[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Isnin, Jun 01, 2009

4 subjek teras SPM?

Oleh SAHBULAH DARWI
dan KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my

MUAR 31 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan muktamad untuk mengurangkan bilangan subjek teras dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada enam kepada empat subjek akan diumumkan pada waktu terdekat ini.

Menteri Pelajaran itu menegaskan, pengurangan bilangan subjek teras berkenaan akan membolehkan calon-calon SPM mempunyai lebih banyak pilihan untuk subjek elektif dalam peperiksaan tersebut.

Beliau berkata, langkah tersebut diyakini dapat melegakan kebimbangan sesetengah pihak yang berasa khuatir dengan keputusan kerajaan baru-baru ini untuk mengehadkan pengambilan tidak melebihi 10 mata pelajaran dalam SPM.

‘‘Kalau hendak diikutkan yang sedia ada sekarang ini, ada enam subjek teras, jadi mungkin kita akan kurangkan kepada empat sahaja subjek teras.

‘‘Kalau empat subjek teras bermakna ada enam lagi subjek (untuk elektif), jadi dia boleh memilih subjek bahasa Tamil, Mandarin atau agama, masih ada ruang untuk dia buat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini hari ini.

Enam mata pelajaran teras bagi pelajar yang menduduki SPM pada masa ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam/Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.

Semalam, Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan mengehadkan pengambilan tidak lebih 10 mata pelajaran di kalangan calon SPM mulai tahun depan adalah hasil kajian mendalam pelbagai pihak.

Beliau berkata, kajian itu menunjukkan fokus tidak harus terhadap bidang akademik semata-mata sebaliknya penekanan yang sama perlu diberikan perkara lain.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pihaknya sedia maklum keputusan berkenaan menimbulkan rasa bimbang di kalangan sesetengah pihak termasuk dibantah oleh MIC baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun kebimbangan itu wujud namun beliau yakin ia tidak menjejaskan pencapaian calon-calon SPM.

‘‘Saya tak bimbang tentang perkara itu tapi penjelasan muktamad akan dibuat dalam terdekat ini untuk beritahu kedudukan yang terakhir sekali,’’ katanya.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”