[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Rabu, Januari 14, 2009

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris: Umpama Barah melanda pelajar Al-amin

Salam perjuangan...

Penulis ingin berkongsi kebimbangan terhadap perlaksanaan (PPSMI) yang membarah di Sekolah Menengah Islam Al-amin, Gombak. Sila lihat analisis di bawah ini;

Perbandingan Keputusan PMR 2008 bagi subjek Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris;


Jumlah Calon 114 ORANG

Bahasa Melayu 57-A, 47-B, 9-C, 0-D, 1-E

Bahasa Inggeris 75-A, 27-B, 9-C, 3-D, 0-E


Bukti keputusan PMR 2008 ini sudah cukup kuat untuk menolak (PPSMI). Bahasa sendiri terpinggir, apa akan jadi dengan bangsa kita nanti. Saya berharap semua pihak bersatu supaya memperjuangkan bahasa Ibunda kita iaitu Bahasa Melayu supaya didaulatkan dan diperkasakan agar rakyat, negara dan bangsa dan agama kita menjadi MAJU pada tahun 2020.


sila nilai artikel ini.

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Pengajaran_dan_Pembelajaran_Sains_dan_Matematik_dalam_Bahasa_Inggeris

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003.

Objektif

Menurut penerangan mengenai dasar PPSMI di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia[1]:

Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.

Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir berpendapat bahawa Malaysia makin ketinggalan dalam arus globalisasi, dan diharapkan dasar ini memberi kelebihan kompetitif kepada negara, mencontohi kejayaan Singapura dan India yang semakin melangkah ke depan kerana kebiasaan dengan bahasa Inggeris.[2]

Pelaksanaan

PPSMI dilaksanakan kepada masukan pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun persekolahan 2003; pelajar-pelajar lain pula tidak terlibat, sebaliknya meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa perantara lama. Bahan-bahan pembelajaran PPSMI berbentuk pakej yang terdiri daripada komponen-komponen berikut:

  • Buku Teks (Textbook): Buku Teks disediakan untuk murid sebagai sumber asas mendapatkan pengetahuan tentang konsep dan kemahiran dalam pembelajaran sains dan matematik.
  • Buku Latihan dan Aktiviti (Activity Book): Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) disediakan untuk murid bagi mengukuhkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran sains dan matematik yang telah dipelajari daripada buku teks. BLA membekalkan soalan latihan dan aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh murid. BLA adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik Tahap Satu sahaja.
  • Buku Panduan Guru (Teacher's Guide): Buku Panduan Guru disediakan untuk guru sebagai sumber rujukan dan panduan supaya memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Buku panduan ini juga membantu guru mengemaskini dan meningkatkan pengetahuan sains dan matematik serta merangsang kreativiti guru dalam P&P. Buku Panduan Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Dua serta Pakej Buku Teks Matematik Tahun Satu.
  • MyCD (Pupil's CD-ROM): MyCD ialah CD-ROM untuk murid yang bertujuan mengukuhkan kefahaman murid berkaitan konsep sains dan matematik yang telah mereka pelajari melalui persembahan multimedia. Kandungan MyCD adalah Latihan dan Aktiviti secara interaktif, permainan, simulasi dan e-ujian.
  • CD-ROM Guru (Teacher's CD-ROM): CD-ROM Guru bertujuan membantu guru dalam merancang dan melaksanakan P&P sains dan matematik. Antara kandungan di dalam CD-ROM Guru ialah strategi P&P, bank soalan, aktiviti tambahan dan senarai URL yang relevan dengan pendidikan sains dan matematik. CD-ROM Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Satu sahaja.
  • Buku Amali Sains (Science Practical Book): Buku Amali Sains diterbitkan untuk memastikan mata pelajaran Sains diajar secara amali dan bukan hanya secara teori. Selain itu, daya pemikiran dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali serta menimbulkan minat murid terhadap Sains. Buku Amali Sains adalah komponen Pakej Buku Teks Sains untuk Tahap Dua sahaja.
  • Buku Glosari: Buku Glosari Sains dan Matematik adalah bahan rujukan guru dan murid untuk mengenal sesuatu istilah melalui definisi dan penggunaan istilah tersebut dengan lebih tepat.

