[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Jumaat, Mac 06, 2009

Tazkirah Jumaat Siri 3: Memperingati Maulidur Rasul

Tazkirah Minggu Ini:

Memperingati Maulidur Rasul

Oleh Ismail Hashim Yahaya

Maulidur Rasul atau Maulid Nabi asalnya disambut untuk membangkitkan semangat umat Islam yang sedang berjuang mempertahankan diri dari serangan tentara salib Eropah iaitu Perancis, Jerman, dan Inggeris.

Pada tahun 1099M tentera salib telah menakluki Baitulmaqdis dan menguasai Masjidil Aqsa. Umat Islam ketika itu dikatakan lemah dan kehilangan semangat perjuangan dan persaudaraan ukhuwah.

Jika dilihat pada waktu itu umat Islam berada dalam keadaan berpecah belah disebabkan oleh terdiri banyak kerajaan-kerajaan kecil dan kesultanan yang lain. Kerajaan-kerajaan ada yang beraliran Syiah dan sekutu bekas Dinasti Umayyah.

Keberadaan khalifah Dinasti Abbasiyiah di kota Baghdad masih tidak menjamin perpaduan umat Islam kerana terdapat penentangan daripada kumpulan-kumpulan yang anti-Bani Abbasiyiah.

Namun umat Islam pada waktu itu amat bertuah kerana terdapat pemimpin seperti Sultan Salahuddin Yusuf Al-Ayyubi --orang Eropah menyebutnya Saladin, seorang pemimpin yang menyedari kedudukan umat Islam yang agak rapuh pada waktu itu ketika berhadapan dengan tentera salib.

Sultan Salahuddin 1174-1193 M (570-590H) daripada Dinasti Bani Ayyub ketika itu memerintah di Kairo, Mesir yang bidang kuasanya meliputi wilayah Syria dan jazirah Arab.

Menurut Salahuddin semangat perjuangan umat Islam harus dihidupkan kembali dengan cara menguatkan kembali kecintaan umat kepada Nabi mereka. Fokus kecintaan kepada Nabi saw berserta menghayati sirahnya akan membawa kembali penyatuan umat Islam itu .

Oleh itu Salahuddin cuba mengingatkan umat Islam di seluruh dunia pada waktu itu supaya mengimbas kembali hari lahir Nabi Muhammad SAW, pada 12 Rabiul Awal kalender Hijrah dengan mengadakan sambutan yang dapat menyatupadukan umat Islam dan diadakan pada setiap tahun.

Salahuddin meminta pandangan Khalifah Dinasti Abbasyiah di Baghdad iaitu Khalifah An-Nashir dan baginda bersetuju dengan cadangan Salahuddin.

Maka pada musim ibadah haji bulan Dzulhijjah 579 H (1183 Masehi), Salahuddin sebagai penguasa haramain (dua tanah suci, Mekah dan Madinah) mengeluarkan arahan kepada seluruh jemaah haji bahawa apabila balik ke kampung halaman mereka harus meraikan sambutan hari kelahiran nabi Muhammad dengan berbagai kegiatan yang dapat membangkitkan semangat umat Islam.

Sambutan itu dimulakan pada tahun 580 Hijriah (1184 M) pada 12 Rabiul-Awal yang dirayakan sebagai hari Maulidur Rasul.

Sebenarnya sambutan maulidur rasul ini bukan gagasan murni Salahuddin, melainkan cadangan dari iparnya, Muzaffaruddin Gekburi, yang menjadi atabeg (penguasa daerah) di Irbil, Syria Utara.

Bagi mengimbangi semaraknya peringatan hari Natal oleh penganut agama Kristian, Muzaffaruddin di istananya sering mengadakan peringatan Maulidur Rasul, cuma perayaannya bersifat setempat dan tidak dilakukan pada setiap tahun.

Adapun Salahuddin ingin agar perayaan maulidur rasul menjadi tradisi bagi umat Islam di seluruh dunia dengan tujuan meningkatkan semangat juang dan bukan sekadar perayaan ulang tahun biasa.

Namun pada peringkat awal idea Salahuddin ditentang oleh para ulama. Ini kerana sejak pada zaman Nabi perkara seperti tidak pernah diadakan.

Lagi pula menurut ajaran agama Islam umat Islam sudah mempunyai dua hari perayaaan iaitu Idul Fitri dan Idul Adha. Tetapi Salahuddin menegaskan bahwa perayaan Maulidur Rasul hanyalah kegiatan yang menyemarakkan syiar agama bukannya perayaan yang bersifat ritual sehingga tidak dapat dikategorikan bidaah yang terlarang.

Terdapat juga pandangan yang mengatakan sambutan Maulidur akan membawa pemujaan yang berlebihan kepada Rasullullah saw. pula.

