[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Jumaat, April 25, 2008

Bahasa Melayu dipinggir bangsa sendiri


SAYA tertarik dengan pandangan Dr Sharifudin Lubis dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia berhubung kepiluan Prof Dr Teo Kok Seong mengenai masa depan bahasa Melayu, di akhbar ini, kelmarin.

Analisis Dr Sharifudin memang bernas dan mempunyai mesej jelas. Saya juga bersetuju dengan keluhan Prof Teo yang begitu cekal memperjuangkan bahasa Melayu.

Saya melihat bahasa Melayu kini semakin terpinggir bukan saja di Malaysia, malah di Nusantara atau alam Melayu. Apa yang menarik seperti pandangan Dr Sharifudin, masyarakat bukan Melayu lebih memberikan perhatian mengenai nasib dan masa depan bahasa Melayu berbanding orang Melayu.

Barangkali orang Melayu berminat menjadi ‘orang putih’ dan tanpa mereka sedari meminggirkan bahasa sendiri sebagai bahasa kebangsaan negara.

Saya risau mengenai kemunduran dan kelesuan bahasa Melayu yang semakin hari dianaktirikan oleh masyarakat Malaysia, terutama orang Melayu.

Saya teringat ucapan Raja Muda Perak, Dr Raja Nazrin Shah dalam satu Seminar Bahasa Rojak yang dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum ini. Titah baginda bahawa rakyat Malaysia perlu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia seperti termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan.

Mesej itu masih segar dalam ingatan saya, walaupun ia tidak diberikan liputan media secara meluas ketika itu. Dalam kes terbaru, mungkin Bank Pertanian mahu memberikan satu kemegahan baru kepada institusi berkenaan sehingga mereka ‘terlupa’ mengenai Perkara 152.

Apa yang menghairankan saya ialah DBP juga leka dalam menjalankan peranan ‘menasihati’ AgroBank. Sebagai ahli antropologi sosial, saya tetap mengambil berat kegiatan yang berlaku dalam kehidupan serta persekitaran manusia dan masyarakat.

Sekiranya masyarakat Malaysia masih memandang rendah mengenai martabat bahasa Melayu, nescaya 50 tahun kelak, bahasa Melayu akan hilang di rantau alam Melayu. Sama-sama kita fikirkan natijahnya.
Oleh itu, peranan semua ahli masyarakat amat penting untuk memperkasa dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan negara. Justeru, DBP perlu menerima hakikat dan cabaran dihadapi dalam usaha memajukan bahasa Melayu.

Sekiranya semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum komited dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing, hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2020 pasti tercapai dengan jayanya.

DR SARJIT S GILL,
Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia.

sumber: berita harian online

Tiada ulasan:

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”