[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Khamis, September 04, 2008

Teruskan perjuangan dalam Jihad menuntut ilmu


Assalamualaikum w.b.t


Salam perjuangan, salam Ramadhan buat semua pelajar tingkatan lima SMIAAG, Kalian telah berjaya menjawab Kertas Peperiksaan Percubaan Bahasa Melayu pada hari Rabu (minggu lepas)Rata-rata pelajar yang ditemui mengukirkan senyuman yang lebar kerana soalan percubaan pada tahun ini "mudah". Apa yang menjadi satu keistimewaan pelajar-pelajar Al-amin yang ustaz perasan pada hari tersebut; mereka berdoa beramai-ramai memohon pertolongan ALLAH sebelum melangkahkan kaki ke kelas pepriksaan. Amalan dan budaya ini sangat baik dan terpuji di sisi Islam.


Bukan sekadar itu, sebenarnya mereka sudah berdoa sebaik selesai solat-solat yang wajib, solat-solat sunat (tarawikh, hajat, witir). Dalam kelas peperiksaan juga doa-doa terus dipohon ke hadrat ALLAH sehinggalah kertas habis dijawab masih tidak putus-putus doa mencurah-curah dilafazkan secara monolog atau seumpamanya memohon kejayaan gilang gemilang. Jelas di sini bahawa amalan berdoa merupakan sunah yang dituntut kepada semua umat Islam yang inginkan kejayaan di dunia dan akhirat.




Selain itu, apa yang penting ialah jangan lupa meminta doa-doa kepada kedua ibu bapa . Doa ibu bapa pastinya menjadi pemangkin kemustajaban doa-doa seorang anak yang soleh. Biarlah air mata ibu dan bapa yang mengalir ketika berdoa ke hadrat ALLAH, kita keringkan dengan "sapu tangan kejayaan" bukannya dengan "kertas keras kegagalan". Maka mahu tidak mahu kita perlu berbuat baik kepada ibu bapa untuk mendapatkan limpahan doa dari keduanya.


Hal yang sama juga berlaku; guru-guru kalian tidak henti-henti dan putus-putus membasahi lidah mereka mendoakan kejayaan anak-anak didik mereka. Susah senang dalam peperiksaan adalah asam dan garam yang perlu diterima oleh para pelajar dengan hati yang terbuka serta ikhlas kerana ALLAH. Doa guru juga menjadi salah satu prasyarat kemakbulan doa anak muridnya. Guru hanya penyampai ilmu mewarisi tugas para nabi dan rasul. Kejayaan anda adalah kejayaan, amanah dan tanggungjawab yang dipikul di bahu mereka. Begitulah juga sebaliknya kegagalan kalian adalah sesuatu yang tidak pernah mereka impikan. Jadi sudah terang lagi bersuluh bahawa doa guru perlu diraih demi sebuah kejayaan.




Selain berdoa dan didoakan, apa yang dicita-citakan hendaklah dilaksanakan atau diusahakan dengan sepenuh jiwa dan raga, disertai roh jihad yang tinggi demi mencari keredhaan ALLAH. Tidak ruginya kita berusaha bersungguh-sungguh dan bertempur mati-matian dalam jihad menuntut ilmu. Kerana Allah mengganjari pahala dan syurga yang tidak mampu kita bayangkan. Jelas bagi kita, doa tanpa usaha tidak akan membuahkan hasil bak kata pepatah Melayu "yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang".



Akhir kalam, ustaz yakin dan percaya bahawa usaha kalian yang bersungguh-sungguh, doa kalian yang tidak putus-putus, doa ibu bapa dan guru yang menghujani siang dan malam, akhirnya dengan izin ALLAH akan membuahkan hasil. Teruskan usaha, jihad, doa dan tawakal kepada ALLAH moga-moga kalian semua menjadi insan soleh wa musleh, berjaya di dunia dan akhirat.



Sekian, wassalam

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”