KEPUTUSAN Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengharamkan ‘Peraduan 100 Hari 100 Kereta’ anjuran Celcom kerana mengandungi unsur judi, sedikit sebanyak meleraikan kegelisahan dan keraguan masyarakat Islam. Tindakan itu dilihat tepat pada masanya kerana masyarakat memang mudah terpesona dengan peraduan yang menawarkan ganjaran mewah tanpa memikirkan terlebih dulu sama ada sesuatu peraduan itu mematuhi syariah atau sebaliknya. Semoga keputusan itu memberikan iktibar kepada seluruh syarikat telekomunikasi untuk merujuk terlebih dulu kepada Jakim sebelum melancarkan apa jua produk khususnya yang membabitkan pertandingan dan peraduan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2004 menetapkan, peraduan kuiz berbayar melalui SMS adalah haram kerana ada unsur judi. Masyarakat umum gusar melihat peraduan SMS berleluasa di stesen televisyen dan telekomunikasi hari ini. Apa yang dirisaukan adalah peraduan ini mungkin sengaja direka dan dipatenkan penganjur bagi mengaut keuntungan mudah hasil tidak prihatin pengguna berkaitan hukum dan undang-undang. Peraduan itu menyebabkan masyarakat terperangkap ke kancah judi moden. Sepatutnya, syarikat telekomunikasi dan stesen TV perlu peka dengan aspek hukum, jangan sampai mahu mengambil kesempatan berikutan kejahilan pengguna. Hujah panel mengharamkan peraduan itu yang boleh menggalakkan pembaziran sangat tepat. Dalam menghadapi kenaikan harga minyak, masyarakat perlu menguruskan perbelanjaan mereka dengan baik. Jangan sesekali tertipu dengan helah peraduan yang akhirnya menyebabkan kita terjerumus ke dalam lembah kepapaan. Kita asyik merungut tidak cukup wang tetapi pada masa sama kita leka menghabiskan wang ke arah perkara yang belum tentu memberi manfaat seperti peraduan SMS itu. MOHD IHSAN MOHD DAUD, Gong Badak, Terengganu. SUMNER BERITA HARIAN ONLINE (27 jUN 2008) |
Jumaat, Jun 27, 2008
Tindakan Jakim haram peraduan SMS disokong
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan