[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Ahad, Disember 23, 2007

Lambaian Kaabah
Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my





Ibadat haji punyai sejarah dan simbolik perjalanan hidup manusia

"AKU menyahutMu wahai Tuhanku! Aku menyahutMu! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu! Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu! Aku menyahutMu dengan haji yang benar-benar penuh dengan ibadat dan perhambaan!"

Laungan syahdu 'talbiah' bergema di seluruh pelusuk kota Makkah setiap kali kedatangan Zulhijjah. Jemaah memenuhi kota Makkah bersama niat tulus ingin melengkapkan rukun Islam kelima, menunaikan ibadat haji.



Hati mereka bercampur baur - diasak sayu, insaf dengan kekhilafan diri, kagum dengan kebesaran Tuhan dan sebak gembira menjadi tetamu jemputan Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji di kota suci-Nya.

Demikianlah antara rentetan ibadat haji, ibadat terakhir yang melengkapi empat rukun Islam yang terdahulu iaitu mengucap dua kalimah syahadah, bersolat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan zakat.

Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API-UM), Roslan Mohamed, berkata pelaksanaan ibadat haji melalui sejarah panjang dalam tamadun manusia.





"Sejak zaman Nabi Adam AS lagi sudah ada ibadat haji, begitu juga pada zaman Nabi Ibrahim AS tetapi tidak banyak ulama mengkaji kaedah pelaksanaan pada zaman itu.

"Pelaksanaan ibadat haji secara lengkap dan sempurna seperti hari ini bermula pada tahun kesembilan Hijrah apabila turunnya wahyu daripada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW mengutuskan Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab menunaikan haji pertama di Makkah.

"Seterusnya pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi Muhammad SAW sendiri mengetuai rombongan haji dan ia adalah haji tunggal dan terakhir Baginda sebelum wafat," katanya.

Roslan berkata, pelaksanaan rukun dan wajib haji serta pelbagai amalan lain dalam ibadat itu memiliki sejarah dan simbolik tertentu kepada perjalanan hidup manusia dari dunia ini sehingga ke alam akhirat.

Mengelilingi Kaabah atau tawaf adalah simbolik perjuangan manusia dalam pelbagai lapangan untuk meneruskan kehidupan di dunia, namun matlamat akhirnya tetap untuk mendapatkan keredaan Allah.

Tawaf dilakukan tujuh kali kerana ketika mula membina Kaabah, Nabi Ibrahim memastikan kedudukan tegak binaan itu berpandukan bahu dan mata dengan mengelilinginya tujuh kali. Selain itu, tawaf juga adalah amalan malaikat di Baitul Makmur di langit yang terletak betul-betul di atas Baitullah (Kaabah).

Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah bererti berhenti seketika di padang itu. Berada di Padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di Padang Mahsyar di mana semua manusia - tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan - akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia.

Padang Arafah juga adalah tapak bersejarah dalam kehidupan manusia kerana di Jabal Rahmah yang terletak di kawasan itu, Nabi Adam dan isterinya, Hawa bertemu kembali selepas diturunkan dari syurga. Di situ jugalah Nabi Muhammad (SAW) menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam.

Saie yang menjadi satu daripada rukun haji pula bersempena peristiwa isteri Nabi Ibrahim, Hajar berulang alik sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah untuk mencari air bagi anaknya, Nabi Ismail iaitu ketika Makkah belum terkenal.

Hajar mendaki satu tempat tinggi dikenali Safa dengan harapan dapat melihat air, tetapi tiada. Kemudian dia turun dan menuju ke tempat lain, iaitu Marwah, tidak ditemui air.

Sampailah tujuh kali dia berulang-alik antara tempat itu, akhirnya dia menghampiri Marwah dan mendengar satu suara. Dia lalu menoleh dan mendapati malaikat menguis tanah dengan sayapnya sehingga keluar air zam-zam.

Sesetengah pendapat mengatakan, Nabi Ismail yang menguis tanah dengan dua kakinya atau kedua-dua tangannya ketika menangis kehausan, hingga keluar air zam-zam.

Saie secara simbolik memberi gambaran supaya manusia sentiasa berusaha mencari rezeki di dunia selain berusaha mendapatkan pahala di sebalik amal kebaikan untuk menjadi bekalan memperoleh syurga di akhirat kelak.

Melontar Jamrah pula berkait dengan kisah ketika Nabi Ibrahim menerima wahyu supaya menyembelih Nabi Ismail. Nabi Ibrahim mengajak Nabi Ismail ke sebuah lereng gunung di Mina dan di situ, muncul iblis yang menyamar sebagai manusia untuk menggoda Ibrahim supaya membatalkan niatnya. Nabi Ibrahim kemudian mengusir iblis itu.

