[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Jumaat, Mac 27, 2009

Tazkirah Jumaat: Mengingati Mati (Khutbah)

Kategori : jumaat (25-Jan-2008) - 16hb Muharram 1429H

Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam



MENGINGATI MATI


Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata'ala di dunia mahupun di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,


Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat sementara yang tidak akan kekal selamanya. Setiap yang hidup pasti akan mati, begitu juga kehidupan kita ini pasti akan berakhir dengan kematian dan kita tidak akan dapat lari daripada-Nya. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Surah Al Jumu'ah ayat 8 tafsirnya :

"Katakanlah wahai Muhammad sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya maka tinggallah segala apa yang dimilikinya, tiada anak isteri yang menemaninya lagi, tiada ibu bapa dan ahli keluarga yang mendampinginya lagi dan tiada harta benda untuk dinikmatinya lagi. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. Pada saat itu, terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh. Tiada apa yang dibawanya sebagai bekal kecuali ibadat dan amal jariah semasa hayatnya di dunia serta doa dari anak-anak yang soleh.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda telah bersabda : Apabila telah mati seseorang itu, akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya dan anak yang soleh yang mendoakannya". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Muslimin yang berbahagia,

Mengingati mati itu mempunyai banyak kelebihan dan hikmah, antaranya ialah menjadi peringatan kepada kita supaya tidak terus leka dengan keasyikan hidup di dunia ini. Dengan mengingati mati juga mendidik jiwa kita untuk menjadi orang yang sentiasa merendah diri, tidak lupa diri dan sombong bahkan juga menjadikan kita supaya bijak merancang kehidupan yang sementara ini dengan baik sebelum ajal tiba iaitu berusaha meningkatkan keimanan, ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan memperbanyakkan amal ibadat dan berbuat kebajikan serta akan sentiasa memelihara dirinya dari berbuat dosa dan maksiat.

Namun bagaimana pula halnya kepada orang yang tidak ingat kepada mati? Selalunya orang yang tidak ingat kepada mati akan mudah lalai dan leka dari mempersiapkan diri mereka untuk menghadap Allah Subhanahu Wata'ala sehingga ada di antara mereka tidak bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala malahan ada pula yang berani melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala dengan sengaja. Mereka menyangka bahawa masa itu masih panjang padahal sebenarnya amat singkat. Mereka menyangka masih sempat untuk bertaubat dan berbuat amal ibadat kemudian hari nanti, padahal belum tentu umurnya panjang. Sedarlah betapa orang yang tidak ingat kepada mati sentiasa berada di dalam kerugian yang amat sangat. Bertaubat dan beribadatlah dengan segera, jangan ditangguh-tangguh kerana kita tidak tahu bila ajal akan tiba, mungkin esok atau mungkin lusa, hanya Allah Subhanahu Wata'ala sahajalah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Muslimin yang berbahagia,

Tidak dapat dinafikan ajal itu kadang-kadang datang secara tiba-tiba, tanpa ada tanda-tanda bahawa maut akan tiba. Kadangkala ia menimpa orang yang sihat dan cergas dan ada juga dari kalangan orang yang masih muda usianya. Walau bagaimanapun terdapat beberapa tanda-tanda untuk mengingatkan manusia dari lalai terhadap kehidupan di dunia ini dan juga sebagai amaran atau pemberitahuan bahawa ajal sudah dekat.

Dalam kitab At-Tazkirah, Al-Imam Al-Qortubi menyebutkan bahawa terdapat sebuah hadis yang menceritakan bahawa sebahagian nabi-nabi pernah bertanya kepada malaikat maut : Mengapa engkau tidak mengirim utusan supaya manusia takut kepada-Mu dan supaya mereka dapat bersiap-siap? Malaikat maut berkata: Ya, demi Allah! Aku mengirim beberapa tanda seperti penyakit, uban, umur tua, berkurangan pendengaran dan penglihatan. Oleh itu barangsiapa yang mendapati perkara-perkara itu dan dia tidak berusaha mengingati mati serta tidak pula bertaubat, maka ketika mencabut nyawanya, aku akan berkata kepadanya : Bukankah aku telah mengutus utusan demi utusan dan amaran demi amaran (berupa seperti penyakit, uban, umur tua, kurang pendengaran dan penglihatan dan sebagainya) kepada kamu? Dan adapun aku ini (malaikat maut) adalah utusan yang tidak ada utusan lain lagi selepas aku. Akulah juga pemberi amaran yang tidak ada pemberi amaran lain lagi selepas aku.

Setiap hari yang padanya terbit dan terbenam matahari, malaikat maut berteriak : Wahai orang-orang yang berusia empat puluh tahun, inilah waktunya menyiapkan bekal, selagi ingatan kamu masih terang dan tenaga kamu masih kuat. Wahai orang-orang yang sudah berumur lima puluh tahun, sudah dekat masa mengutip hasil dan menyabit! Wahai orang-orang yang sudah berumur enam puluh tahun, kamu lupa akan seksa dan lalai daripada memberikan jawapan, nanti tidak ada yang akan menolong kamu!.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya agama Islam menggalakkan umat-Nya sentiasa mengingati mati supaya kesempatan hidup ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana apabila ajal tiba, kita tidak akan berpeluang lagi untuk berbuat apa-apa kecuali penyesalan yang sudah tidak berguna lagi.

Memang tidak dinafikan bahawa manusia itu mudah lalai dan lupa jika tidak selalu diperingatkan, oleh itu sama-samalah kita saling mengingati bagi memanfaatkan peluang yang ada untuk beramal ibadat dan berbuat kebajikan. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita mendapat hasanul khatimah iaitu mati dalam keadaan yang baik dan semoga kehidupan kita di alam barzakh dan di akhirat nanti akan mendapat keampunan dan keredaan serta rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala juga. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 14 tafsirnya :

"Dihiaskan dan dijadikan indah kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan ingatlah pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya iaitu syurga".

sumber:

http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=278

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”