[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Isnin, Ogos 25, 2008

Asal usul Melayu terus dikaji

Oleh Mohd Azis Ngah mailto:azis@bharian.com.my





TELITI memeriksa serpihan artifak.

Pulau Kalumpang dipercayai penempatan pertama manusia prasejarah
MENELUSURI asal usul keturunan Melayu di Nusantara amat menarik tetapi sehingga kini belum ada ketetapan muktamad kerana terlalu banyak teori dan hujah. Merujuk kepada perlembagaan, orang Melayu adalah seorang Muslim, bertutur Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Ini bermakna sesiapa saja tanpa kira asal usul bangsanya boleh bergelar Melayu jika memiliki ciri-ciri di atas.


Namun, definisi Melayu di alam Melayu ditakrif sebagai mereka yang mendiami alam Melayu dan bertutur bahasa Austronesia/Melayu-Polinesia. Pengkaji sejarah, ahli arkeologi, pakar bahasa sentiasa mencari bukti kukuh melalui pelbagai kajian sekali gus menyemarakkan usaha mengesan asal usul Melayu. Wartawan Berita Minggu berpeluang mengikuti satu kajian lapangan oleh pakar arkeologi, Prof Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman yang kini mengkaji penemuan tapak arkeologi pra sejarah pertama di dunia yang dihuni manusia di kawasan bakau di Pulau Kalumpang, Perak.




DR NIK Hassan bersama kumpulan pengkaji melakukan kerja cari gali artifak di Pulau Kelumpang.




Memang banyak negara yang mempunyai kawasan bakau seperti India, Kemboja dan Afrika tetapi hanya di Malaysia dikesan mempunyai kesan peninggalan penempatan manusia prasejarah.
Kerja mencari gali dimulakan pada 1987 selama dua tahun dan dihentikan sebelum dimulakan semula sejak Mei lalu. Hasil kajian pertama, Prof Nik Hassan menemui 11 rangka manusia prasejarah dipercayai dikebumikan di tanah perkuburan di situ.
Manusia prasejarah itu dikatakan menanam mayat di bawah rumah mereka kerana pengkaji menemui tinggalan sisa makanan, tulang manusia, gigi yang dipercayai manusia yang hidup di abad kedua Sebelum Masihi hingga 10 Masihi.
"Kajian ini lebih menjurus kepada mengesan siapa yang sebenarnya tinggal di situ. Kami percaya penempatan ini didiami sekumpulan manusia keturunan Melayu yang hidup di pesisir pantai. Mungkin juga mereka keturunan India, Sumatera atau Orang Laut.

"Mereka lebih terbuka kepada hubungan luar berbanding Melayu yang tinggal di pedalaman. Bukti gigi dengan kesan makanan sirih dan pinang menguatkan hujah kemungkinan mereka orang Melayu dan penemuan serpihan tembikar, manik menunjukkan mereka berhubung dengan dunia luar," katanya.
Menariknya, Pulau Kalumpang yang jaraknya kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Gula, mempunyai tujuh kawasan penempatan yang mempunyai keluasan dua kilometer. Pulau itu juga mempunyai banyak pokok buluh yang sememangnya diakui tidak akan tumbuh di kawasan bakau.
Pokok buluh itu hidup subur dipercayai ditanam dengan tujuan pelbagai guna untuk membuat rumah, senjata dan alat menangkap ikan. Selain itu, penemuan kerang pelbagai jenis menunjukkan penduduk di situ sememangnya menjadikan hasil laut sebagai makanan utama.
Penduduk tempatan menggelar pulau itu sebagai Pulau Kota Kerang, ada yang memanggilnya Pulau Buluh. "Berdasarkan penemuan di pelbagai peringkat lapisan tanah, jelas menunjukkan diet makanan mereka juga berubah mengikut zaman. Kami menemui tulang ikan, monyet, burung, kepala babi dan beruk, mereka makan apa saja tetapi pada masa itu, rasanya mereka tidak beragama.
"Persoalannya ialah bagaimana mereka hilang atau berpindah, kami tidak pasti dan sedang mengkaji," katanya.
Ketika ini, Prof Nik Hassan dan pasukannya sudah menemui 50 jenis kerang pelbagai saiz yang jelas membezakan perubahan makanan penduduk di situ. Cara hidup mereka boleh dinilai berdasarkan sisa makanan yang ditemui.
Apa yang pasti, pasukannya gigih menjalankan kajian sama ada penempatan di situ mempunyai kaitan langsung dengan orang Melayu yang tinggal berhampiran di Kuala Sepetang, Kuala Gula atau Kuala Kurau dan ia perlu dipastikan melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Info: Tapak Arkeologi Pulau Kalumpang Pulau Kelumpang

-Mempunyai tujuh kawasan (Pulau Satu hingga Pulau Tujuh) seluas dua kilometer
-Pulau Satu hingga Pulau Lima adalah kawasan utama kajian
-Pulau Enam dan Pulau Tujuh terletak berdepan Pulau Selinsing
-Tapak itu diwartakan sebagai Kawasan Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi sebagai perkuburan prasejarah pada 15 Julai 2007.
-Pemetaan dan sukatan geografi mula dijalankan di situ pada tahun 1988.




Sumber: http://www.bharian.com.my (25 Ogos 2008)

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”