 pagi untuk tenangkan fikiran.Selain itu, bila suami tertekan sangat, dia selalu bawa kami pergi ke tempat yang tidak dirancang. Pernah pada satu hari, bila suami isi minyak kereta, dia tak mahu balik rumah dan ajak saya dan anak ke Langkawi tanpa membawa pakaian.Kami beli pakaian di sana dan tenangkan fikiran. Ada juga suami tanpa dirancang membeli tiket kapal terbang ke Sarawak untuk saya dan dia ke sana selama tiga hari semata-mata untuk meredakan ketegangan.Memang setiap kali saya atau suami ada di rumah, kami tertekan dengan sikap anak lelaki. Bukan kami tidak buat laporan polis, semua sudah dilakukan, begitu juga melaporkannya kepada agensi bertanggungjawab.Saya dan suami juga berusaha memulihkannya dengan pelbagai cara, malah dari Johor hingga Perlis sudah kami jelajahi semata-mata mahu anak kami pulih dan menjadi normal.Pelbagai usaha kami buat seperti ambil air kolah tujuh masjid, cari air terjun dan puasa pada hari lahirnya yang mungkin sukar dilakukan ibu bapa lain, tetapi kami lakukan.

Setiap malam, kami buat sembahyang hajat, tahajud dan berdoa untuk melembutkan hati anak kami supaya kembali ke pangkal jalan.Saya dan suami buntu sehingga ke satu tahap, kami pergi ke tanah perkuburan, menggenggam tanah kubur dan berdoa kepada Allah SWT. Kami memohon, jika Allah SWT hendak memanjangkan usianya, jadikanlah dia manusia yang baik, jika tidak kami sanggup ‘menyerahkannya’ semula kepada Tuhan. Ambillah supaya dia tak lakukan dosa lagi.Malah, suami saya reda dan rela jika ditakdirkan anak kami meninggal dunia dalam keadaan apa sekalipun, dia sanggup uruskan mayatnya.”

· Jangan salahkan kami
“JANGAN salahkan ibu bapa semata-mata jika anak jadi liar atau bertindak di luar batasan,” kata Amran mengenai pengalaman yang dilalui bersama isteri akibat perbuatan anaknya.Katanya, ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anak mereka menjadi manusia baik dan berjaya, namun apa yang berlaku seperti dihadapi mereka di luar keupayaan.Katanya, sebagai bapa, dia sudah memberi didikan terbaik, termasuk pendidikan agama supaya anak lelaki yang disayangi menjadi manusia berguna.“Percaya atau tidak, sebenarnya sejak anak lelaki kami di sekolah tadika (taman didikan kanak-kanak) lagi, saya mula mengubatinya dengan meminta air penawar daripada tokoh agama untuk melembutkan hatinya apabila melihat kenakalannya.“Malah, selama tiga tahun iaitu dari tingkatan satu hingga tiga, saya masukkan dia ke sekolah agama pondok dengan harapan apabila keluar nanti, sekurang-kurangnya dia boleh jadi bilal di masjid,” katanya.

Namun, katanya, semuanya berubah apabila selepas tamat pendidikan di sekolah agama itu, anak lelakinya enggan menyambung persekolahan lagi, sekali gus hanya menerima pendidikan akademik setakat tingkatan tiga.Amran berkata, dia tidak mampu menghalang tindakan anaknya kerana jika berkeras, dia bertindak agresif.“Selepas tidak mahu bersekolah, dia ada bekerja tetapi hanya sementara. Apabila dapat gaji, dia tidak pergi kerja. Saya tidak mampu buat apa-apa, sudah nasihat dan melakukan pelbagai cara dengan harapan dia dengar dan kembali ke pangkal jalan,” katanya.Menurut Amran, sikap anak lelakinya semakin agresif ketika berusia 20 tahun selepas dia mengambil dadah.“Pelbagai cara kami lakukan untuk mengubatinya, namun belum ada kejayaan.

