Rabu, Disember 31, 2008

Sajak: Hijrah Yang Hakiki


Seribu empat ratus yang lampau
dari hijrah seorang insan suci...
meloloskan diri dari kejahilan
petualang-petualang Quraisy Makkah
membawa sinar wahyu Allah
di bumi gersang kontang yang simpati
bergelar Madinah al-Munawwarah

Seribu empat ratus yang lampau
dari hijrah seorang insan Agung...
rasul yang membawa rahmat
ke seluruh alam buana
membebaskan jiwa yang terpenjara
oleh rantaian-rantaian syaitan
memerdekakan nafsu serakah
yang beraja di kalbu berkarat
memecahkan kejumudan
yang membatu keras
melepaskan cengkaman jahiliah
yang menusuk merobek jiwa
merobohkan tuhan-tuhan palsu...
penipu karut marut... tahyul

Seribu empat ratus yang lampau
dari hijrah seorang insan mulia...
Islam... yang kaubawa
menarik kalbu dari jurang kejahilan
membersihkan kelodak dosa dan noda
yang terpalit di benak yang gelita
supaya jiwa hamba ini mengabdikan diri
kepada Allah tuhan yang Esa
mencontohi Muhammad insan yang terpuji
menusuklah iman jauh ke lubuk hati
memancarkan nur Illahi ke sanubari
terpahat dan terukir
kalimah agung yang suci
"TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH
MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH"

Seribu empat ratus yang lampau
dari hijrah seorang insan terpuji...
adakah anda sudah berhijrah?
adakah anda sudah berubah?
adakah anda sudah bertaubat?
adakah anda sudah menyesali?
selaut dosa dan segunung maksiat
yang kita bina selama ini

Sedarlah! Sedarlah! Semua
Kembalilah...
kepada Allah dan Rasulnya




nukilan: Sutera biru disember 2008

Dalam kenangan: Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman


YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban pada pukul 11.45 pagi semalam (27/12/08). Baginda berusia 86 tahun.

Jenazah Almarhum baginda ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat diraja, pemimpin dan orang ramai. Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan esok selepas solat Asar. Pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru akan diumumkan esok sebelum jenazah Almarhum Tuanku Ja’afar disemadikan di makam diraja Seri Menanti.

Baginda telah menyampaikan watikah perlantikan Leftenan Muda askar wataniah kepada penulis (Ustaz Idris) tahun 1998 di Uitm Shah Alam, Selangor. Kenangan bersalaman dan menerima watikah serta ucapan tahniah daripada baginda masih segar dalam ingatan. Semoga Allah menempatkan baginda dalam kalangan para syuhada' yang berjuang menegakkan Agama Allah. Amin
N

Sabtu, Disember 20, 2008

Sajak: Pantai Sunyi

Dulu pantai ini meriah dan riang
suara anak-anak bermain dan bergelak seloka
gelora dan badai bagaikan turut ketawa keriangan
pasir dan pantai juga tersenyum


Kini pantai ini sunyi dan sepi
tiada lagi suara anak-anak, mereka telah pergi
gelora dan badai semakin lesu dan pilu
pasir dan pantai terus masam membisu


bilakah anak-anak itu akan bermain lagi
di pantai ini...?


nukilan sepi : Sutera biru
Disember 2008