[LAMAN UTAMA] * [BM UPSR] * [BM PMR] * [BM SPM] * [BM STPM] * [BM UMUM]* [SAJAK]* [CERPEN]* [HUBUNGI KAMI]

Jumaat, September 21, 2007



Mayat dalam beg sah Nurin
Oleh Jalal Ali Rahim, Hardi Effendi Yaacob, Hanneeyzah Bariah Baharin, Ifwan Tun Tuah dan Nahar Tajri




GAMBAR (kiri): Mayat ditemui dalam beg, (kanan): Nurin Jazlin Jazimin.

Ujian DNA dapati 99.99 peratus sampel darah budak hilang sepadan ibu bapaSHAH ALAM: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan sampel darah mayat kanak-kanak yang ditemui dalam beg pakaian di Taman Petaling Utama, Isnin lalu, sepadan dengan ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu. Keputusan ujian yang diperoleh polis pada jam 2 petang semalam itu, dimaklumkan kepada ibu bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman sejam selepas itu. Bagaimanapun kedua-duanya, yang dipanggil sekali lagi untuk membuat pengecaman mayat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), menafikan mangsa pembunuhan kejam itu adalah anak mereka.



Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata Jabatan Kimia memaklumkan ujian DNA itu mendapati 99.99 peratus sampel darah kanak-kanak itu sepadan dengan sampel darah ibu bapa Nurin, yang diambil selepas proses pengecaman mayat kali pertama, Isnin lalu. "Ujian DNA mengesahkan sampel darah itu mempunyai padanan. Sains sudah membuktikan identiti mayat itu. Apa lagi yang boleh kita buat kalau keputusan ini tidak boleh diterima keluarganya," katanya pada sidang media di sini, semalam. Sehubungan itu, Khalid berkata, ujian susulan akan dijalankan bagi menentukan kesahihan identiti mayat kanak-kanak perempuan itu.





GAMBAR (kiri): Jazimin Abd Jalil dan (kanan): Norazian Bistaman.

"Kita sudah meminta ibu bapa Nurin serta kakaknya untuk diambil darah mereka bagi ujian selanjutnya. Ahli keluarga terdekat Nurin, termasuk datuk dan neneknya akan turut diminta membuat pengecaman. Kita berharap semua pihak, terutama keluarga Nurin dapat memberi kerjasama penuh dalam usaha menyelesaikan kes ini," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis sudah mendapat petunjuk awal bagi menjejaki pembunuh kanak-kanak itu. "Kita sedang mengawasi seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di ibu negara.
Beliau yang enggan mendedahkan identiti suspek, berkata polis masih menjalankan siasatan dan belum dapat memastikan sama ada pembunuhan kejam itu dilakukan pembunuh bersiri. "Kita sudah ada petunjuk dan maklumat serta sedang menjalankan siasatan. Setakat ini kita tahu hanya seorang yang terbabit dalam pembunuhan kejam kanak-kanak itu. Suspek juga masih berada di sekitar Lembah Klang," katanya Musa juga berkata, ujian DNA kali kedua akan dilakukan terhadap ibu bapa Nurin bagi mendapatkan pengesahan mutakhir identiti mayat kanak-kanak itu. "Identiti mayat itu belum dapat disahkan sebagai Nurin kerana menurut bapanya mangsa tidak mempunyai tanda lahir di paha kiri seperti pada mayat kanak-kanak itu.
Saya sudah arahkan Ketua Polis Selangor (Khalid) membuat ujian DNA kali kedua dan keputusannya akan diperoleh dalam masa terdekat," katanya. Mengulas lanjut, Khalid berkata, menjadi prosedur biasa bagi polis menjalankan ujian susulan bagi mengenal pasti identiti mayat yang tidak dikenali, terutama membabitkan kes jenayah, malah kes Nurin itu bukan yang pertama. "Pernah berlaku kes sama sebelum ini membabitkan penyanyi, Along Spoon, yang mayatnya ditemui dalam guni di kawasan terpencil di Negeri Sembilan. Ujian DNA mengesahkan mayat itu adalah Along Spoon, tetapi keluarganya tidak dapat menerima hasil ujian itu," katanya.
Mengenai ketiadaan kesan suntikan (BCG) pada mayat kanak-kanak itu hingga timbul dakwaan kemungkinan mangsa warga asing, beliau berkata polis masih menunggu laporan lengkap perubatan dan penjelasan doktor berhubung perkara itu." Ditanya sama ada ibu bapa Nurin akan dipanggil untuk disoal siasat, beliau berkata, tindakan itu bukan satu keperluan ketika ini, namun mereka akan diminta menjelaskan sebab mayat kanak-kanak itu dikatakan bukan anak mereka. Difahamkan, bapa Nurin dipanggil ke Balai Polis Wangsa Maju, kira-kira 4.30 petang untuk memberi keterangan berhubung keengganannya menerima keputusan ujian DNA itu. "Polis akan turut meneliti sama ada kes penemuan mayat kanak-kanak ini dan kehilangan Nurin mempunyai kaitan dengan 'Lelaki Kucing' yang terbabit dalam beberapa kes pencabulan kanak-kanak di Kampung Baru sebelum ini," katanya.



