[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Rabu, Januari 21, 2009

JEJAK PEJUANG BAHASA: Prof Dr. Awang Sariyan



Minggu ini penulis mengajak semua pengunjung blog ini mengenali seorang tokoh Pejuang Bahasa yang juga merupakan guru (Pensyarah) kepada penulis ketika belajar di Universiti Malaya pada (1995-1998) dalam jurusan Bahasa Melayu. Beliau merupakan seorang insan yang ikhlas memperjuangkan Bahasa Melayu di dalam negara dan di luar negara. Kelantangannya dalam memperkasakan Bahasa Melayu juga disegani dan dihormati. Beliau kini menjadi Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China Universiti Pengajian Asing Beijing.


Sila baca artikel di bawah ini behubung pandangan beliau tentang Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI);

FORUM-UTUSAN MALAYSIA

ARKIB : 26/11/2008

'Bahasa sumber ilmu bukan masalah besar'


PANDANGAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam
"Wacana Dilema Melayu" anjuran Gapena baru-baru ini bahawa Pengajaran dan
Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) patut
diteruskan tidaklah memeranjatkan.
Ini kerana beliaulah pencetus, pemutus dan pelaksananya. Dr.
Mahathir masih dengan dengan sikap biasanya yang tidak sesekali berubah
atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan.

Isunya ialah bahawa hujah Dr. Mahathir merupakan hujah yang tergelincir
daripada hakikatnya. Dalam laporan Bernama,
beliau mengatakan bahawa PPSMI penting agar anak-anak Melayu menguasai
Sains dan Matematik dan sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa
Inggeris. Ketika beliau membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI,
tiada kajian yang dibuat yang menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan
Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu (jika benar anak-anak
Melayu begitu lemah dalam kedua-dua subjek itu) disebabkan oleh
pengajarannya dalam bahasa Melayu. Kita malah sebenarnya telah
melahirkan ribuan sarjana dalam bidang sains dan teknologi yang
berwibawa dan bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan
yang berteraskan bahasa Melayu.

Adakah Dr. Mahathir bermaksud bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan dan
Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan
sejak merdeka merupakan dasar negara yang silap? Jika benar, adakah
kesilapan itu patut diatasi dengan suatu keputusan yang bersifat ad hoc, dengan
membuat keputusan pada tahun 2002 dan terus melaksanakannya pada tahun 2003?

Dr. Mahathir menekankan bahawa bahasa Inggeris patut dijadikan
bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahan ilmu kedua-dua
bidang itu banyak tertulis atau terbit dalam bahasa Inggeris. Fakta itu
tidak cukup kuat untuk kerajaan mengetepikan peranan bahasa Melayu
sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahasa Inggeris
itu sendiri asalnya hanya bahasa vernakular, bukan bahasa yang
diturunkan dari langit sedia sempurna. Sebelum bahasa Inggeris menjadi
bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin dan bahasa
Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang dan ekonomi.

Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi
mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan
teknologi. Amat malang halnya apabila kita sendiri tidak mempunyai
perancangan dan kesediaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
sains dan teknologi, dan cukup sekadar puas hati menyaksikan bahasa
Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Dr.
Mahathir tentang kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun
belajar di sekolah Inggeris.

Membezakan

Kita perlu membezakan taraf bahasa ilmu daripada bahasa perhubungan
sehari-hari jika kita mengimpikan bahasa Melayu menjadi bahasa besar
pada masa hadapan. Tentulah aib bagi bangsa Melayu yang berhasrat
menjadi bangsa besar di dunia tetapi hanya memiliki bahasa perhubungan
sehari-hari dan untuk hal ehwal ilmu dan budaya tinggi terpaksa
menggunakan bahasa asing.

Hujah Dr. Mahathir bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana
mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga
ternyata meleset. Mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing
untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa merupakan dua
hal yang sama sekali berbeda. Maka itu tidak ada pejuang bahasa manapun
yang menolak hakikat pentingnya kita mempelajari dan menguasai bahasa
asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun. Namun, PPSMI bukan program
pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada
bangsa kita dalam bahasa asing!
Pada hakikatnya, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa
Greek ialah para sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan
bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab.

