[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Khamis, November 22, 2007

Nasib Bahasa Melayu

Naqdu: 'Usah biarkan anak bangsa jadi korban'

Bersama Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my

HAKIKAT pengajaran subjek Sains dan Matematik perlu dikembalikan ke bahasa Melayu sudah diperjuangkan kalangan pencinta bahasa mahupun sasterawan sejak awal cadangan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah diumumkan kerajaan.

Alasan bahawa pendekatan terbabit diambil bagi membolehkan pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dilihat tidak realistik, memandangkan kedua-dua subjek berkenaan terkeluar bukan pilihan terbaik bagi meningkatkan penguasaan bahasa seseorang.

Seperkara yang paling dibimbangi ialah pencapaian pelajar Melayu dalam kedua-dua subjek berkenaan akan terus merosot memandangkan sebahagian besar mereka sebelum ini sememangnya tidak menguasai Sains dan Matematik, apatah lagi apabila ia diajar dalam bahasa Inggeris.

Antara sasterawan paling lantang mengemukakan pandangan berhubung perkara ini dan disertai dengan perangkaan adalah penerima Anugerah Pejuang Bahasa 2004, Persatuan Linguistik Malaysia, Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain.

“Selepas terbinanya impian indah dalam semangat besar kemerdekaan empat dasawarsa yang lalu, bahasa Melayu kini mengalami luka sejarahnya. Peristiwa bahasa 2003 mengandungi makna berganda: kuasa politik menunjukkan kekuatannya; golongan budaya menghalalkannya - hanya sekelumit yang menentangnya. Yang jelas, pada saat bahasa Melayu itu terpinggir, ia menunjukkan watak munafik ramai orang,” katanya yang juga Timbalan Presiden, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Sebelum mengeluar kenyataan pedas lagi sinis itu, beliau sudah pun menyuarakan kengeriannya akan akibat daripada dasar terbabit pada 18 Mei 2003 ketika menjadi panel Forum Kembara Bahasa di Pahang anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Berita Harian.

Pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah mulai 2003 diyakini akan mengakibatkan 47 lagi mata pelajaran terpaksa dikendalikan dalam bahasa itu pada masa depan,

Andaian total 47 subjek akan terpaksa dikendalikan dalam bahasa Inggeris pada masa depan dibuat berdasarkan peningkatan jumlah sebenar mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar di sekolah menengah.

Bukan saja subjek Fizik, Biologi, Kimia, Matematik Moden dan Matematik Tambahan, perlu diajar dalam bahasa Inggeris, bahkan mata pelajaran vokasional, perdagangan dan ekonomi, ekoran penekanan kepada bidang sains dan teknologi dalam usaha negara ini mengejar kemajuan material.

“Jika keadaan itu berlaku maka ia akan mengakibatkan 47 mata pelajaran di sekolah menengah akan diajar dalam bahasa Inggeris berbanding 19 mata pelajaran dalam bahasa kebangsaan dan sekiranya itu terjadi, maka penggunaan bahasa kebangsaan akan terpinggir akhirnya,” katanya.

Begitu kebimbangan Baha sejak awal mengenai perkara terbabit dan hanya diberi perhatian pihak yang memperjuangkan nasib untung bangsa Melayu negara ini pada Perhimpunan Agung Umno 2007 lalu.

Mantan Editor Dewan Sastera, Abdul Ahmad, ketika menghubungi penulis menyatakan hasratnya untuk melihat Pemuda Umno bersungguh dalam isu Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu seperti dibangkitkan pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu.

“Isu bahasa dan agama adalah isu yang membolehkan Umno mendapat sokongan orang Melayu apalagi di luar bandar. Sesungguhnya kelompok Melayu di luar bandar tidak mempedulikan tindakan memburukkan tokoh tertentu kerana perkara terbabit tidak dekat dengan mereka,” katanya.

Bagaimanapun Pemuda Umno diharapkan berlaku jujur dalam memperjuangkan perkara ini,

Meskipun tidak dapat dinafikan perkara terbabit adalah senjata paling ampuh dalam mendapatkan sokongan ahli demi mengekalkan kuasa politik, tetapi ia lebih diharapkan dijadikan sebagai agenda perjuangan bangsa Melayu, seperti menjadi amalan parti politik yang mewakili bangsa tertentu di negara ini.

Dua pandangan terbabit mewakili pandangan kelompok dewasa yang memahami onak dan duri dalam mempertahankan maruah bahasa rasmi negara ini dan bangsa Melayu dalam menegakkan perkara hak dan batil.

Tinjauan penulis terhadap beberapa pelajar sekolah menengah yang terbabit secara langsung dengan perubahan dasar dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran terbabit mendapati mereka berasa menjadi mangsa keadaan.

“Jika Sains dan Matematik diajar semula dalam bahasa Melayu, saya tidak akan dapat memahami dan menjawab soalan peperiksaan kerana masalah istilah. Saya sudah terbiasa belajar kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris sejak Tingkatan Satu,” katanya dalam nada kesal.

Kebimbangan kelompok pelajar ini dijawab Abdul dengan kenyataan bahawa infrastruktur sudah ada dan mereka tidak perlu risau.

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”