[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Selasa, Disember 18, 2007

Tazkirah:

AGAMA Ibadat korban menuntut keikhlasan jiwa ummah
Oleh Ibrahim Abdullah


SYARIAT dan syarat berkorban ialah dengan niat yang ikhlas dan taat kerana sesungguhnya Allah tidak memerlukan apa pun pengorbanan daripada kita, kecuali atas dasar ikhlas, taat serta patuh kepada-Nya.

Sejarah korban dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu zaman Nabi Adam, Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW.

Pada zaman Nabi Adam, korban dilaksanakan oleh anaknya, Qabil dan Habil. Menurut sejarah, kekayaan yang dimiliki Qabil mewakili kelompok golongan petani, sedangkan Habil mewakili kelompok penternak.



Pada waktu itu, sudah mula ada perintah, sesiapa yang memiliki harta banyak, maka sebahagian hartanya hendaklah dikeluarkan untuk korban.

Sebagai petani, Qabil mengeluarkan korban daripada hasil pertaniannya, dan sebagai penternak, Habil mengorbankan haiwan peliharaannya untuk korban. Qabil mengeluarkan korban yang afdal (terbaik), iaitu hasil ternakan yang sihat, manakala Habil sebaliknya.

Hal itu diungkapkan dalam firman Allah yang bermaksud: "Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua anak Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika mana kedua-duanya mempersembahkan ibadat korban, maka diterima daripada salah seorang dari mereka berdua (Habil), dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Lalu ia berkata: Aku pasti membunuhnya (Habil)." (Surah al-Maidah, ayat 27)

Ayat di atas, membuktikan korban Habil diterima di sisi Allah atas dasar niat yang ikhlas dan taat dalam menjalankan perintah Allah. Korban Qabil tidak diterima Allah, kerana mengandungi unsur tidak ikhlas dan taat.

Akhirnya, terjadilah peristiwa dan tragedi pembunuhan ke atas Habil oleh tindakan dendam kesumat Qabil. Sejarawan dan ahli tafsir menyatakan, itulah pembunuhan pertama dilakukan di kalangan umat manusia sejak bumi didiami insan.

Kisah korban kategori kedua pula adalah pada zaman Nabi Ibrahim. Baginda bermimpi mendapat perintah daripada Allah supaya menyembelih anaknya Ismail. Keikhlasan dan ketaatannya diberi imbalan oleh Allah, iaitu menyelamatkan Ismail dan menggantikannya dengan seekor kibasy.

Peristiwa korban itu memberikan teladan, untuk meraih kemuliaan pastilah dilalui dengan pengorbanan. Berjuang untuk mencapai kemuliaan, ternyata mesti ditempuh dengan berkorban.

Orang yang menyatakan dirinya berjuang, tanpa ada kemahuan untuk berkorban, sesungguhnya bukanlah pejuang melainkan pengikut. Jika ingin maju dan mulia, pasti ada gerakan yang dipeloporinya untuk berjuang sekali gus berkorban, iaitu mendekatkan diri kepada Allah.

Korban kategori ketiga, ialah zaman Nabi Muhammad SAW. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang membenci engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat perkara yang diingininya)." (Surah al-Kauthar, ayat 1-3)

Syariat dan ibadat korban, bukanlah menyembelih haiwan setahun sekali. Yang penting ialah keikhlasan dan ketaatan menunaikan perintah Allah. Allah menguji iman, seperti menguji keimanan Nabi Ibrahim dengan memerintahkan menyembelih Ismail. Allah tidak memerlukan darah dan dagingnya. Allah sekadar menguji keimanan Ibrahim dengan perintah dan ujian yang sangat berat itu.

Syariat dan ibadat korban terus berlaku hari ini hingga kiamat. Oleh itu, pada masa keperluan ekonomi semakin meningkat, akan wujud rasa berat untuk melaksanakan ibadat korban tetapi tugas itu akan menjadi ringan apabila kita ikhlas.

Bertepatan dengan keadaan saudara kita di beberapa negeri yang berhadapan tragedi banjir, ibadat korban yang dilakukan dan daging disedekahkan kepada mangsa sedang berhadapan dengan ujian dapat meringankan beban serta mengeratkan hubungan sesama manusia.

Begitu juga dengan program mengadakan ibadat korban di luar negara hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib masyarakat Islam di tempat lain yang mengharapkan kehadiran Aidiladha membawa kegembiraan kepada mereka.

Meskipun haiwan yang disembelih, namun sesungguhnya Allah tidak melihat kepada daging dan darah haiwan dikorbankan itu. Yang dilihat Allah adalah niat ikhlas dan taat yang ada pada diri orang yang berkorban.

Allah berfirman yang bermaksud: "Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredaan Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya." (Surah al-Hajj, ayat 37)

Sesetengah pihak berpendapat, kekayaan harta yang diperoleh adalah hasil jerih payahnya, kepandaian dan ilmunya. Mereka melupakan inayah dan pertolongan Allah.

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”