Mula-mulanya, dasar PPSMI menghadapi bantahan khususnya dari wakil-wakil Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) pimpinan Dong Jiao Zong. Oleh itu, sebagai langkah kompromi oleh Majlis Tertinggi Barisan Nasional, formula “2-4-3” telah dilaksanakan mulai tahun 2003 untuk Tahap I dengan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Cina secara serentak dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala bagi Tahap II, formula “6-2-3-2” telah dilaksanakan mulai tahun 2006 untuk tujuan tersebut.[3]

Hasil dan reaksi

Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI banyak menghadapi pembidasan dan tentangan berkenaan idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri. Antara isu-isu yang diketengahkan pihak-pihak tersebut termasuklah kesukaran murid-murid mengikuti pelajaran dan guru-guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid-murid, terutama di peringkat sekolah rendah.

Sokongan terhadap perlaksanaannya juga bergantung kepada bahasa ibunda/harian yang digunakan. Dengan itu pembaca akhbar Inggeris yang cenderung menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan harian menyokong perlaksanaannya, sementara pembaca akhbar berbahasa Melayu yang behasa ibunda bahasa Melayu cenderung membantah perlaksanaannya.

Prestasi akademik

Peperiksaan

Pada tahun 2007, kelompok pelajar sekolah menengah pertama yang melalui PPSMI mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Keputusan rasmi memperlihatkan peningkatan, khususnya bagi mata pelajaran berkenaan ilmu sains dan matematik. Menurut pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Ramlan Sariman, mata pelajaran Biologi menunjukkan peningkatan kelulusan sebanyak 4.87% (91.45%-96.32%), Matematik Tambahan 6.81% (68.61%-74.76%), Fizik 8.76% (94.87%-97.63%), Matematik 1.04% (77.61%-78.65%) dan Sains Tambahan 4.29% (86.25%-90.54%), sekaligus membuktikan bahawa bahasa perantara bukan penghalang dalam kejayaan dalam pelajaran peringkat menengah.[4]

Pada tahun 2008, 518,616 pelajar sekolah rendah perintis PPSMI menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Para pelajar diberi pilihan menjawab soalan Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina atau Tamil atau lebih dari satu bahasa tersebut. Pada 13 November, keputusan rasmi dilaporkan mencatatkan hasil yang menggalakkan dari segi penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik. Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Alimuddin Mohd Dom dilaporkan berkata, 159,234 orang murid (31% dari keseluruhan pelajar) menjawab kertas Sains dalam bahasa Inggeris sementara untuk kerta Matematik, bilangannya adalah 238,153 orang (46%).[5] Walau bagaimanapun, keputusan ini dipertikaikan oleh sesetengah pihak. Menurut Presiden Kesatuan Guru-guru Semenanjung Malaysia, Mohd Sabri Mohd Arshad, "sebanyak 31.1 peratus murid-murid yang menguasai pembelajaran itu khususnya subjek sains ataupun matematik adalah dari kalangan mereka yang tinggal di bandar dan mempunyai latar belakang keluarga berpendidikan. Mereka yang tinggal di luar bandar masih lagi menggunakan bahasa ibunda, maka memberi kesan kepada jurang perbezaan yang jauh," di samping menggesa kerajaan memperkasakan Bahasa Inggeris itu sendiri dengan menambahkan waktu pembelajaran selaras dengan subjek bahasa lain.[6]

Kaji selidik akademik

Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris menerbitkan hasil kajian mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008, berasaskan tiga kali tinjauan soal selidik dan ujian terhadap murid-murid Tahun Lima, iaitu pada bulan-bulan Februari 2007 (sampel bersaiz 1564 orang) dari 27 buah sekolah rendah; Julai 2007 (636 orang) dari 13 buah sekolah; dan Januari 2008 (1703 orang) dari 28 buah sekolah. Menurut abstrak kajian tersebut[7]:

Lebih 80% murid menyatakan yang guru Matematik dan Sains mereka mengguna campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70% murid menyatakan mereka ‘tidak faham/kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan dan 80% Sains dalam Bahasa Inggeris, dan mereka ‘sukar/agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini. Prestasi murid dalam Ujian Matematik dan Sains rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Bagi kohort Januari 2008 skor min Matematik 7.89 daripada skor maksimum 20.0; dan skor min Sains hanya 4.08 daripada maksimum 14.00. Skor min Bahasa Inggeris juga rendah iaitu 11.87 daripada skor maksimum 31.0. Kelemahan ini nyata sekali di kalangan murid Melayu dan murid Orang Asli, berbanding murid Cina dan India. … Dapatan dari kajian-kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai, bahkan negatif: ia menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu sedikit meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris pelajar.