Memindahkan ilmu

Hal yang sama dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat yang memperoleh
pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan
menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam
bahasa mereka sendiri. Oleh itu bangsa Barat tidak menggunakan bahasa
Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya
menggunakan bahasa mereka sendiri. Itulah hakikat jalan sejarah
perkembangan tamadun di dunia. Seluruh bangsa dan negara yang besar dan
maju di dunia sekarang ini pun masih tetap memajukan bangsa dan negara
mereka dalam bahasa masing-masing. Angkasawan kita yang ditumpangkan
dalam Soyuz Rusia pun terpaksa beberapa bulan mempelajari bahasa Rusia
untuk mengikuti misi ke angkasa lepas. Kekuatan bahasa Inggerisnya
rupa-rupanya belum cukup melayakkan dia untuk diterima mengikuti misi
tersebut!

Dr. Mahathir turut menggunakan contoh yang silap apabila mengatakan
bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam
bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu sains yang diajarkan
dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna. Bukankah buku panduan itu
dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, atau pelajar kita yang
diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam
bahasa Inggeris itu. Mungkin Dr. Mahathir belum pernah melihat adanya
telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada
perisian telefon itu sendiri! Pokoknya, apabila sesuatu bangsa berilmu,
bahasa sumber ilmu itu bukanlah masalah yang besar.

Sebagaimana pendukung PPSMI yang lain, Dr. Mahathir mengulang lagu
lama bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan
Matematik bukan langkah meminggirkan bahasa Melayu. Namun, dengan
terang di hadapan mata kita bahawa apabila bahasa Melayu akan hanya
berfungsi pada sekitar 40 peratus atau kurang di sekolah dan sekitar 30
peratus atau kurang di IPT, maka amat jelas bahawa bahasa Melayu memang
terpinggir dan tidak berperanan sebagai bahasa pengantar utama dalam
sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan dalam Dasar
Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Pada hemat saya, manfaatkanlah pepatah kita yang berbunyi "Sesat di
hujung jalan balik ke pangkal jalan". Kita belum pun sesat sehingga di
hujung jalan, maka tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu
melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan
dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan
dengan jayanya selama ini. Usahlah kita mengalami nasib "Yang dikejar
tak dapat, yang dikendong berciciran". Ingatlah juga kata orang tua-tua
"Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".

PROF. DR. AWANG SARIYAN
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Universiti Pengajian Asing Beijing



sumber:
http://www.mail-archive.com/artculture-indonesia@yahoogroups.com/msg02776.html




Kenali Beliau dengan lebih lanjut dengan membaca artikel di bawah ini;


Prof Dr. Awang Sariyan


Dr. Awang Sariyan (lahir 20 Oktober 1953) adalah seorang ahli bahasa Malaysia yang terkenal dan yang telah banyak menulis rencana bimbingan bahasa Malaysia untuk pelajar, serta mengarang puluhan buku panduan bahasa, buku ilmiah, buku umum, dan kamus. Dalam seminar bahasanya, beliau sering membentangkan kertas kerja dan hasil penyelidikannya. Sejak tahun 1992, Dr. Awang telah dilantik menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura. Kini beliau memegang jawatan sebagai Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya. Sebelumnya beliau ialah ProfesorLinguistik dan Perancangan Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (2004-2006)dan Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (1999-2004).


Biografi ringkas
Dilahirkan di Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor, Awang memperoleh ijazah Sarjana Muda Persuratan (Kepujian) serta Diploma Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1977. Pada tahun 1978, beliau bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai editor jurnal dan kemudiannya dinaikkan pangkat sehingga Pegawai Penyelidik Kanan (Bahasa). Awang juga bertugas sebagai pensyarah sambilan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya dari 1978 hingga 1982. Pada tahun 1984, beliau memperoleh ijazah Sarjana Sastera dalam bidang linguistik dari Universiti Malaya dan kemudian memperoleh ijazah Doktor Falsafah dalam bidang falsafah pendidikan bahasa dari universiti yang sama.
Prof. Dr. Awang kemudian menyandang berbagai-bagai jawatan, termasuk:
guru bahasa Melayu dan Kertas Am, penyunting, dan kemudian Ketua Penyunting di FEP International;
pensyarah di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia);
pensyarah dan Penolong Profesor di Jabatan Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
pensyarah kanan di Universiti Brunei Darussalam; dan
Profesor Madya di Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Dari 16 November 1999 hingga 15 November 2004, Dr. Awang memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka. Dari 16 November 2004 beliau dilantik menjadi Profesor Linguistik dan Perancangan Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia. Sejak 12 Januari 2007 beliau dilantik pula sebagai Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Mulai Januari 2008, beliau dilantik menjadi Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), iaitu program kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan BFSU.


