[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Selasa, Mac 10, 2009

Perarakan Maulidur Rasul lambang kesatuan ummah


KANAK-KANAK ini beraksi dengan penuh penghayatan dalam pementasan teater muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta yang dipentaskan sejak Isnin lalu hingga 22 Mac ini. Antara artis yang menjayakan pementasan ini seperti Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Mawi dan Amy Search. Teater dakwah yang menceritakan kisah Rasulullah SAW ini diarahkan yang juga penulis skripnya Erma Fatima yang mahu dipertontonkan kepada generasi muda. - Foto Shiraz Yasmine Ali
Mar 10, 2009 9:08 am


Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my




PERARAKAN Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan didahului Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Seremban, semalam.
Hujan tak jejas kehadiran 100,000 peserta sambutan peringkat kebangsaan di Dataran MerdekaHUJAN rahmat pada pagi semalam, 12 Rabiulawal 1430 Hijrah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tidak sedikitpun melunturkan semangat 100,000 hadirin yang berkumpul sempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Berserta paluan kompang diiringi bacaan selawat memohon kesejahteraan ke atas Rasulullah SAW oleh 167 kontinjen yang mengambil bahagian, semangat penyatuan terserlah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah/2009 Masihi.




Berlindung sementara di kawasan persekitaran, hadirin kembali memenuhi padang Dataran Merdeka untuk menyaksikan kemuncak acara iaitu majlis pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima termasuk tokoh Anugerah Perdana yang julung kali diperkenalkan tahun ini.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perarakan kontinjen dari lapan masjid yang mengambil bahagian menuju ke satu arah adalah simbolik kepelbagaian dalam kumpulan Islam yang mungkin ada perbezaan pendapat, tetapi bersatu kerana agama. "Penyatuan umat Islam di negara ini menampakkan kesan positif dan diharap berterusan. Perbezaan pendapat boleh ada tetapi jangan sehingga membawa perpecahan," katanya pada sidang media selepas majlis itu, semalam.



Majlis sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah/2009 Masihi bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah' atau Penyatuan Pemangkin Ummah Terbaik bermula dengan perarakan kumpulan kenamaan diketuai Ahmad Zahid dari Masjid Negara menuju Dataran Merdeka. Ini diikuti perarakan membabitkan kontinjen kakitangan kerajaan, swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah dari lapan masjid yang mengambil bahagian.



Masjid terbabit ialah Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Bukit Aman, Masjid India, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Pakistan dan Masjid As-Syakirin KLCC. Majlis dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.




Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada penerima sebagai pengiktirafan sumbangan mereka melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah yang menjurus kepada kepentingan negara dan rakyat.



Mereka ialah Penerima Anugerah Perdana, Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba; Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Ma'amor Osman; Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Sarawak, Mortadha Lau Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd Yunus Pathi Mohd.



Dua penerima muda yang turut dipilih ialah johan kategori bacaan/suara terbaik Musabaqah Hafazan al-Quran 30 juzuk pada Anugerah al-Quran peringkat Antarabangsa Dubai 2008, Muhamad Ahmad Zahid dan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Muhammad Haziq Samrat.



Penerima Anugerah Perdana menerima hadiah wang tunai RM50,000, plak dan sijil penghargaan, sementara lima penerima lain menerima RM22,000 setiap seorang berserta plak dan sijil penghargaan.



Menyentuh pemilihan dua penerima muda itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz, berkata mereka berjaya menampilkan semangat sebagai personaliti dicontohi.



"Adik Muhammad berjaya menghafaz al-Quran pada usia 10 tahun ini pencapaian yang boleh dicontohi mereka sebayanya. Muhammad Haziq pula yang mengalami kecacatan kekal boleh meneruskan kehidupan secara normal tanpa rasa kecewa.



"Semangat ini dapat dilihat dalam sirah Rasulullah SAW yang dilahirkan sebagai anak yatim dan dalam keadaan tertekan pada zaman jahiliah berjaya menghadapi dugaan seterusnya menjadi teladan. Inilah semangat yang kita ingin ada dalam umat Islam hari ini," katanya.



Mengakui anugerah yang diterima itu terlalu tinggi buat dirinya dan datang sebagai amanah, Muhammad yang bersyukur dengan kurniaan itu berazam meningkatkan ilmu dalam bidang hafazan serta terus meningkatkan akhlak yang baik.



Baginya, status sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul bukan satu tekanan, sebaliknya pendorong untuk mencetuskan sesuatu yang baik yang boleh dijadikan contoh supaya remaja sebayanya terarah kepada kegiatan bermanfaat untuk diri, keluarga, agama serta negara.



Sementara Muhammad Haziq mengharapkan, kegembiraan terpilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul akan menguatkan semangat kanak-kanak kurang upaya yang lain untuk menerima kekurangan mereka secara positif. "Pasti saya gembira menerima anugerah ini kerana saya tidak sangka dipilih sebagai seorang penerima.



"Kecacatan bukan kelemahan sebaliknya cabaran yang sepatutnya menguatkan lagi semangat untuk berjaya seperti mereka yang normal," katanya yang bercita-cita menjadi peguam.



Sambutan perhimpunan kali ini turut diserikan 1,430 peserta menaiki motosikal berkuasa tinggi dan motosikal berkuasa rendah yang menggabungkan kalangan profesional serta remaja dalam gerakan dakwah.



Hadirin juga dihiburkan dengan persembahan bermesej mengimbau kehidupan Rasulullah SAW oleh kumpulan al-Gebra, Nakasutra, Akhil Hayy, Waheeda, Yassin dan pencerita Sabri Yunus bersama Ebby Saiful diiringi 60 pelaku gerak dan 40 kanak-kanak.



Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20090309225805/Article


Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”