Menerusi peristiwa itulah umat Islam kemudian diwajibkan melontar Jamrah menggunakan batu kecil, sebagai simbol mengusir syaitan dari dalam diri manusia selain simbolik lain adalah 'melontar' jauh sifat kufur dan maksiat dari dalam diri.

Wahyu supaya Nabi Ibrahim menyembelih puteranya itu juga menjadi titik tolak ibadat korban yang dilakukan sempena haji atau Aidiladha. Seperti juga semangat dan keimanan Nabi Ibrahim AS, ibadat korban memberi maksud simbolik betapa manusia itu perlu mensyukuri nikmat Allah dan sanggup berkorban apa saja demi menunaikan perintah-Nya.

FAKTA
Rukun Haji



Ihram dan berniat mengerjakan ibadat haji dimulai sesampai miqat (batas-batas yang ditetapkan).


Wukuf di Arafah, iaitu berhenti di padang Arafah sejak tergelincir matahari 9 Zulhijah sampai terbit fajar tanggal 10 Zulhijah.


Tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.


Saie iaitu berlari kecil atau jalan cepat antara bukit Safa dan Marwah.


Mencukur atau menggunting rambut, sedikitnya memotong tiga helai rambut.


Tertib iaitu menjalankan rukun haji secara berurutan.






Sumber: beritaharian online

Sumber lain untuk menambahkan ilmu : www1.bharian.com.my/Misc/HajiUmrah

Selasa, Disember 18, 2007

Tazkirah:

AGAMA Ibadat korban menuntut keikhlasan jiwa ummah
Oleh Ibrahim Abdullah


SYARIAT dan syarat berkorban ialah dengan niat yang ikhlas dan taat kerana sesungguhnya Allah tidak memerlukan apa pun pengorbanan daripada kita, kecuali atas dasar ikhlas, taat serta patuh kepada-Nya.

Sejarah korban dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu zaman Nabi Adam, Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW.

Pada zaman Nabi Adam, korban dilaksanakan oleh anaknya, Qabil dan Habil. Menurut sejarah, kekayaan yang dimiliki Qabil mewakili kelompok golongan petani, sedangkan Habil mewakili kelompok penternak.



Pada waktu itu, sudah mula ada perintah, sesiapa yang memiliki harta banyak, maka sebahagian hartanya hendaklah dikeluarkan untuk korban.

Sebagai petani, Qabil mengeluarkan korban daripada hasil pertaniannya, dan sebagai penternak, Habil mengorbankan haiwan peliharaannya untuk korban. Qabil mengeluarkan korban yang afdal (terbaik), iaitu hasil ternakan yang sihat, manakala Habil sebaliknya.

Hal itu diungkapkan dalam firman Allah yang bermaksud: "Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua anak Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika mana kedua-duanya mempersembahkan ibadat korban, maka diterima daripada salah seorang dari mereka berdua (Habil), dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Lalu ia berkata: Aku pasti membunuhnya (Habil)." (Surah al-Maidah, ayat 27)

Ayat di atas, membuktikan korban Habil diterima di sisi Allah atas dasar niat yang ikhlas dan taat dalam menjalankan perintah Allah. Korban Qabil tidak diterima Allah, kerana mengandungi unsur tidak ikhlas dan taat.

Akhirnya, terjadilah peristiwa dan tragedi pembunuhan ke atas Habil oleh tindakan dendam kesumat Qabil. Sejarawan dan ahli tafsir menyatakan, itulah pembunuhan pertama dilakukan di kalangan umat manusia sejak bumi didiami insan.

Kisah korban kategori kedua pula adalah pada zaman Nabi Ibrahim. Baginda bermimpi mendapat perintah daripada Allah supaya menyembelih anaknya Ismail. Keikhlasan dan ketaatannya diberi imbalan oleh Allah, iaitu menyelamatkan Ismail dan menggantikannya dengan seekor kibasy.

Peristiwa korban itu memberikan teladan, untuk meraih kemuliaan pastilah dilalui dengan pengorbanan. Berjuang untuk mencapai kemuliaan, ternyata mesti ditempuh dengan berkorban.

Orang yang menyatakan dirinya berjuang, tanpa ada kemahuan untuk berkorban, sesungguhnya bukanlah pejuang melainkan pengikut. Jika ingin maju dan mulia, pasti ada gerakan yang dipeloporinya untuk berjuang sekali gus berkorban, iaitu mendekatkan diri kepada Allah.

Korban kategori ketiga, ialah zaman Nabi Muhammad SAW. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang membenci engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat perkara yang diingininya)." (Surah al-Kauthar, ayat 1-3)

Syariat dan ibadat korban, bukanlah menyembelih haiwan setahun sekali. Yang penting ialah keikhlasan dan ketaatan menunaikan perintah Allah. Allah menguji iman, seperti menguji keimanan Nabi Ibrahim dengan memerintahkan menyembelih Ismail. Allah tidak memerlukan darah dan dagingnya. Allah sekadar menguji keimanan Ibrahim dengan perintah dan ujian yang sangat berat itu.