Tetapi ternyata niat dan objektif Salahuddin semata-mata ingin mengembalikan kebangkitan dan kesedaran umat Islam menentang musuh salibin dan bertujuan mengusir mereka daripada bumi yang berkati Allah.

Salah satu kegiatan yang diadakan oleh Salahuddin semasa sambutan Maulidur Rasul yang pertama kali tahun 1184 (580 H) adalah menyelenggarakan sayembara penulisan riwayat yang bercorak syiar mengenai kehidupan Nabi beserta puji-pujian bagi Nabi dengan bahasa yang puitis.

Seluruh ulama dan sastrawan diundang untuk mengikuti pertandingan tersebut. Pemenang pertama yang menjadi juara ialah Syaikh Ja`far Al-Barzanji.

Karyanya yang dikenal sebagai Kitab Barzanji yang sampai sekarang sering dibaca oleh masyarakat di kebanyakan negara Islam sempena sambutan maulidur rasul. Inilah juga di mana tumbuhnya perkataan berzanji yang diadakan di negara kita.

Barzanji membicarakan mengenai sirah Nabi Muhammad yang mencakupi silsilah keturunannya, masa kanak-kanak, remaja, pemuda, sehingga diangkat menjadi rasul.

Karya itu juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad berserta berbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.

Nama Barzanji diambil dari nama pengarang naskah tersebut yakni Syekh Ja'far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim.

Dia lahir di Madinah tahun 1690 dan meninggal tahun 1766. Barzanji berasal dari nama sebuah tempat di Kurdistan, Barzinj.

Karya tersebut sebenarnya berjudul 'Iqd Al-Jawahir (artinya kalung permata) yang disusun untuk menyemarakkan kecintaan kepada Nabi Muhammad saw. Tapi kemudian lebih terkenal dengan nama penulisnya.

Ternyata peringatan Maulidur Rasul yang diselenggarakan Salahuddin itu membuahkan hasil yang positif. Semangat umat Islam menghadapi Perang Salib bergelora kembali.

Ini kerana penghayatan terhadap sirah melalui syair dan seumpamnya itu berhasil memberikan kesedaran terhadap kebangkitan umat Islam.

Salahuddin berhasil menghimpunkan kekuatan sehingga pada tahun 1187 (583 H) Baitulmaqdis berjaya dirampas kembali oleh Salahuddin daripada tangan bangsa Eropah dan Masjidil Aqsa dikuasai semula oleh umat Islam.

Memperingati Maulidur Rasul mempunyai maknanya yang mendalam terutamanya pada masa sekarang yang bererti menyatupadukan kembali umat Islam ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam segenap bidang kehidupan umat.

Salahuddin telah melakukan strategi yang betul dan berjaya dalam mengembalikan semangat juang dan kesedaran umat Islam supaya bangkit semula menentang tentera salib yang menguasai bumi Baitulmaqdis.

Ia dapat membaca psikologi umat Islam pada waktu itu dan tahu bagaimana cara mengembalikan kesedaran mereka untuk bersatu padu semula..

Bagaimanapun sambutan Maulidur Rasul sekarang sudah menjadi suatu perayaan ritual sahaja yang kering kontang daripada maknanya.

Ia bagaikan episod ulangan (pengulangan lagu-laguan syair yang lemah lesu dan tidak membangkitkan semangat apa pun) yang tidak mempunyai objektif tertentu ketika umat Islam khususnya golongan muda begitu menggilai hiburan dan idola-idola mereka.

Dunia Islam harus belajar strategi dan keadah yang digunakan Salahuddin supaya umat Islam mempunyau fokus atau tumpuan dalam mengembalikan perpaduan umat Islam sekarang.

Pakar motivasi dan ahli akdemik Islam masih tidak menerokai sepenuhnya kaedah yang digunakan Salahuddin yang membangkitkan kesedaran sehingga umat Islam bersatu semula menentang musuh mereka sebagaimana terbukti dalam perang salib.

Sekurang-kurangnya umat Islam harus mempunyai suatu suara yang mantap, konkrit dan mengerunkan bagi mendesak dan meminta kerajaan Amerika Syarikat dan sekutunya supaya keluar dari Iraq dan jangan menyerang Iran.

Lihatlah sekarang di mana suara umat Islam! Banyak perkara yang harus dipelajari daripada Salahuddin yang masih tidak bongkarkan dan ditinggalkan begitu saja kerana yang kita nampak hanya perang salib tetapi tidak strategi dan kaedahnya.

Sumber: http://www.smart2u.com







2 ulasan:

Auzaie S.M berkata...

tazkirah jumaat yg bermakna
syukran lihazihi tazkirah :)

Ijal berkata...

Terima kasih ustaz atas catatan yang bermanfaat dan penuh kesedaran ini. Semoga, perkara ini menjadi titik-tolak tingkat kesedaran umat islam sejagat.

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”