KRONOLOGI:
20 Ogos - Nurin hilang ketika berjalan seorang diri ke pasar malam dekat rumahnya di Wangsa Maju
24 Ogos - Media melaporkan kehilangan Nurin
26 Ogos - Ganjaran RM5,000 ditawarkan kepada sesiapa yang memberi maklumat
28 Ogos - Polis mengumumkan memanggil 30 individu memberi keterangan berhubung kehilangan Nurin dan kes diklasifikasikan sebagai culik
29 Ogos - Polis mendapat petunjuk mengatakan Nurin ditarik masuk ke dalam sebuah van pada hari kehilangannya
1 September - Keluarga Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, 5, yang pernah hilang di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur hujung Mac lalu, menasihati keluarga Nurin menubuhkan jawatankuasa bagi menyusun strategi mencarinya
3 September - Polis menubuhkan pasukan khas mengesan Nurin
3 September - Ganjaran kepada sesiapa yang memberi maklumat meningkat kepada RM8,000
4 September - Ganjaran meningkat kepada RM13,000
5 September - Nurin didakwa dilihat berada di Seremban
5 September - Penemuan sebuah van putih di kawasan belukar di Jalan Klang Lama di sini, menggemparkan masyarakat yang menyangka ia mempunyai kaitan kehilangan Nurin
10 September - Seorang budak perempuan berusia sembilan tahun merayau seorang diri di Taman Tasik Puteri, Rawang, disangkakan Nurin
11 September - Hari ulang tahun ke-8 Nurin
14 September - Ganjaran meningkat kepada RM26,000
17 September - Mayat seorang kanak-kanak ditemui dalam beg pakaian di Petaling Jaya Utama tetapi ibu bapa Nurin menafikan kanak-kanak itu anak mereka berdasarkan pengecaman fizikal
17 September - DNA ibu bapa Nurin diambil untuk diperiksa dan dipadankan dengan mayat itu
20 September - DNA ibu bapa Nurin disahkan sepadan dengan mayat kanak-kanak berkenaan
Sumber: Berita Harian Online

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya berharap agar pihak polis segera menangkap penjenayah-penjenayah yg terlibat dlm kes pembunuhan nurin dan mengenakan mereka hukuman yg setimpalnya..........

Tanpa Nama berkata...

SAYA JUGA BERHARAP AGAR PENJENAYAH YANG BERPERANGAI SEPERTI HAIWAN ITU TERTANGKAP AMIN...........

Tazkirah Ramadhan

Punca amalan pada Ramadan jadi sia-sia; ABU Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya melainkan lapar. Ramai yang mendirikan sembahyang malam tetapi tidak memperoleh apapun daripadanya melainkan kepenatan berdiri malam.” Berkaitan hadis ini, ulama memberikan tiga tafsiran berlainan iaitu pertama, ia ditujukan kepada mereka yang berpuasa pada siangnya tetapi apabila berbuka (iftar) dengan memakan makanan haram. Segala ganjaran diterima hasil daripada berpuasa pada siangnya musnah sama sekali akibat daripada dosa besar kerana memakan makanan haram. Kedua, hadis itu ditujukan kepada mereka yang berpuasa dengan baik tetapi ketika menjalani ibadat puasa, sibuk dengan mengumpat dan memfitnah orang lain. Ketiga, orang yang dimaksudkan itu ialah ketika berpuasa tidak menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa. Begitu juga dengan mereka yang berdiri malam secara sukarela sepanjang malam tetapi oleh kerana mengumpat atau melakukan dosa yang lain, akibatnya amalan mulia itu tidak mendapat pahala.

" Empat zikir sepanjang Ramadan NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW. Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi). Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan. Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka

"Lima ketinggian Ramadan; IBNU Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiuplah angin ‘Al-Mutsiiratu’ dari Arsy dan menggerakkan daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. ”Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat berada dalam Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menahan tidur serta beramal pada Ramadan dengan beriman bersungguh-sungguh akan kelebihannya serta ikhlas semata-mata kerana Allah, nescaya diampuni segala dosanya yang lalu.” Ramadan mempunyai lima keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain, iaitu puasa selama sebulan, Lailatul Qadar, zakat fitrah, Nuzul Quran dan amal kebajikan. Salman Al Farisi meriwayatkan: “Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah berkhutbah di hadapan kami pada akhir bulan Syaaban. Baginda berpesan yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami naungi bulan yang mulia lagi diberkati kerana Ramadan itu adalah bulan kesabaran dan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadan juga adalah bulan yang ditambah Allah rezeki orang mukmin. “Barang siapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada bulan ini, adalah baginya pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan dosa-dosanya pula diampunkan.”