Syariat dan ibadat korban terus berlaku hari ini hingga kiamat. Oleh itu, pada masa keperluan ekonomi semakin meningkat, akan wujud rasa berat untuk melaksanakan ibadat korban tetapi tugas itu akan menjadi ringan apabila kita ikhlas.

Bertepatan dengan keadaan saudara kita di beberapa negeri yang berhadapan tragedi banjir, ibadat korban yang dilakukan dan daging disedekahkan kepada mangsa sedang berhadapan dengan ujian dapat meringankan beban serta mengeratkan hubungan sesama manusia.

Begitu juga dengan program mengadakan ibadat korban di luar negara hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib masyarakat Islam di tempat lain yang mengharapkan kehadiran Aidiladha membawa kegembiraan kepada mereka.

Meskipun haiwan yang disembelih, namun sesungguhnya Allah tidak melihat kepada daging dan darah haiwan dikorbankan itu. Yang dilihat Allah adalah niat ikhlas dan taat yang ada pada diri orang yang berkorban.

Allah berfirman yang bermaksud: "Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredaan Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya." (Surah al-Hajj, ayat 37)

Sesetengah pihak berpendapat, kekayaan harta yang diperoleh adalah hasil jerih payahnya, kepandaian dan ilmunya. Mereka melupakan inayah dan pertolongan Allah.

Khamis, Disember 13, 2007

Isu Bahasa Melayu: Pengajaran Matematik Dan Sains dalam Bahasa Inggeris

Negara rugi besar jika dasar PPSMI dihentikan

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Subjek Sains, Matematik dalam BI perlu masa capai matlamat

LANGKAH kembali kepada pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia boleh menyebabkan kerugian besar kepada negara dalam menghadapi persaingan pasaran ekonomi antarabangsa, sekali gus menenggelamkan suara Malaysia di pentas dunia.

Malah, ia akan turut menyebabkan pelaburan besar kerajaan melaksanakan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, menjadi sia-sia dan membazir.


Tindakan itu juga akan mengakibatkan pelajar berdepan dengan masalah ketika mengikuti pengajian tinggi serta bidang kerjaya pada masa depan.

Demikian antara penekanan digariskan dalam rumusan hasil perbincangan meja bulat pada Kolokium Kebangsaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang dihadiri 220 peserta seluruh negara, kelmarin.

Rumusan terbabit disampaikan Naib Presiden Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (Melta), Dr Ganakumaran Subramaniam, pada akhir program berkenaan.


Hasil kolokium sehari anjuran Melta itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran, minggu depan, untuk tindakan sewajarnya.


Berdasarkan hasil perbincangan meja bulat itu, Dr Ganakumaran berkata, pelaksanaan PPSMI perlu diteruskan berikutan peranan utama bahasa Inggeris sebagai bahasa global dan juga bahasa teknologi.

Justeru, beliau berkata, pembelajaran ilmu dua bidang penting berkenaan dalam bahasa Inggeris akan memanfaatkan negara di pentas dunia, di samping membantu pelajar dalam mengikuti pengajian tinggi.

“Perkara ini boleh dilaksanakan kerana negara mempunyai sumber, bahan dan kepakaran. Kita ada `pelan kelas pertama’ tetapi memerlukan lebih masa untuk melaksanakan perancangan itu di seluruh negara secara berkesan.

“Dalam konteks ini, antara usaha sedang dibuat ialah menyediakan tenaga kerja seperti mengadakan kursus jangka pendek bagi guru terbabit,” katanya.

Melalui PPSMI, Dr Ganakumaran berkata, guru diperuntukkan alat serta kemudahan mengakses ilmu pengetahuan dan pembelajaran berterusan.

Bukan itu saja, beliau berkata, pelajar juga berupaya mengakses ilmu pengetahuan berikutan 85 peratus daripada sumber internet menggunakan bahasa Inggeris.

Katanya, ini secara langsung membolehkan pelajar menjadi `global players’ dan berpendidikan tinggi dengan mereka semakin selesa menggunakan bahasa Inggeris secara berperingkat, manakala negara pula menikmati penjanaan sumber manusia yang lebih baik.

Beliau berkata, matlamat PPSMI mampu dicapai meskipun wujud jurang perbezaan antara sekolah bandar, pinggir bandar dan pedalaman jika langkah menanganinya dilaksanakan dalam semua aspek berkaitan.

Bagi aspek guru, katanya, antara langkah perlu diambil ialah menggalakkan lebih ramai pendidik berpengalaman dan mahir untuk mengajar di sekolah luar bandar.


sumber: berita harian online

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”