Kajian ini turut menerima bidasan oleh sesetengah pihak kerana kajiannya yang tidak kurang kepincangannya. Antara kelemahan utama yang ditelunjuk ialah: kelemahan guru berbahasa Inggeris dikaitkan dengan kegagalan dasar padahal ini masih boleh dibaiki; kekurangan analisa statistik dalam data yang memerlukan sampel terlibat dibahagi mengikut latar belakang sekolah dan murid; ketiadaan kelompok kawalan sebagai alat perbandingan statistik untuk mengukuhkan hujahnya, memandangkan semua sekolah mengajar dalam bahasa Inggeris[8]; perbandingan hasil soalan berbahasa Inggeris dan soalan berbahasa Malaysia, yang mana hanya 37.3% menjawab soalan berbahasa Malaysia berkenaan dengan betul berbanding 39.6% yang menepati soalan berbahasa Inggeris itu, menjadikan hasil kajian ini seolah-olah tidak menyokong dengan sebaiknya saranan kajian ini agar memansuhkan dasar ini.[9]

Reaksi dari bidang pendidikan

Menurut satu memorandum yang dikarang bersama oleh sebelas pertubuhan pendidikan sekitar hujung tahun 2007, dinyatakan bahawa kajian-kajian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris; formula-formula "2-4-3" dan "6-2-3-2" bagi SJK(C) bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik, bahkan juga bahasa Cina di kalangan murid-murid; Persatuan Pendidikan Tamil juga meluahkan kebimbangan murid-murid SJK(T) yang kebanyakannya berasal dari keluarga miskin turut akan menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat India kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka.[3]

Malah, memorandum tersebut turut menyentuh satu laporan kajian UNESCO yang turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Laporan berkenaan bertajuk Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries[10] yang dikarang oleh Santosh Mehrotra pada tahun 1998. Mehrotra menegaskan lagi kepentingan mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantara dalam buku yang dikarangnya bersama Enrique Delamonica bertajuk Eliminating Human Poverty: Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth yang mencatatkan pemerhatian terhadap persada pendidikan di benua Asia Selatan dan Afrika sub-Sahara, di mana adalah didapati bahawa jika bahasa perantara bukan bahasa ibunda, lebih-lebih lagi jika ibu bapa pelajar itu buta huruf, maka bertambah buruklah masalah belajar dalam persekitaran yang dikelilingi kemiskinan, diiringi tambahnya kemungkinan keciciran bertambah.[11]

Bill Templer, seorang pensyarah kanan yang melawat di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, berhujah dalam satu surat kepada akhbar, bahawa dasar ini berat sebelah kepada anak-anak keluarga bandar yang berpendapatan tinggi, sambil meluaskan lagi jurang antara yang kaya dan miskin, baik di bandar mahupun di luar bandar, malahan boleh juga menjejaskan pemahaman konsep sains dan matematik kepada murid-murid biasa kerana mereka tidak mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka.[12]

Reaksi dari ahli politik

Perbahasan mengenai dasar PPSMI tidak terlepas pandangan ahli politik, baik pihak pembangkang mahupun pemerintah. Antara ahli politik yang mendukung dasar PPSMI ialah Mukhriz Mahathir, anak kepada pencadang dasar itu sendiri. Beliau pernah menyatakan bahawa tujuan mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukanlah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, sebaliknya memudahkan rakyat mencapai pengetahuan yang bernilai dalam bidang sains dan matematik melalui pengetahuan bahasa Inggeris.[13]

Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada April 2008, berkata "Pakatan Rakyat tetap tidak akan bertolak ansur mengenai kedudukan bahasa kebangsaan dan lain-lain hal yang telah diputuskan melalui Perlembagaan Persekutuan sebelum ini, dan "pimpinan mestilah serius dalam usaha meletakkan semula bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik."[14]

Khairy Jamaluddin, naib ketua Pemuda UMNO, turut menggesa agar dikembalikan bahasa kebangsaan sebagai perantara mata pelajaran Sains dan Matematik. Katanya, "(Berdasarkan maklum balas akar umbi) bahasa Inggeris jadi tembok penghadang untuk fahami sains dan matematik. Guru pun ada masalah untuk mengajar, bukan sahaja lidah tergeliat, proses pengajaran juga terencat. Saya takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran." Tambahnya lagi, cara terbaik bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan memantapkan teknik pengajaran subjek itu secara menyeluruh, antara lain dengan memperkenalkan pelajaran sastera bahasa Inggeris di sekolah.[15]

