[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Isnin, Februari 02, 2009

Gerakan anti-PPSMI julung kali ke jalan

Jimadie Shah Othman Jan 31, 09 8:40pm


Kempen memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) meningkatkan tahap bantahannya hari ini dengan melangkah ke tahap baru - berhimpun di jalan raya.


Perhimpunan julung-julung kali itu dilancarkan petang ini di perkarangan pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman - simbol lazim siri bantahan era reformasi 1998.


Bagaimanapun, hasrat penganjurnya Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) untuk mengumpulkan 500 pencinta bahasa tidak tercapai walaupun kelibat beberapa tokoh terkenal bahasa dan sastera dalam program itu menyelamatkan keadaan.


Program itu hanya dikerumuni kira-kira seratus orang yang lalu-lalang bagi membeli-belah di kompleks popular itu. Perhimpunan itu bermula dalam keadaan hujan renyai-renyai yang turun sejak jam 1 tengah hari lagi.

Bagaimanapun ia berakhir tanpa sebarang masalah dengan polis, walaupun permohonan permit berhimpun tidak dibuat.

Malaysiakini difahamkan penganjur hanya memaklumkan secara bertulis kepada polis berhubung program berkenaan.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang sebelum ini berteka-teki tentang kehadiran beliau akhirnya muncul buat pertama kali dalam program sebegitu. Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media, sebaliknya hanya bergambar sambil memegang sepanduk kecil bertulis "Jangan bunuh bahasa ibunda".

Beberapa tokoh utama bahasa seperti penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan bekas profesor falsafah sains Dr Shahrir Md Zain serta penulis Ainon Mohd turut serta seperti dijadualkan. Penyair popular Pyanhabib, ahli jawantkuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar dan aktivis popular teater Khalid Salleh turut hadir.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas acara pelancaran itu, Khalid berkata hari ini ramai aktivis bahasa yang tidak pernah muncul dalam program seumpama itu tampil buat kali pertama menyatakan bantahan mereka kerana keadaan "sudah terdesak sangat". Tambahnya, bukan sahaja bahasa, tetapi dalam pelbagai segi hak-hak orang Melayu mulai terhakis.

Khalid mendakwa selama tujuh tahun apabila PPSMI diperkenalkan, orang tidak turun memprotes kerana "orang tidak ada asas budaya dan bahasa".Pemimpin politik yang kelihatan termasuklah ketua penerangan PKR Tian Chua, ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dan ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad. Majlis bermula kira-kira 2.45 petang, kira-kira 15 minit lebih awal daripada yang dijadualkan.

Pengerusi jawatankuasa induk GMP Datuk Dr Hassan Ahmad memberikan ucapan ringkas kira-kira lima limit sebelum melancarkan kempen berkenaan. Tindakan itu menyebabkan sebahagian daripada kira-kira 30 yang hadir terlepas sidang akhbar yang diadakan sejurus selepas pelancaran itu.

Program yang kelihatan tidak tersusun itu menyebabkan orang ramai yang hadir terpinga-pinga dan tidak terarah, termasuk wartawan yang berkeliaran mendapat komen daripada beberapa tokoh yang hadir.

Dalam masa yang sama, kita-kira 30 polis berpakaian seragam cuba menyuraikan keadaan. Kumpulan tokoh bahasa dan sastera itu kemudiannya hanya duduk di sebuah restoran di hadapan kompleks berkenaan.

Orang ramai dan wartawan mula bersurai kira-kira 4.30 petang.Majlis pelancaran ini diadakan dalam rangka GMP menganjurkan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini - ala demonstrasi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 - untuk menyerahkan memorandum isu PPSMI kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

sumber: http://www.malaysiakini.com/news/97350

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”