Karya Awang meliputi puluhan buku ilmiah, buku umum, buku teks dan kamus, ratusan rencana ilmiah dan umum dalam pelbagai jurnal, majalah dan akhbar, serta melebihi 200 kertas kerja seminar di dalam dan di luar negara, antaranya Australia, Belanda, Brunei, Jerman, Kemboja, Korea, Perancis, Republik Rakyat China, Indonesia, Singapura, Sri Lanka dan Thailand. Sebahagian kertas kerja itu merupakan ucap utama, kertas kerja utama, syarahan dan kertas dasar.


Antara buku beliau:
  • Perkembangan Falsafah Bahasa dan Pemikiran dalam Linguistik (Sasbadi, 200D7)
  • Santun Berbahasa (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007)
  • Tertib Mengarang (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007)
  • Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006)
  • Tuntunan Bahasa (Pearson, 2006)
  • Ujana Minda, Jilid 1 dan II (editor) (Sasbadi, 2006)
  • Ceritera Bahasa (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005)
  • Suara Pejuang Bahasa, editor bersama (Persatuan Linguistik Malaysa dan Dawama, 2005)
  • Hakikat Bahasa dan Realisasinya dalam Pembinaan Tamadun Bangsa (Persatuan Linguistik Malaysia, 2005)
  • Konsep Kesalahan Bahasa (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003)
  • Kesinambungan Bahasa dalam Sastera Melayu (Fajar Bakti, 1986)
  • Isu-isu Bahasa Malaysia (Fajar Bakti, 1985) - Pemenang Hadiah Bahasa PLM-Public Bank 1985
  • Kunci Bahasa Malaysia (Sasbadi, 1985)
  • Bahasa Malaysia Tingkatan 3 (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990)
  • Bahasa Malaysia Progresif Tingkatan 2 (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988)
  • Bahasa Malaysia Progresif Tingkatan 2 (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988)
  • Sejarah Malaysia Tingkatan 1 (Analekta, 1978)
  • Sejarah Malaysia Tingkatan 2 (Analekta, 1979)
  • Sejarah Malaysia Tingkatan 3 (Analekta, 1980)
  • Tatarakyat Tingkatan 4 (Analekta, 1979)
  • Tatarakyat Tingkatan 5(Analekta, 1980)
  • Kamus Bahasa Melayu KBSR (Fajar Bakti (1988, 1990)
  • Kamus Bahasa Malaysia, bersama Lutfi Abas (Pustaka Delta, 1987)
  • Belasan buku kecil/booklet dalam Siri Khazanah Bahasa (1980-an dan 1990-an)
  • Puluhan buku bimbingan peperiskaan Bahasa Melayu

Pencapaian di peringkat negara
Di peringkat negara, Dr. Awang menjadi:
  • anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu, iaitu badan tertinggi bahasa yang dilantik oleh Menteri Pendidikan
  • anggota Jawatankuasa Bahasa Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka
  • perunding di beberapa bahagian dalam Kementerian Pelajaran dan kementerian-kementerian
  • pemeriksa luar tesis pascasiswazah;
  • editor perunding Jurnal Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka;
  • hakim pelbagai pertandingan penulisan dan pengucapan awam; dan
  • penatar bahasa dan penulisan di pelbagai jabatan kerajaan, firma swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
  • penyampai syarahan perdana, ucap utama, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja pelbagai persidangan dan seminar tentang bahasa, pendidikan, falsafah dan isu sosiobudaya.
  • Sejak tahun 2000, Dr. Awang juga menjadi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia dan aktif dalam gerakan perjuangan bahasa yang lain.
  • serta syarikat penerbitan;