Sepanjang berdepan dengannya, saya gunakan psikologi kerana kami tak boleh bertindak kasar, bimbang dia bertindak di luar jangkaan,” katanya yang mengakui sangat tertekan dengan masalah itu.Amran berkata, setiap kali bertemu rakan atau mereka yang pakar, dia tidak segan atau malu memberitahu masalah anaknya, malah pergi ke tempat di mana saja dikatakan yang boleh memulihkan anak lelakinya.Sepanjang berusaha memulihkan anaknya, Amran dan isterinya tidak pernah berputus asa hinggalah pada satu hari dia terbaca akhbar Metro Ahad mengenai Rumah Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim).“Isteri beritahu saya mengenai artikel itu, pada mulanya saya kurang berminat, tetapi apabila ada nombor telefon bimbit Ustaz Hanafi Malek (Pengerusi Sidim), saya yakin dan terus menghubunginya.“Selepas berjaya bercakap dengan ustaz, saya diminta hadir untuk satu program di Masjid KLCC (Kuala Lumpur City Centre). Ketika itu, saya hanya ada RM70, sedangkan pendaftaran seorang RM30. Namun, atas belas ihsan ustaz, saya dan isteri dibenarkan turut serta,” katanya.

Selepas pertemuan itu, Amran melalui doa yang diberikan Hanafi menghantar anaknya ke Sidim. Katanya, meskipun anaknya marah dan memberontak, ia dapat diselesaikan dengan baik.“Saya berharap dia betul-betul pulih sebelum pulang ke rumah dan kalau boleh saya mahu dia menetap di sana melakukan apa-apa kerja supaya tidak kembali kepada perangai lama.“Saya tahu, dia lebih banyak terpengaruh dengan rakan selama ini dan selepas ini, saya berdoa masyarakat dapat terimanya kembali, bukan menghina,” katanya.

· Doakan pahala sedekah untuk anak

KUALA LUMPUR: Ibu bapa atau ahli keluarga yang menghadapi masalah anak bertindak di luar kawalan sehingga menggugat nyawa sendiri perlu mengambil tindakan lari dari rumah dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.Selain itu, langkah menangani juga boleh dilakukan mengikut kaedah Islam dengan bersedekah dan mendoakan pahala amalan itu untuk anak bermasalah supaya hatinya menjadi lembut.

Pengerusi Yayasan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Malek, berkata selain itu, keluarga boleh mengamalkan membaca ayat al-Quran, terutama surah al-Ikhlas, sebanyak mungkin dan ditujukan untuk anak berkenaan.“Memang dalam keadaan hari ini, pelbagai perkara boleh berlaku. Bayangkan, tangan ibu bapa yang membesar dan mendidik anak sejak lahir tetapi apabila mereka besar, tangan itu pula memukul orang tuanya. Subhanallah...,” katanya.D

alam usaha menangani masalah yang semakin membimbangkan itu, beliau mencadangkan institusi atau pusat latihan diwujudkan di setiap negeri yang memberi tumpuan khusus mendidik golongan sasar dalam aspek pendidikan agama dan kemahiran.“Hari ini, ramai remaja dibuang sekolah selain tidak berminat lagi untuk bersekolah, jadi apa mereka nak buat dan ke mana mereka pergi. Justeru, saya cadangkan kerajaan mewujudkan satu institusi yang mengumpulkan mereka yang tercicir dan menjalankan sistem berasaskan kemahiran dan keagamaan,” katanya.Selain itu, katanya, penubuhan rumah kebajikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) sepertimana dilakukannya perlu ditambah dan disokong mengikut kepakaran mereka yang menjalankannya, sama ada golongan profesional, alim ulama atau ahli akademik.

“Golongan korporat atau mereka yang berjaya, boleh menyumbang kepada NGO ini dengan pelbagai cara, sama ada menyewa rumah untuk menjalankan program atau menyumbangkan kenderaan dan kediaman.“Pada saya, rumah seperti ini perlu banyak dan penghuninya pula ditetapkan maksimum sehingga 40 orang, jika ramai, sukar untuk fokus.

Mereka juga perlu dibantu daripada segi kewangan, dan saya misalnya menggunakan wang hasil ceramah motivasi di sekolah, universiti atau masjid untuk menguruskan Rumah Sidim.“Kalau nak diikutkan, memang saya tak mampu untuk menampung kos operasi seharian, namun saya lakukan kerana Allah SWT dan alhamdulillah Allah Maha Pemurah dan Kaya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sukarelawan yang ikhlas dan bukan mengejar nama dalam menjalankan kerja seperti itu perlu bagi mencapai objektif untuk menyelamatkan anak bangsa.Sementara itu, beliau turut mencadangkan Program Khidmat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dijalankan selepas pelajar menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) supaya wujud perasaan sayang dan bangga dengan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Emel Artikel Cetak Artikel

Sumber: http://bmspm.net/

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”