Masa hadapan

Sepanjang separuh kedua tahun 2008, Kementerian Pelajaran telah mengadakan lima sesi persidangan meja bulat di kalangan ahli-ahli akademik, persatuan ibu bapa dan guru, kesatuan perguruan dan pertubuhan bukan kerajaan, untuk mengkaji semula dasar PPSMI dan dijangka mengambil keputusan terhadap PPSMI pada hujung tahun, berdasarkan keputusan UPSR dan faktor-faktor lain.[16] Di sidang terakhir pada bulan Disember, usul-usul yang dikemukakan para hadirin persidangan dikumpul menjadi tujuh pilihan berkenaan nasib dasar ini, iaitu:[17]

  • Meneruskan PPSMI seperti sedia ada;
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah;
  • Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah;
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah;
  • Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;
  • Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah; dan
  • Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

Pada 8 Januari 2009, Datuk Hishamuddin berkata keputusan muktamad mengenai nasib PPSMI hanya akan dicapai pada "tahun hadapan", walaupun hampir selesai mengkaji segala maklum balas yang dikumpul.[18]

Lihat juga

Rujukan

  1. Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) Kementerian Pelajaran Malaysia
  2. MacKinnon, Ian. "Immersion is a difficult lesson", The Guardian, 2008-01-18. Dicapai pada 2008-07-20.
  3. 3.0 3.1 KEMBALIKAN BAHASA IBUNDA: Mengembalikan Penggunaan Bahasa Ibunda Sebagai Bahasa Pengantar Dan Bahasa Peperiksaan Bagi Mata Pelajaran Sains Dan Matematik Di Sekolah Rendah; Memorandum kepada Y.A.B. Dato’Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia Daripada Pertubuhan-Pertubuhan Pendidikan Pelbagai Kaum, 27 November 2007
  4. Farik Zolkepli. "Official: Use of English not a hindrance", the Star, 2008-03-14. Dicapai pada 2008-07-20.
  5. Chapman, Karen; MacIntyre, Ian. "Many more opt for English", 2008-11-14. Dicapai pada 2008-11-16.
  6. Salmiyah Harun. "Penggunaan BI dalam UPSR 2008 belum membanggakan - Kesatuan Guru", Harakah, 2008-11-16. Dicapai pada 2008-11-16.
  7. Prof. Emeritus Dato’ Isahak Haron et. al. (April 2008). "KESAN DASAR PENGAJARAN MATEMATIK DAN SAINS DALAM BAHASA INGGERIS DI SEKOLAH RENDAH". URL dicapai pada 2008-09-07.
  8. "Continue Teaching Science and Maths in English", 2008-09-15. Dicapai pada 2008-09-16.
  9. Noraini Yaacob. "Teaching SCIENCE & MATH IN ENGLISH: Survey conclusions may be flawed, not policy", New Straits Times, 2008-09-12. Dicapai pada 2008-09-13.
  10. "Sains, Matematik dalam BI: Kajian Unesco tidak dipeduli", Harakah, 2006-11-24. Dicapai pada 2008-07-20. “Unesco quotes from 'Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef': "In a situation where the parents are illiterate...if the medium of instruction in school is a language that is not spoken at home the problems of learning in the environment characterized by poverty are compounded, and the chances of drop-out increase correspondingly.”
  11. Mehrotra, Santosh; Delamonica, Enrique (2007). bab: “6.2”, Eliminating Human Poverty: Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth, edisi 1, CROP: International Studies in Poverty Research (dalam bahasa Inggeris), 181, International Social Science Council. ISBN 978-1-84277-773-2. URL dicapai pada 2008-07-25.
  12. Templer, Bill. "TEACHING SCIENCE AND MATHEMATICS IN ENGLISH: Students' attitudes", New Straits Times, 2008-09-11. Dicapai pada 2008-09-13.
  13. Ng U-En. "Mukhriz enlightens the critics", The Malay Mail. Dicapai pada 2008-12-21. (Bahasa Inggeris)
  14. H Fansuri. "Agenda Pakatan Rakyat selepas merdeka daripada penjajahan BN", Harakah, 2008-04-16. Dicapai pada 2008-07-25.
  15. "Pemuda: Kembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam BM", Bernama (mSTAR Online), 2007-11-08. Dicapai pada 2008-07-26.
  16. "Keputusan Bukan Semata-mata Berdasarkan Keputusan UPSR, Kata Hishammuddin", Bernama, 2008-07-15. Dicapai pada 2008-07-23.
  17. Haika Khazi. "7 pilihan ajar Sains, Matematik", Berita Harian, 2008-12-17. Dicapai pada 2008-12-21.
  18. Chapman, Karen. "'No rush to decide on medium of instruction'", The Star, 2009-01-08. Dicapai pada 2009-01-08.

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”