Pencapaian di peringkat antarabangsa

Di peringkat serantau dan antarabangsa, Dr. Awang menjadi:
  • wakil negara dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia (MABBIM), dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM);
  • anggota Jawatankuasa Eksekutif MABM; dan
  • Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kegiatan MABM.
  • Profesor Tamu Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Franfkurt, Jerman (2006 dan 2007).
  • Profesor Tamu Pusat Pascasiswazah Jurusan Linguistik,Universiti Sumatera Utara, Medan, Indonesia (2006 dan 2007)
  • Penatar Kursus Sebutan Baku dan Tatabahasa kepada guru Bahasa Melayu Singapura (1992-2004)
  • Penyelenggara bersama beberapa program ilmiah bahasa dan persuratan Melayu seperti persidangan dan seminar (termasuk di Australia, di Belanda, di Jerman, di Perancis, di Korea, di Indonesia, di Thailand, di Kemboja, di Sri Lanka dan di Republik Rakyat China)
  • Pembentang kertas kerja utama, kertas kerja, syarahan dan panelis dalam seminar dan persidangan antarabangsa tentang bahasa dan pendidikan (yang diadakan di Australia,di Belanda, di Brunei Darussalam, di Indonesia, di Jerman, di Kemboja, di Korea, di Perancis, di Republik Rakyat China, di Singapura, di Sri Lanka, di Thailand)
  • Editor Perunding Jurnal Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Negara Brunei Darussalam.
  • Sejak tahun 1992, Dr. Awang telah dilantik menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura dalam bidang pengajaran bahasa Melayu (sebutan dan tatabahasa)dan pada tahun 2001-2006 sebagai perunding projek penyediaan bahan pengajaran mata pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan sekolah menengah Singapaura.
  • Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (DBP), Ensiklopedia Malaysiana, Ensiklopedia Wikipediatelah memasukkan biografi beliau sebagai ahli bahasa. Buku Penghargaan Kecemerlangan (A Tribute to Excellence) 35 Tahun UKM memasukkan biografi beliau sebagai salah seorang bekas pelajar kumpulan awal UKM yang diiktiraf cemerlang. Namanya tersenarai juga sebagai ahli bahasa dalam Direktori Persatuan Pengajian Melayu Malaysia dan Direktori Penulis Malaysia DBP.

Anugerah
Antara anugerah dan hadiah yang diperoleh oleh Dr. Awang termasuklah:
  • Hadiah Persuratan 10 Tahun UKM
  • Hadiah Penghargaan Dua Dekad UPM
  • Hadiah Bahasa PLM-Public Bank
  • Hadiah Tinta Kencana (Kategori Makalah Ilmiah) DBP
  • Anugerah Khidmat Cemerlang DBP
  • Kesatria Mangku Negara.

SUMBER: http://ms.wikipedia.org/wiki/Awang_Sariyan

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tidak betul jika rakyat Malaysia di ajak melihat betapa bahasa ibunda di negeri-negeri German, Korea dan Jepun mampu menjadikan negara dan rakyat negara-negara tersebut maju dan sofistaked. Ingat, itu bahasa ibunda mereka, bukan bahasa Melayu kita.

Yang lebih elok, tepat dan betul ialah kita sepatutnya melihat apakah betul pesatnya ekonomi, sistem perdagangan, sistem kewangan dan perhubungan antarabangsa negera jiran kita yang JUGA MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU - INDONESIA. Tidak kemana hebatnya pencapaian dan prestasi Indonesia yang menggunakan Bahasa Melayu itu walalupun digunakan dengan meluas. Nah, buktinya depan mata, bahasa Melayu dahulu kala memang hebat hanya untuk perdangangan zaman silam dahulu kala seperti jual beli cengkih, kayu cendana, damar, beras, gambir dan candu [antara lain], tetapi janganlah dikatakan perdagangan dahulu itu sama kompleksnya dan rumitnya dengan sistem ekonomi dan perdagangan moden hari ini.

Untuk syok sendiri, bolehlah Malaysia pakai Bahasa Melayu bagi maksud maksud persurantan dengan jabatan Kerajaan, dan jualan jualan gerai kecilan ala berniaga seperti di zaman Melaka itu bolehlah bahasa melayu 'thrive'. Tetapi maaflah, bukan zaman derivatives, futures market, takeovers and mergers dan buku manual membaiki enjin kapalterbang Airbus A380 [nak manual tu pakai BM?].>>Kesertaan pihak yang berdomisil perolehan tidak di akui kecuali dengan satu akusaksi selepas diadakan ketekunan wajar awalan'<<

[Apa? Nak aku terjemah kedalam bahasa Inggeris? Hahahaha]

Jenifer Chow.

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”