[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Ahad, April 05, 2015

Karangan : Kepentingan Kegiatan Kokurikulum dan langkah- langkah mengalakkan pelajar mengikutinya



PENDAHULUAN

       Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan supaya menyertai sekurang-kurangnya satu daripada setiap aktiviti tersebut. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan malahan dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya. Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan.Oleh itu,terdapat pelbagai langkah dapat menggalakkan pelajar mengikuti aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi syarat unntuk pemilihan ke universiti.

Isi Kandungan : Kepentingan kokurikulum (2 isi)


      Antara kepentingan kegiatan kokurikulum ialah kokurikulum dapat mengembangkan potensi seseorang pelajar. Sesetengah pelajar tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan itu akan dapat diketahui apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum. Sebagai contohnya, ada pelajar yang tidak mengetahui kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi setelah menyertai kegiatan kokurikulum, bakatnya terserlah dan terus bergiat dalam acara yang diminati, yang akhirnya menjadi juara di kelabnya. Dengan ini, pelajar itu akan berpeluang untuk mewakili kelabnya untuk bertanding pada peringkat sekolah. Secara tidak langsung, kejayaan pada peringkat sekolah ini akan membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri, dan kemudiannya negara.

       Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Semangat perpaduan ini adalah amat penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur. Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contohnya, pelajar berbilang kaum mewakili pasukannya untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap tahun seperti dalam pasukan bola sepak. Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat dan kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana bersatu teguh bercerai roboh.

Isi Kandungan : Langkah-langkah menggalakkan pelajar menyertai kokurikulum (2 isi)

   
Langkah :

        Antara langkah yang perlu dilaksanakan ialah pihak sekolah perlulah menjalankan pemantauan terhadap aktiviti kokurikulum dari masa ke masa. Tindakan ini perlu dilakukan kerana banyak aktiviti kokurikulum di sekolah dijalankan bagai melepaskan batuk di tangga sahaja. Pelajar berasa kecewa kerana kegiatan yang dijalankan tidak menarik minat mereka. Kegiatan yang dijalankan hanya untuk memenuhi jadual. Sebagai contohnya, pelajar datang ke sekolah hanya bermain bola sepak tanpa bimbingan secara sistematik. Mereka berpendapat bahawa mereka tidak perlu datang untuk bermain bola sepak, sebaliknya mereka boleh bermain di kawasan taman tempat tinggal mereka. Oleh itu, pihak sekolah mestilah memastikan bahawa aktiviti yang dijalankan mestilah benar – benar mendatangkan manfaat kepada mereka.               
                                                                              
       Selain itu, pihak sekolah seharusnya menubuhkan lebih banyak persatuan dan kelab yang baharu yang sesuai dengan minat dan kemahiran para pelajar. Sejajar dengan perkara ini, pihak sekolah sepatutnya menjalankan kajian tentang minat pelajar dalam jenis aktiviti kokurikulum yang ingin diceburi dan seterusnya berusaha untuk membentuk kelab atau persatuan demi kebajikan pelajar. Dengan itu, para pelajar akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk menyertai aktiviti kokurikulum yang diminati. Sebagai contohnya, pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab komputer untuk pelajar yang meminati bidang teknologi maklumat. Hal ini sememangnya akan dapat menarik minat para pelajar untuk bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum tersebut kerana tak kenal maka tak cinta.

PENUTUP
                                                                    
       Kesimpulannya, terdapat banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Oleh itu, kita dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang. pihak sekolah hendaklah memainkan peranan supaya pelajar bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini demikian kerana kegiatan kokurikulum ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih giat dan cergas. Selain itu, kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa harus diperkukuh supaya segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan. Pepatah Melayu mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Oleh itu, semua pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum supaya pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif dapat dihasilkan.

Sumber perkongsian daripada rakan guru:

http://cikgukarizam.blogspot.com/2012/09/karangan-kepentingan-kegiatan.html

1 ulasan:

ximenavalek berkata...

Borgata Hotel Casino & Spa | Dr.MCD
Borgata Hotel Casino & Spa, 강릉 출장마사지 Atlantic City, NJ, USA, 천안 출장안마 United States. 경주 출장안마 Phone: 평택 출장샵 800.317.7777. Website: http://www.borgata.mgmresorts.com. 정읍 출장마사지

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”