[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Khamis, Disember 13, 2007

Isu Bahasa Melayu: Pengajaran Matematik Dan Sains dalam Bahasa Inggeris

Negara rugi besar jika dasar PPSMI dihentikan

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Subjek Sains, Matematik dalam BI perlu masa capai matlamat

LANGKAH kembali kepada pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia boleh menyebabkan kerugian besar kepada negara dalam menghadapi persaingan pasaran ekonomi antarabangsa, sekali gus menenggelamkan suara Malaysia di pentas dunia.

Malah, ia akan turut menyebabkan pelaburan besar kerajaan melaksanakan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, menjadi sia-sia dan membazir.


Tindakan itu juga akan mengakibatkan pelajar berdepan dengan masalah ketika mengikuti pengajian tinggi serta bidang kerjaya pada masa depan.

Demikian antara penekanan digariskan dalam rumusan hasil perbincangan meja bulat pada Kolokium Kebangsaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang dihadiri 220 peserta seluruh negara, kelmarin.

Rumusan terbabit disampaikan Naib Presiden Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (Melta), Dr Ganakumaran Subramaniam, pada akhir program berkenaan.


Hasil kolokium sehari anjuran Melta itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran, minggu depan, untuk tindakan sewajarnya.


Berdasarkan hasil perbincangan meja bulat itu, Dr Ganakumaran berkata, pelaksanaan PPSMI perlu diteruskan berikutan peranan utama bahasa Inggeris sebagai bahasa global dan juga bahasa teknologi.

Justeru, beliau berkata, pembelajaran ilmu dua bidang penting berkenaan dalam bahasa Inggeris akan memanfaatkan negara di pentas dunia, di samping membantu pelajar dalam mengikuti pengajian tinggi.

“Perkara ini boleh dilaksanakan kerana negara mempunyai sumber, bahan dan kepakaran. Kita ada `pelan kelas pertama’ tetapi memerlukan lebih masa untuk melaksanakan perancangan itu di seluruh negara secara berkesan.

“Dalam konteks ini, antara usaha sedang dibuat ialah menyediakan tenaga kerja seperti mengadakan kursus jangka pendek bagi guru terbabit,” katanya.

Melalui PPSMI, Dr Ganakumaran berkata, guru diperuntukkan alat serta kemudahan mengakses ilmu pengetahuan dan pembelajaran berterusan.

Bukan itu saja, beliau berkata, pelajar juga berupaya mengakses ilmu pengetahuan berikutan 85 peratus daripada sumber internet menggunakan bahasa Inggeris.

Katanya, ini secara langsung membolehkan pelajar menjadi `global players’ dan berpendidikan tinggi dengan mereka semakin selesa menggunakan bahasa Inggeris secara berperingkat, manakala negara pula menikmati penjanaan sumber manusia yang lebih baik.

Beliau berkata, matlamat PPSMI mampu dicapai meskipun wujud jurang perbezaan antara sekolah bandar, pinggir bandar dan pedalaman jika langkah menanganinya dilaksanakan dalam semua aspek berkaitan.

Bagi aspek guru, katanya, antara langkah perlu diambil ialah menggalakkan lebih ramai pendidik berpengalaman dan mahir untuk mengajar di sekolah luar bandar.


sumber: berita harian online

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”